Nukilan : Hidayatun Nadhirah
Petang itu
cuacanya sangat redup. Angin pantai sepoi-sepoi bertiup menjamah tubuh. Sungguh
nyaman dan segar. Mampu membuatkan jiwa terasa tenang dan lapang. Namun itu
semua tidak dirasainya. Apa yang dirasai ketika ini hanyalah kehangatan amarahnya.
Dia berjalan
sambil kakinya berkali-kali menyepak tin kosong sehingga menyebabkan tin itu
melantun-lantun tidak terarah.
Bicara ibunya
masih terngiang-ngiang di telinga. Hatinya membentak mengenangkan kata-kata
itu.
"Hanif, kamu berhenti sekolah sahaja laa
nak."
"Tapi ibu... Hanif nak bersekolah lagi."
"Kamu kan tahu kita ini susah. Ibu dah tak mampu
nak menampung yuran pengajian sekolah kamu."
"Jika itu masalahnya, ibu jangan risau. Hanif boleh
cari wang sendiri. Dengan wang itu dapatlah Hanif tampung yuran sekolah."
Hanif cuba menyakinkan ibunya.
"Kamu tidak kesiankan adik-adikmu? Ibu hanya
mampu harapkan kamu sahaja. Kamu anak sulung, satu-satunya anak lelaki dalam
keluarga ini. Kamu juga masih sihat dan punya tenaga yang kuat. Ayah kamu sudah
tidak mampu buat segalanya. Kudratnya sudah terhakis."
Dia diam. Terpukul
dengan kata-kata ibu. Dia ingin menjawab namun lidahnya kelu untuk bersuara. Memang
benar kata ibu. Dialah satu-satunya lelaki yang masih berbaki dalam keluarga ini, yang masih punya
tenaga kudrat yang kuat untuk menggalas tanggungjawab. Mahu atau tidak dia
perlu mengakuinya.
Ayahnya sudah
tidak mampu lagi mengalas tugasnya selaku ketua keluarga sejak kaki dan
sebahagian badannya disahkan lumpuh selamanya akibat terlibat dalam kemalangan
di tempat kerjanya dua tahun yang lalu. Maka sejak dari itu, segala
tanggungjawab ayah semuanya terpaksa ditanggung oleh ibu. Ibulah yang terpaksa
berkerja siang dan malam. Memberi makan minum mereka sekeluarga.
Dulu ibu langsung
tidak merungut tentang hal ini. Namun sejak kebelakangan ini, ibu sering kali
mengeluh atas kesempitan yang dialami.
Dia tidak
menyalahkan ibunya. Walaupun ibu berkerja sekeras manapun tetap jua dia seorang
wanita yang punya keupayaan yang terbatas.
"Tanggungjawabmu membela keluarga ini maka
tunaikannya, Hanif. Kau dah besar, dah mampu berfikir" Kali ini tutur kata
ibunya kedengaran tegas.
Dia senyap tidak mampu
bersuara. Cukup dengan ayat terakhir yang diungkap oleh ibunya buat dia terdiam
kehilangan kata-kata.
'Emak kenapa emak
tidak terfikir dengan ilmulah kita dapat mengubah kehidupan kita ini. Dengan
ilmulah kita dapat bebas dari kesempitan hidup yang menyeksakan ini. Dengan
ilmulah kita tidak lagi dipandang rendah. Dengan ilmulah, Hanif dapat membela
keluarga ini.' Hatinya bermonolog sendiri.
Dia benci dengan
hidupnya kini. Semakin hari, semakin banyak masalah yang perlu ditempuhnya. Dan
masalah itu seakan tidak pernah surut mendatangi dirinya sekeluarga.
********
Sudah jauh dia
berjalan membawa bersama lara di jiwa. Kakinya sudah lenguh kerana terlalu lama
melangkah. Jadi, dia mengambil keputusan untuk berteduh sambil menghilangkan
penat berjalan.
Di sebuah pondok
tidak jauh dari pantai, dia duduk di atas bangku yang terdapat di situ sambil
kakinya terjuntai ke bawah menguis-guis pasir pantai.
Suasana petang
yang tenang bersama bunyi ombak yang menyentuh persisiran pantai sedikit
sebanyak menyentuh jiwanya. Seketika kecelaruan yang bermain di fikiran dapat
diusir. Dia cuba mendalami suasana.
Mata ditutup
sambil tangan didepa seluas-luasnya. Angin pantai menerjah masuk ke ruang
pernafasan. Nafas dihela bersama keluhan. Dan akhirnya pandangan dilemparkan
jauh ke pantai.
"Jauh termenung." Tegur sesorang dari arah
belakang.
Hanif tersentak.
Lekas dia berpaling. Di belakangnya, kini berdiri seorang lelaki yang
berpakaian kemas. Gayanya seperti orang berada. Hanif memerhati dari atas ke bawah.
Melihat pada wajah lelaki itu seperti pernah dikenali. Namun Hanif lupa siapa
gerangannya.
“Masih ingat abang lagi?" Soal lelaki itu ingin
tahu.
Terkebil-kebil Hanif
memandang. Sekali lagi dia cuba mengamati wajah lelaki itu.
"Eh! Abang Fahmi." Akhirnya Hanif dapat
mengecam siapa lelaki itu. Bingkas dia bangkit. Mereka berjabat. Berpelukkan.
Erat. Masing-masing melepaskan rasa rindu yang telah lama dipendam memandangkan
hampir lima tahun mereka tidak bersua.
“Ingat kau dah lupa abang, Nif.”
“Haha, sudah tentu tidak. Cuma tadi tu tak cam saja.
Sebab… penampilan abang nampak lain sangat. Saya ingatkan orang kaya mana lah
tadi yang sapa saya” Ujar Hanif sambil ketawa kecil. Fahmi turut ketawa.
“Ada-ada saja kamu ni Hanif. Kau apa khabar? Sihat?"
Tanya Fahmi sambil meletakkan tangannya di bahu Hanif.
"Alhamdulillah. Macam biasa bang, sihat. Abang
macam mana? Sihat? Bila abang pulang?"
"Alhamdulillah, abang sihat. Abang baru sampai
semalam."
"Oh ya ke... Abang pulang ni buat apa kat
kampung?" soal Hanif sambil duduk di tempatnya tadi. Fahmi ikut serta duduk.
"Saja nak ziarah kampung. Lama sangat tak
balik." jawab Fahmi. Dia tersenyum.
Hanif
mengangguk-angguk. Seketika dia diam sambil melontarkan kembali pandangan ke
pantai.
"Em, Abang tengok dari tadi kau ni asyik
termenung? Fikirkan apa? Ke ada masalah?" tanya Fahmi. Hanif tersenyum tawar. Dia tidak menjawab pertanyaan itu.
Fahmi merenung
tepat pada rauk muka Hanif. Cuba membaca apa sebenarnya menganggu fikiran anak
muda itu.
"Kalau rasa berat sangat nak tanggung, apa kata
kau kongsikan saja pada abang. Manalah tahu abang dapat membantu." santai
Fahmi bersuara. Dia dapat mengagak pasti Hanif sedang cuba untuk menyembunyikan
sesuatu. Walaupun sudah lima tahun dia meninggalkan Hanif, itu tidak bermakna
dia lupa segalanya tentang Hanif. Dia kenal benar Hanif.
Dulu, sebelum
Fahmi berhijrah ke ibu kota. Hanif seringkali berkongsi cerita hidupnya ataupun
masalah yang dihadapi pada Fahmi.
Bagi Fahmi, Hanif
sudah dianggap seperti adiknya. Segala macam jenis masalah yang pernah hadapi
Hanif, dia tahu. Walaupun Fahmi cuba sembunyikannya, tetap dia akan cuba membongkarkannya.
Dia tahu Hanif tak mampu nak berbohong padanya jika ditanya berkait masalah. Fahmi
bukan berniat untuk menyibuk atau mencampuri hal hidup Hanif. Niatnya hanya
sekadar membantu meringan beban perasaan yang ditanggung Hanif.
Dia juga tahu
tentang kesempitan hidup yang dialami oleh keluarga Hanif. Mereka senasib. Jadi
itu tidak menyukarnya untuk memahami situasi Hanif.
Tetapi sejak dia
meninggalkan kampung halamannya ini, dia tidak lagi berhubung dengan Hanif.
Kerana kesedihan masa lalu, dia ingin melupakan segalanya yang pernah
dilaluinya ketika waktu silamnya. Secara tidak langsung, dia hampir melupakan
Hanif.
Hanif berfikir panjang. Berkira-kira sama ada mahu menerima ataupun menolak tawaran Fahmi.
"Tak tahulah bang nak cerita dari mana. Yang
pasti sekarang ni, saya rasa dah tak ada semangat nak teruskan hidup."
Setelah lama berfikir akhirnya Hanif bersuara.
"Kenapa pula? Apa yang buat kau sampai hilang
semangat ni. Setahu abang kau ni bukannya jenis yang cepat mengalah."
Suasana menjadi
sunyi seketika. Hanif hanyut dalam perasaan sendiri. Kekecewaan yang dialami
sungguh menghimpit jiwanya. Lama dia mendiamkan diri. Menyusun kata.
Akhirnya Hanif
mengalah. Dia menceritakan segalanya yang telah berlaku. Bermula dengan bagaimana
kehidupan selepas pemergian Fahmi ke kota. Bertukar pula cerita berkaitan
kelumpuhan ayahnya. Seterusnya kesempitan hidup yang semakin membebankannya
dan akhir sekali tentang impiannya.
"Abang masih ingat impian saya dulu?" Kini
giliran Hanif bertanya.
Fahmi mengangguk. Dia
dari tadi tekun mendengar. Sesekali, ada dia mencelah.
"Saya tak rasa impian tu akan tercapai bang.
Harapan dah pudar. Segalanya dah hancur. Tak guna ada impian menggunung pun,
kalau akhirnya hidup saya akan terus begini. Terus berada dalam lingkaran
kemiskinan." Hanif meluah isi hatinya. Dia menundukkan mukanya. Sebak seketika.
Melihat keadaan
Hanif, lekas-lekas Fahmi merapatkan dirinya kepada Hanif. Lalu memaut erat bahu
anak remaja itu. Cuba menyalurkan kekuatan kepada Hanif.
Setelah mendengar
cerita Hanif, tahulah dia betapa perihnya hidup Hanif dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini. Dia mula rasa bersalah kepada Hanif. Sepatutnya dia perlu ada di sisi
Hanif. Membantu Hanif.
"Maafkan abang, nif."
"Abang tak bersalah pun. Memang ni dah nasib
saya." perlahan-lahan Hanif bersuara. Nadanya kedengaran sedikit hampa.
"Kalau dah itu permintaan ibu kamu, abang rasa
baik kamu ikuti saja apa yang disuruhnya."
"Tapi bang, secara jujur. Saya nak terus belajar.
Kenapa ibu tak fikir semua tu? Kalau pun saya bekerja. Tambah-tambah berkerja
kat kampung ni, berapa sangat yang saya dapat? Sama saja tak mampu nak ubah
hidup kami sekeluarga."
"Habis tu, apa yang kau nak lakukan? Mahu ke ibu
kota sama seperti abang?" Fahmi cuba menduga.
Hanif tidak
bersuara.
"Jika terpaksa. Mungkin itu yang bakal saya
lakukan. Lagipun, hanya jalan itu yang saya nampak sekarang. Dah ibu berkeras
tak nak beri peluang saya belajar. Baik saya keluar saja dari kampung ini. Cari
kerja di bandar" Kedengaran Hanif bertekad dengan keputusan baru yang
dibuatnya.
Fahmi diam tatkala
mendengar jawapan Hanif. Rasa menyesal pula Fahmi dibuatnya kerana bertanyakan
hal itu. Dia senyap seketika untuk memikirkan nasihat terbaik yang dapat
diberikan kepada Hanif.
"Jangan kerana marahkan ibu kamu, kamu nak
tinggalkan kampung ini."
"Dah ibu juga yang nakkan saya bekerja."
Hanif meningkah.
"Memanglah. Tapi bukan bermakna kamu perlu
tinggalkan kampung ini. Kau tak boleh tinggalkan keluarga kamu, Nif. Kau tak
boleh nak ikut jejak langkah abang. Kita tak sama. Kau masih ada tanggungjawab
yang perlu kau pikul di sini."
Ya, mungkin dari
segi hidup mereka senasib. Tetapi dalam hal ini mereka tidak sama kerana Fahmi
merantau ke ibu kota setelah beberapa bulan pemergian kedua-dua ibu bapanya ke
rahmatullah akibat terkorban dalam satu tragedi kebakaran lima tahun yang lalu.
Di kampung ini dia
tidak punya sesiapa lagi memandangkan dia merupakan anak tunggal dan tidak
punya saudara-mara. Maka di sebabkan itu dia merantau untuk menjalani hidup
baru setelah kehilangan mereka yang dicintai di samping mengubah nasib diri.
Berbeza dengan
Hanif. Dia masih mempunyai kedua-dua ibu bapanya yang perlu dijaga. Punya adik-adik
yang perlu dilindungi dan dibela. Oleh kerana itu, Fahmi sama sekali melarang Hanif
bertindak sama seperti dirinya.
Namun Hanif seperti
berkeras dengan tindakkannya itu.
"Jika dah itu keputusan kamu. Abang tak boleh nak
kata apa-apa lagi. Tapi hanya satu yang abang nak nasihatkan. Jangan nanti bila
kau dah lakukan, baru kamu nak menyesal dengan tindakan kamu meninggalkan
mereka. Kau kena ingat, jika kau hilang harta, kau boleh cari dan dapatkan
kembali. Tapi kalau kau hilang keluarga, kau tak pernah mampu mencari dan
mendapatkannya kembali." tegas Fahmi. Dia memandang ke arah Hanif. Merenung mata Hanif.
Hanif mengalihkan
pandangan kearah lain. Dia tidak berani membalas renungan mata Fahmi.
"Kebahagiaan hidup kita sebagai seorang anak ni
hanya mampu kita dapat bila kedua-dua ibu bapa kita redha ke atas kita. Tak
guna suatu hari nanti andai kau mampu mengubah nasib diri keluarga kamu namun
tindakkan kamu itu langsung tidak mendapat redha dari ibu bapa kamu." Kali
ini lembut nasihat daripada Fahmi. Dia cuba untuk melenturkan hati Hanif.
Hanif hanya memasang telinga. Yang pastinya, hatinya
kini disentak kuat oleh kata-kata Fahmi. Fikirannya mula mempertimbangkan apa
yang telah dipertuturkannya sebentar tadi.
‘Benarkah aku mahu melakukan itu?’ Dalam hati, dia
menyoal diri sendiri.
**********
Ketika ini, Mak
Imah baru sahaja selesai mengangkat baju di jemuran. Sesekali dia menjenguk ke
jendela kayu. Memandang ke arah jalan menanti Hanif yang masih belum-belum
pulang lagi dari pagi tadi.
Dia mengeluh. Rasa
bimbang mula menyelubungi perasaannya kini.
“Ke manalah kamu pergi ni Hanif.” Keluh Mak Imah.
“Imah…” Panggil Pak Sulaiman yang berada tidak jauh
dari tempat Mak Imah berdiri.
“Ya, bang.” Cepat-cepat Mak Imah mendekati suaminya.
Dia duduk bersila. Sopan tanda menghormati lelaki bernama suami.
“Ada apa bang? Abang lapar ke? Nak mandi? Atau abang
nak apa-apa kah?” bertalu-talu pertanyaan ditujukan kepada Pak Sulaiman. Jelas
menunjukkan keprihatinannya sebagai seorang isteri.
“Tak. Abang tak perlukan lagi semua itu.” Kata Pak
Sulaiman sambil mengukirkan senyuman manis buat isterinya.
“Abang nak bercakap dengan Imah sekejap, boleh?”
Mak Imah mengangguk. “Cakap sajalah abang. Tak usah
meminta izin.”
Seketika Pak Sulaiman mengunci bicara. Mak Imah di
sisi masih setia menanti apa yang ingin disampaikan oleh suaminya.
“Abang tak nak Imah paksa Hanif berhenti belajar.”
Lembut Pak Sulaiman memberitahu namun tetap di sebalik katanya itu ada
ketegasannya.
“Tapi bang, kita tak mampu. Dengan keadaan…” Mak Imah mematikan
kata-katanya. Dia tidak meneruskan bicaranya. Bimbang andai dia teruskannya
juga nanti hati suaminya akan terguris. Lalu dia mengambil keputusan untuk tidak
meneruskannya.
“Abang faham situasi Imah. Dan abang minta maaf kerana
di sebabkan keadaan abang yang begini, Imah perlu tanggung keluarga kita.” Pak
Sulaiman yang ketika ini sedang duduk bersandar di dinding menggerakkan
tangannya lalu diletakkan pada pipi mulus isterinya.
“Abang jangan fikir macam tu.” Mak Imah membalas
pegangan tangan suaminya.
“Abang tak nak, anak-anak kita marah ataupun membenci
kita hanya kerana kita musnahkan impian dan harapan mereka. Imah kena tahu
anak-anak zaman sekarang bukannya macam kita dulu yang boleh dipaksa untuk
menurut. Mereka lain. Hanif ada harapan dan impian yang nak dicapainya. Berikan
dia peluang untuk kecapinya.”
“Tapi bang, jika Hanif teruskan pengajiannya.
Bagaimana dengan yuran pengajiannya? Yuran tu semakin meningkat. Imah tak dapat
nak tampung. Lagipun, ketika ini hanya dia sahaja yang Imah rasakan dapat
membantu Imah. Nak diharapkan pada Laila, Zulaika dan Syakirin, apalah sangat
yang mampu mereka lakukan dalam usia sekecil itu.” Luah Mak Imah.
“Imah tak percaya Allah itu ada? Imah tak
percayakan takdirkan-Nya” soal Pak Sulaiman.
Mak Imah diam. Mak Imah menundukkan pandangannya.
“Walaupun kita susah namun itu tidak bermakna Allah
tak akan membantu kita. Kita kena yakin pada-Nya. Yakin Allah akan bantu kita.
Kesempitan dan kesusahan yang dia berikan ini bukan kerana Dia benci kita tapi tanda
dia kasih dan sayang pada kita. Dia nak kita kembali ke sisi-Nya. Nak kita dekatkan
diri dengan-Nya. Nak kita kembali menangis dan mengadu pada-Nya. Bukannya untuk
kita mengeluh dan menjauhi-Nya.” Berhemah Pak Sulaimah menasihati.
Tika ini, Mak Imah sudah tersedu-sedu dalam tangisan.
Kembali insaf atas kekhilafan diri. Oleh kerana, kesempitan hidup dia jadikan
alasan untuk memusnahkan impian anak sendiri. Kerana rendahnya ketahanan dan
kurangnya kesabaran dalam diri buat dia mengeluh tatkala terus dihujani ujian
Allah. Sepatutnya dia bersyukur bukannya mempertikaikannya.
**********
Seusai solat, dia
masih di atas hamparan tikar sejadah. Duduk bersila sambil mencari ketenangan
dan kelapangan jiwa. Gundah di hati masih lagi berlagu. Kata-kata Fahmi masih
segar di mindanya. Masih bermain-main di telinganya.
Tup…tup…tup.
Pintu bilik diketuk
dari arah luar. Hanif hanya memerhatikan sahaja pintu itu ditolak
perlahan-lahan.
Kelihatan Mak Imah
sedang berdiri di hadapan pintu. Dia menyusun langkah mendekati anak lelakinya
itu. Senyuman yang menenangkan diberikan buat Hanif. Hanif membalas senyuman
itu namun hanya dengan senyuman yang dipaksa-paksa. Dia tidak mampu menafikan
bahawa hatinya masih terguris dan terkesan dengan kata-kata ibunya.
Mak Imah duduk bersila di sisi anak
sulungnya itu. Perlahan-lahan tangannya diangkat mengusap lembut rambut Hanif.
Hanif membiarkan sahaja. Saat tangan
seorang ibu menyentuh lembut ubun-ubun anaknya, Hanif mampu merasakan kasih sayang
ibunya laju mengalir ke dalam dirinya. Hatinya lentur hanya kerana sentuhan
itu.
“Hanif masih marahkan ibu?” Mak Imah
menatap wajah Hanif. Hanif tidak menjawab sebaliknya menundukkan mukanya.
Suasana menjadi sunyi. Yang
kedengaran hanyalah bunyi kipas usang yang berputar lemah dan bunyi cengkerik
di luar rumah.
“Maafkan ibu nak. Ibu akui, ibu silap. Ibu tak patut paksa kamu.” Mak Imah diam. Matanya kini berkaca. Dia
menahan tetapi akhirnya kalah jua diamuk perasaan.
Hanif mengangkat wajah ketika
mendengar ada esakan dari ibunya. Bingkas dia menggerakkan dirinya mendekati ibunya.
Dia menyapu titisan air mata di pipi ibunya. Dia dilanda rasa bersalah dan
berdosa kerana disebabkan dia ibunya menangis.
“Ibu tak bersalah. Hanif yang
bersalah. Sepatutnya Hanif kena faham situasi ibu.” Ujar Hanif bersama
tangisan.
Mak Imah mengapai tangan Hanif yang
masih melekat di pipinya. Menggengam erat tangan itu.
“Teruskan impianmu nak. Ibu takkan
larang. Ibu izinkan kamu kejar cita-citamu.” Kata Mak Imah sambil mengusap pipi
Hanif.
Hanif menggeleng-geleng.
“Tak ibu. Hanif akan bantu ibu. Tak mengapalah jika
Hanif terpaksa berhenti sekolah pun. Asal ibu, ayah dan adik-adik bahagia,
Hanif akan turut bahagia. Hanif akan turuti semuanya yang ibu mahu Hanif
lakukan.” Kini hatinya benar-benar redha. Andai ini sudah ditakdirkan buatnya, dia terima. Tidak mengapalah andai impiannya hilang, asalkan dia tidak
kehilangan keluarga yang dicintai.
“Jangan Hanif. Jangan kerana ibu engkau musnahkan
segala impian yang pernah engkau wujudkan. Pergilah kejar dan capai impian itu.
Ini harapan mak dan ayahmu. Jangan hampakan kami.” Tegas Mak Imah.
Tangisan Hanif kian mengendur. Tika mendengar bicara
ibunya, dia merenung ibunya. Mata mereka bertaut. Ibu mengangguk membenarkan
apa yang baru dikatakannya.
"Mak redha andai Hanif teruskan impian Hanif ?” Soal
Hanif untuk mendapatkan kepastian.
Sekali lagi Mak Imah mengangguk. Tanda redha. Hanif
terus memeluk erat ibunya. Air mata kian laju kembali membasahi pipi.
Teresak-esak dia dalam dakapan ibunya.
“Terima kasih, ibu. Hanif janji akan capai impian itu.
Hanif janji akan bela keluarga kita ini. Hanif janji akan ubah hidup kita ini.” Janji Hanif dalam keadaan suara yang terserak-serak. Dia masih dalam pelukkan ibunya.
Mak Imah menepuk-nepuk lembut belakang
anaknya. Dia mengeratkan lagi pelukkan anaknya itu. Malam itu malam yang sungguh
syahdu buat dua beranak itu. Malam yang mengusirkan segala gundah di hati.
Menggantikannya dengan pancaran sinar pelangi di hati.
-TAMAT-