pages

Cerpen: Ya Amigo !

Nukilan: Hidayatun Nadhirah


Petang tu, lepas selesai joging satu pusingan mengelilingi kawasan universiti. Dia ajak aku lepak kat tasik yang terletak tidak jauh dari kolej kediaman kami. Aku setuju. Kebetulan aku pun memang teringin sangat nak ke tasik itu.

"Nak berubah tu bukan senang. Kau ingat aku tak nak ke berubah?" Keluhnya memecah lamunan aku.

Aku yang tengah syok lempar pandangan jauh ke tengah tasik menoleh pandang dia di sebelah. Wajahnya aku renung dalam-dalam.

Dia masih buang pandangan memerhatikan tasik yang terbentang luas di hadapan kami.

Aku memilih untuk berdiam dengan harapan dia akan meneruskan kata-katanya. Dalam benak aku dah muncul pelbagai macam soalan.

"Aku nak berubah tapi bila fikir tentang penerimaan orang terhadap perubahan aku. Tiba-tiba aku jadi takut. Aku jadi tak kuat."

Dia seakan memahami maksud diamku itu. Dia bantu aku rungkai persoalan yang bermain di fikiran.

Aku yang masih memandang dia, terus bersuara.

"Kenapa kau fikir macam tu sedangkan tu hanya sangkaan kau je. Kadang apa yang berlaku tak semestinya sama seperti apa yang kita fikirkan."

"Tapi aku bercakap ni berdasarkan apa yang aku lihat berlaku kat sekeliling aku. Berapa ramai kat luar sana yang nak berubah. Tapi berhenti sebab tak kuat nak hadapi semua ujian yang datang dalam proses mereka nak berubah." Katanya meningkah kata-kata aku.

Aku kemam bibir sambil memikirkan hujah terbaik bagi menyanggah kenyataannya. Bukannya aku nak menang berhujah tapi aku rasa persepsi dia terhadap perubahan perlu diubah. Kalau aku diam bermakna aku mengiyakannya. Walaupun aku tahu semua itu salah.

"Sebenarnya kan... Memang itu sifatnya. Bila kau pilih untuk berubah, bermakna kau pilih untuk diuji. Alah, konsep dia sama dengan konsep beriman. Kau tak boleh cakap kau ni beriman selagi mana kau tak diuji. Ujian itulah tanda aras tahap keimanan seseorang." Ujar aku sebelum diam seketika.

Dalam diam itu, aku tak putus-putus memohon agar Allah pandu kata-kata aku. Setakat ini aku berhujah guna ilmu yang aku belajar. Ilmu yang aku tahu. Namun, tetap dalam diri ada rasa bimbang dan takut andai aku tersalah beri hujah dan akhirnya bakal menimbulkan lebih banyak lagi kekeliruan.. Ya Allah, bantu aku...

Suasana kembali sepi. Aku diam dan dia pun turut sama membisu tanpa beri apa-apa respon. Tapi aku dapat lihat wajahnya. Wajah yang masih belum berpuas hati dengan kata-kata aku tadi.

"Mungkin kau kena renungkan kembali atas alasan apa kau nak berubah?" Aku bersuara kembali.

"Mestilah aku nak berubah kerana Allah. Siapa yang nak terus dalam kejahatan. Hati tak tenang. Jiwa rasa kacau." Dia melonjakkan sedikit suaranya. Dari nada suara, dengar sedikit tidak puas hati.

Aku tarik senyum panjang. Tangan terus bergerak memaut bahunya.

"Nah, bila kata kau berubah kerana Allah. Kau kenalah tahan sedikit bila diuji. Kau pun tahu kan ujian tu datang dari Allah. Ujian yang Allah beri tu tak lain tak bukan tujuannya untuk pastikan betul ke kau berubah kerana Dia. Kalau kau mampu bertahan, terbukti kau betul-betul berubah kerana Dia. Kau betul-betul nak jadi hamba yang taat dan turuti perintah Dia. Jalani hidup sebagai seorang muslim sejati.

Dia yang tadinya duduk sambil memeluk lutut menukarkan posisi. Duduk dalam keadaan bersila. Tangannya memetik-metik rumput kering seterusnya di campak ke hadapan. Telinga terus terpasang mendengar kata-kata aku.

"Tapi bila kau tak tahan. Bila diuji sikit je kau dah tak kuat dan pilih untuk padamkan saja hasrat untuk berubah... kau kena check balik niat sebenar kau berubah."

Aku berhenti seketika mengeimbangi peraliran keluar masuk oksigen dalam badan.

"Bila kau pilih nak berubah, soal dipinggirkan atau lebih teruk lagi dicaci, dikeji, dikutuk... memang kau tak mampu lari. Semua tu kau kena hadap. Aku cakap ni bukan nak takutkan kau sebaliknya aku nak kau tahu hakikatnya. Tapi kau kena percaya, bila kau pilih untuk berubah, kau takkan rugi."

Aku meneruskan kembali penghujahan. Syukur, dia dah berubah sedikit dari sebelum ini. Kali ini, dia lebih memilih untuk diam mendengar berbanding meningkah dan menepis hujah aku.

"Bila orang pinggir, caci, kutuk atau hina kau, apa yang perlu kau buat, kau perlu banyak bersabar. Kau tak dapat lari dari rasa sakit hati dan sedih."

Aku leraikan pautan tangan di bahunya. Memberi ruang untuk badannya bergerak bebas.

"Untuk bersabar pun satu hal... Aku tak rasa aku mampu." Ujarnya sambil tundukkan wajah.

Aku menghela nafas sebelum menghembus keluar.

"Itu masalah kau sebenarnya. Kau terlalu banyak fikir dan bayangkan sesuatu dari sudut negatif. Sebab tu kau takut mencuba. Kau pun tak yakin pada diri kau. Kau mudah hukum diri sendiri. Kau mudah cakap kau tak mampu sedangkan kau tak cuba lagi buat benda tu." Aku cuba kawal emosi. Lontarkan kata-kata dengan nada memujuk namun penuh ketegasan.

"Sifat sabar tu bukannya wujud dengan sendiri. Kau perlu pupuk. Lebih tepat lagi, kau perlu paksa diri kau bersabar. Bila kau rasa nak marah bila diperlakukan begitu, kau kena tahan kemarahan tu. Ya aku tak nafi semua tu bukan mudah. Tapi ia tak mustahil berlaku bila kau cuba dan terus cuba. InshaAllah, Allah ada untuk bantu kau." Aku cuba bangkitkan semangatnya.

"Lagi satu, kenapa kau perlu takut kehilangan kawan-kawan kau bila kau pilih berubah kerana Allah? Bila kau berubah kerana Dia, inshaAllah, Dia akan gantikan kau dengan kawan-kawan yang lebih baik dari sebelum ni. Mereka pun sama seperti kau. Sama-sama nak berubah. Sama-sama nak cari Allah."

Dia terus membatu diri. Bimbang pula aku dibuatnya. Bimbang takut dia terasa dengan kata-kata aku. Dan bimbang juga nasihatku dipandang sepi. Tapi bila fikir balik, terpulanglah pada dia. Sekarang tugas sebagai sahabat, aku dah laksana. Aku dah nasihat. Terpulang pada dia untuk menilai sendiri.

"Em, nantilah aku fikirkan kembali tentang ni."

Aku mengeluh rendah. Akur pada keputusannya. Aku tak mahu lagi memaksa. Tapi aku puas sebab aku dah berjaya luah segalanya yang terbuku di hati.

"Hmm. Okay. Tapi kau kena ingat. Sekali Allah beri kesedaran pada hati untuk berubah, teruslah berubah. Tak usah tangguh-tangguh lagi. Peluang hanya datang sekali."

"Bila kita tangguh atau kita abaikan untuk terus berubah, kemungkinan Allah akan tarik balik rasa untuk berubah tu. Dan yang rugi adalah diri kita sendiri. Bila Allah pilih kita, kita pula dengan sombong tolak nikmat Dia. Bukan ke kita sengaja jadi hamba yang rugi?"

Nasihat terakhir aku untuk dia sebelum dia bangkit sesudah memcuit hidung aku sambil berkata ‘jom balik’.  Dia terus berlalu meninggalkan aku yang terkocoh-kocoh mengejarnya dari belakang.


‘Ya Allah, bantu dia untuk berubah. Pandu dia untuk kembali pada-Mu.’


MACHANG, KEL
3 SEPT 2017
3.38 AM