pages

Dunia


Jika aku diberi peluang ataupun kuasa untuk menjedakan masa buat seketika waktu, aku ingin ! Aku ingin melakukannya.

Aku ingin berhenti seketika dari terus dihimpit oleh kesibukan dunia. Aku ingin berhenti seketika dari terus memikirkan masalah-masalah dunia. Aku ingin berhenti seketika dari terus terbuai dan tertipu dengan dunia.

Dunia, sememang indah di mata manusia. Keindahan yang menghiasi permukaannya buat manusia terbuai sehingga membuatkan manusia terlena dalam sedar.

"Manusia ketika hidupnya walaupun jasad bernyawa namun sebenarnya mereka sedang tertidur. Dan mereka hanya akan tersedar saat ajal datang menjemputnya."

Aku,

Juga sama seperti yang lain yang kadang-kala terperdaya dengan keindahan dan kenikmatan dunia yang tertayang di hadapan mata.

Saat diri terbuai dengan semua itu, fikiran hanya ditumpukan pada kehidupan dunia. Setiap saat minda hanya memikirkan tentang dunia dan dunia. Sehingga diri mengabaikan apa yang perlu diutamakan. Lama-kelamaan, tanpa disedari hati dan jiwa jadi kosong.

Sampai suatu ketika kekosongan itu bagaikan mencengkam jiwa sehingga menyebabkan aku merasakan kehidupan yang dilalui kini bagaikan tiada maknanya. Semua itu benar-benar menyeksa.

Perasaan itu buat aku rasa nak menangis. Menangis sekuat-kuatnya. Saat itu tiada kata-kata yang mampu mengambarkan apa yang aku rasai tika itu. Inilah akibatnya, apabila diri terus-terusan memikirkan urusan dunia.

Hebat kan dunia,

Dalam diam, dia lenakan manusia dan buatkan manusia melupakan apa yang sepatutnya mereka fikirkan.

"Ingatlah, dengan mengingati Allah S.W.T , hati-hati akan menjadi tenang." -(Surah Ar-Ra'd, 13 : 28)



by: hidaynadhir

Bingkisan Hidup


Dia yang termenung,
bersendirian di bawah purnama bulan,
air mata sudah lama terhenti,
kering,
namun jiwanya
masih lagi menangis berduka.
Diri tidak henti memikirkan
peristiwa lalu,

dia benar-benar terseksa
jiwa batinnya terluka,
 
Mengapa kejam dunia kepadanya?
Mengapa dia yang perlu melalui semua ini?
 Mengapa dirinya?

Soalan demi soalan
terus muncul di benak,
meminta untuk dijawab,
namun sampai kini setiap persoalan itu
masih lagi terbiar tidak
terjawab.

Jeritan batin
terus menghimpit diri
sampai bilakah derita ini akan terhenti?

Begitu berat derita
yang ditanggungnya tika ini,
dia benar-benar kelelahan.
dia sendiri tidak pasti
adakah dirinya masih lagi
mampu bertahan ataupun tidak.



Cerpena : Engkau Sahabatku


Aku memeluknya erat. Kegembiraan jelas terzahir di wajah kami. Kesyukuran tak putus meniti dari bibirnya, begitu juga aku. Berita daripadanya buat aku begitu gembira dan bahagia. Dia datang membawa khabar gembira. Katanya pemohonan kami untuk menyambung pengajian ke institusi tinggi, diterima.

Menambahkan lagi kegembiraan, kami ditawarkan ke institusi yang sama. Itulah impian dan harapan kami. Dan disebabkan impian itulah buat kami bersemangat untuk terus berjuang bersama bagi memastikan ianya terealisasi.

Segala kesukaran dan keperitan yang kami lalui dahulu akhirnya digantikan dengan sesuatu yang sungguh berharga dan yang sangat kami nantikan.

Kami melangkah dengan semangat, harapan dan impian baru bersamanya kami bawa perjuangan dahulu. Perjuangan yang takkan pernah kami tinggalkan. Perjuangan yang menjadi tujuan utama kami untuk terus bernyawa. Perjuangan untuk menjadi hambanya yang teguh berdiri berjuang mengangkat kalimah-Nya ke punjak tertinggi. Semua itu kami pasakkan dalam diri agar haluan yang bakal kami lalui nanti akan terpandu.

Waktu terus berputar. Kini, aku menginjak ke tanah baru. Di tanah yang menjadi rebutan mereka yang tagihkan ilmu. Saat kaki melangkah masuk, pelbagai manusia aku temui. Ragam dan kerenah mereka buatkan aku belajar sesuatu. Inilah kehidupan. Sebuah kehidupan baru yang bakal aku tempuh dalam beberapa tempoh akan datang dan mereka itu jugalah yang sentiasa akan aku temui sepanjang tempoh tersebut.

**********

Aku dan dia sentiasa bersama. Ke mana sahaja dia berada pasti akan ada aku di sisinya. Keakraban kami memang sudah diketahui ramai sehinggakan apabila orang mengenalinya pasti mereka juga mengenaliku. Dan begitu juga sekiranya orang mengenaliku pastinya mereka turut mengenalinya.

Seringkali kami ditanya, tidak jemu ataupun bosankah kami sentiasa bersama?

     "Kenapa nak jemu ataupun bosan. Kalau bersahabat atas nama Allah... insha-Allah perasaan tu takkan kita rasa bila bersamanya. "

Jawapan itu yang sering keluar dari bibirnya saat ditanya sedemikian dan jawapannya itu sering aku pinjam untuk menjawab persoalan yang sama.

Masa begitu pantas berlalu. Dalam sedar, kini usia pengajian kami hanya berbaki beberapa bulan lagi. Begitu banyak pengalaman yang aku lalui dan daripadanya banyak mendidik aku menjadi matang dan dewasa. Pengalaman itu cukup berharga dan jika ingin dihitung nilainya pastinya tidak terhitung.

Dan dia banyak sekali membantuku. Sejak dari dulu lagi. Jika aku jatuh, dialah yang sentiasa sudi menarik aku untuk kembali bangkit. Jika aku dilingkari dengan masalah, dialah yang sentiasa datang kepadaku membantu apa yang termampu. Jika aku sakit, dialah yang akan di sisi menemaniku sehingga aku kembali sembuh. Jika aku dicemuh dan dikutuk, dialah yang akan berada di hadapanku untuk melindungi.

Pernah suatu ketika dahulu, aku difitnah hingga aku dipinggir dan disisihkan tetapi dia tidak memperlakukan aku seperti yang lain. Sebaliknya dialah yang bangkit mempertahankan hak aku. Dialah yang berjuang mengembalikan maruahku.

Aku jadi malu padanya. Begitu banyak aku terhutang budi padanya. Namun sekalipun dia tidak meminta untuk dibalas sebagaimana yang dilakukannya kepadaku.

"Kau tak payah balas apa-apa. Cukuplah kau ada di sisi aku."

Itulah yang sering dipintanya daripadaku. Kerana itu aku telah berjanji pada diriku dan bertekad tidak akan sesekali meninggalkannya sendirian melainkan ajal yang memisahkan kami.

**********

" Amir, terima kasih ya sebab sudi jadi sahabat aku."

"Iskandar… sepatutnya aku yang patut berterima kasih pada kau. Aku yang banyak terhutang budi daripada kau."

"Tapi aku tetap nak ucap juga."

Dia tersenyum sambil pandangannya dilontarkan jauh ke tengah tasik yang terbentang luas.

"Amir, nanti kalau lah aku dah tak ada lagi di samping kau... Kau kena janji dengan aku, kau akan teruskan perjuangan kita ya. Jangan mengalah walau aku tiada di sisi kau. Aku yakin kau mampu lakukannya tanpa aku."

Aku memandangnya. Wajahnya aku tenung dalam-dalam.

"Kenapa kau cakap macam tu?"

Dia menatapku. Senyuman terukir di bibirnya.

"Takdelah... Kita ni kan manusia Amir. Selama mana kita hidup pun, kita akan tetap kembali pada-Nya." Ringkas dia menjawab.

Aku terdiam. Dia menepuk lembut belakangku.

"Jangan risau Amir. Aku hanya katakan kalaulah semua itu berlaku. Belum tentu berlaku lagi. Tapi jangan pula kita menganggap semua itu tak berlaku. Akan tetap berlaku cuma... bila waktunya, belum kita ketahui kerana semua itu masih lagi menjadi rahsia-Nya."

Aku seperti tadi. Diam membisu. Jiwaku tika ini dilanda suatu perasaan yang aneh. Walaupun dia berusaha memujuk dengan kata-katanya sebentar tadi, tetap itu tidak mampu mengusir perasaan yang mula menguasai jiwaku kini. Sukar untuk aku terjemahkan perasaan itu dalam bentuk kata-kata.

Sejak hari itu, perasaanku jadi tidak menentu. Bimbang. Takut. Aku rasai semua itu. Tetapi aku tidak pasti mengapa. Berkali-kali aku mengadu pada-Nya, petanda apakah ini?

**********

Aku berlari. Pantas. Aku ingin secepat mungkin sampai ke destinasi yang dituju. Air mata tak henti-henti mengalir. Berita yang baru diterima benar-benar mengejutkan aku. Antara mimpi atau realiti. Antara benar atau tidak. Aku inginkan kepastian. Aku ingin melihat dengan mata kepalaku sendiri.

Jauh aku berlari. Jarak antara kolej kediamanku dengannya boleh dikatakan jauh. Namun itu semua tidak aku pedulikan lagi. Aku ingin pergi mendapatkannya. Malam yang kelam itu aku redah jua.

Ketika aku sampai di hadapan kediamannya, aku lihat orang ramai mula mengerumuni tempat tersebut. Aku mempercepatkan langkah mendekati mereka. Perlahan-lahan aku mencelah masuk.

Lututku terasa longlai saat terpandang wajah jasad yang kini terbaring kaku di hadapanku. Aku jatuh melutut bersama tangisan. Saluran pernafasan aku seakan tersekat sehingga menyukarkan aku bernafas dengan baik.

Saat itu, persekitaranku seakan berputar-putar. Aku tertunduk. Sekelilingku menjadi gelap. Aku tak dapat bertahan dan akhirnya aku tersungkur tidak sedarkan diri.

**********

Aku memandang jasadnya seketika. Perlahan-lahan papan berbentuk persegi itu aku angkat menutupi ruang memisahkan aku dengannya. Air mata mengalir tanpa dipinta. Pantas aku menyekatnya. Aku tidak ingin menghantar pemergiannya dengan tangisan.

Aku naik ke permukaan bumi. Tanah mula menutupi tempatnya. Kini wajah dan jasadnya tidak lagi mampu untuk aku tatapi. Kini, aku terpaksa meninggalkan engkau sendirian, sahabat. Aku perlu melakukannya walaupun jiwaku tidak merelakannya.

"Amir, ini surat yang Iskandar titipkan untuk kamu kepada ummi beberapa hari lalu." Ummi menghulurkan sepucuk surat kepadaku.

Wajah ummi aku tenung seketika sebelum surat di tangannya aku gapai.

"Ummi minta maaf sebab rahsiakan hal ini daripada pengetahuan kamu. Iskandar yang inginkan ummi rahsiakannya. Nak tak nak... ummi terpaksa akur dengan permintaannya."

     "Takpe ummi. Ummi tak salah apa-apa pun pada saya."

     Ummi telah menceritakan segalanya kepadaku. Menurut cerita ummi, Iskandar telah disahkan menghidap penyakit leukemia sejak empat bulan yang lalu. Lagi menyejutkan mereka penyakit itu telah berada di tahap keempat. Tahap yang kritikal. Iskandar sepatutnya ditahan di hospital namun dia berkeras untuk tidak berbuat demikian. Dia ingin meneruskan pengajiannya. Berkali-kali ummi memujuknya agar mendapatkan rawatan tetapi dia tetap dengan keputusannya.

            Tempoh hari, teman sebilik Iskandar menemuinya terlantar tidak sedarkan di dalam tandas. Mereka tidak sempat menyelamatkannya kerana ketika mereka menemuinya, Iskandar telah tiada.

"Terima kasih kerana Amir kerana sudi hadir dalam kehidupan kami sekeluarga. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat kepada putera ummi." Ummi tersenyum kelat

       Jiwaku sebak mendengar bicara ummi. Aku tidak mampu membalasnya. Lidahku kelu seketika.  Melihat aku yang membatukan diri, ummi meminta izinkan untuk beredar. Aku hanya sekadar mengangguk.

       Kini aku tinggal aku sendirian bersama sepucuk surat yang masih tersimpan rapi di dalam sampulnya. Lambat-lambat aku buka sampul tersebut.

Buat sahabatku, Amir Furaihah.

Mungkin ketika engkau membaca surat ini aku sudah tiada di sisimu lagi. Aku telah jauh meninggalkan engkau. Jarak kita kini jauh beribu batu. Tiada lagi pertemuan antara kita di bumi ini.

Sahabatku, terima kasih kerana sudi hadir dalam hidup aku. Sudi menjadi peneman dan pendampingku.

Maafkan aku kerana terpaksa pergi meninggalkan engkau terlebih dahulu. Aku perlu kembali ke sisi-Nya.

Sejujurnya, aku ingin terus di sampingmu namun untuk aku kecapi di dunia mungkin ianya sukar. Tidak mengapa sahabatku, Insha-Allah... di sana nanti kita akan bertemu kembali dan nanti aku akan sentiasa bersamamu.

Sahabatku, ingat... jangan lupakan perjuangan kita. Teruskannya. Capai impian dan harapan yang kita wujudkan dahulu. Jangan mengalah dengan pemergianku. Aku percayakan engkau. Teruskan melangkah walaupun aku tidak bersamamu lagi.

Salam sayang daripada sahabatmu, Haikal Iskandar.

Aku menangis. Berat jiwaku untuk melepaskannya pergi. Sungguh aku merasai kehilangan ini. Namun kerana ketentuan-Nya, aku terpaksa akur dan merelakannya. Dia lebih mengetahui segalanya dan pastinya dia tahu apa yang terbaik buat kami.

Aku akan terus melangkah sahabat dan akan ku gapai segala impian dan harapan yang kita semai dahulu. 


‘Sahabatku... Moga bertemu di sana nanti. Nantikan kehadiranku di sisimu suatu hari nanti.’



-hidaynadhir-
3 Julai 2015