Aku memeluknya erat. Kegembiraan jelas terzahir di wajah kami. Kesyukuran tak putus meniti dari bibirnya, begitu juga aku. Berita daripadanya buat aku begitu gembira dan bahagia. Dia datang membawa khabar gembira. Katanya pemohonan kami untuk menyambung pengajian ke institusi tinggi, diterima.
Menambahkan lagi kegembiraan, kami ditawarkan ke
institusi yang sama. Itulah impian dan harapan kami. Dan disebabkan impian
itulah buat kami bersemangat untuk terus berjuang bersama bagi memastikan ianya
terealisasi.
Segala kesukaran dan keperitan yang kami lalui
dahulu akhirnya digantikan dengan sesuatu yang sungguh berharga dan yang sangat
kami nantikan.
Kami melangkah dengan semangat, harapan dan
impian baru bersamanya kami bawa perjuangan dahulu. Perjuangan yang takkan
pernah kami tinggalkan. Perjuangan yang menjadi tujuan utama kami untuk terus bernyawa.
Perjuangan untuk menjadi hambanya yang teguh berdiri berjuang mengangkat
kalimah-Nya ke punjak tertinggi. Semua itu kami pasakkan dalam diri agar haluan
yang bakal kami lalui nanti akan terpandu.
Waktu terus berputar. Kini, aku menginjak ke
tanah baru. Di tanah yang menjadi rebutan mereka yang tagihkan ilmu. Saat kaki melangkah
masuk, pelbagai manusia aku temui. Ragam dan kerenah mereka buatkan aku belajar
sesuatu. Inilah kehidupan. Sebuah kehidupan baru yang bakal aku tempuh dalam
beberapa tempoh akan datang dan mereka itu jugalah yang sentiasa akan aku temui
sepanjang tempoh tersebut.
**********
Aku dan dia sentiasa bersama. Ke mana sahaja
dia berada pasti akan ada aku di sisinya. Keakraban kami memang sudah diketahui
ramai sehinggakan apabila orang mengenalinya pasti mereka juga mengenaliku. Dan
begitu juga sekiranya orang mengenaliku pastinya mereka turut mengenalinya.
Seringkali kami ditanya, tidak jemu ataupun
bosankah kami sentiasa bersama?
"Kenapa nak jemu ataupun bosan. Kalau
bersahabat atas nama Allah... insha-Allah perasaan tu takkan kita rasa bila
bersamanya. "
Jawapan itu yang sering keluar dari bibirnya
saat ditanya sedemikian dan jawapannya itu sering aku pinjam untuk menjawab persoalan
yang sama.
Masa begitu pantas berlalu. Dalam sedar, kini usia
pengajian kami hanya berbaki beberapa bulan lagi. Begitu banyak pengalaman yang
aku lalui dan daripadanya banyak mendidik aku menjadi matang dan dewasa.
Pengalaman itu cukup berharga dan jika ingin dihitung nilainya pastinya tidak
terhitung.
Dan dia banyak sekali membantuku. Sejak dari
dulu lagi. Jika aku jatuh, dialah yang sentiasa sudi menarik aku untuk kembali
bangkit. Jika aku dilingkari dengan masalah, dialah yang sentiasa datang
kepadaku membantu apa yang termampu. Jika aku sakit, dialah yang akan di sisi
menemaniku sehingga aku kembali sembuh. Jika aku dicemuh dan dikutuk, dialah
yang akan berada di hadapanku untuk melindungi.
Pernah suatu ketika dahulu, aku difitnah hingga
aku dipinggir dan disisihkan tetapi dia tidak memperlakukan aku seperti yang lain.
Sebaliknya dialah yang bangkit mempertahankan hak aku. Dialah yang berjuang
mengembalikan maruahku.
Aku jadi malu padanya. Begitu banyak aku
terhutang budi padanya. Namun sekalipun dia tidak meminta untuk dibalas
sebagaimana yang dilakukannya kepadaku.
"Kau tak payah balas apa-apa. Cukuplah kau
ada di sisi aku."
Itulah yang sering dipintanya daripadaku.
Kerana itu aku telah berjanji pada diriku dan bertekad tidak akan sesekali
meninggalkannya sendirian melainkan ajal yang memisahkan kami.
**********
" Amir, terima
kasih ya sebab sudi jadi sahabat aku."
"Iskandar…
sepatutnya aku yang patut berterima kasih pada kau. Aku yang banyak terhutang
budi daripada kau."
"Tapi aku tetap
nak ucap juga."
Dia tersenyum sambil
pandangannya dilontarkan jauh ke tengah tasik yang terbentang luas.
"Amir, nanti kalau
lah aku dah tak ada lagi di samping kau... Kau kena janji dengan aku, kau akan
teruskan perjuangan kita ya. Jangan mengalah walau aku tiada di sisi kau. Aku
yakin kau mampu lakukannya tanpa aku."
Aku memandangnya.
Wajahnya aku tenung dalam-dalam.
"Kenapa kau cakap
macam tu?"
Dia menatapku. Senyuman
terukir di bibirnya.
"Takdelah... Kita
ni kan manusia Amir. Selama mana kita hidup pun, kita akan tetap kembali
pada-Nya."
Ringkas dia menjawab.
Aku terdiam. Dia menepuk
lembut belakangku.
"Jangan risau
Amir. Aku hanya katakan kalaulah semua itu berlaku. Belum tentu berlaku lagi. Tapi jangan pula kita menganggap semua itu tak berlaku. Akan tetap berlaku cuma... bila waktunya, belum kita ketahui kerana semua itu
masih lagi menjadi rahsia-Nya."
Aku seperti tadi. Diam
membisu. Jiwaku tika ini dilanda suatu perasaan yang aneh. Walaupun dia
berusaha memujuk dengan kata-katanya sebentar tadi, tetap itu tidak mampu
mengusir perasaan yang mula menguasai jiwaku kini. Sukar untuk aku terjemahkan
perasaan itu dalam bentuk kata-kata.
Sejak hari itu,
perasaanku jadi tidak menentu. Bimbang. Takut. Aku rasai semua itu. Tetapi aku
tidak pasti mengapa. Berkali-kali aku mengadu pada-Nya, petanda apakah ini?
**********
Aku berlari. Pantas. Aku ingin secepat
mungkin sampai ke destinasi yang dituju. Air mata tak henti-henti mengalir.
Berita yang baru diterima benar-benar mengejutkan aku. Antara mimpi atau
realiti. Antara benar atau tidak. Aku inginkan kepastian. Aku ingin melihat
dengan mata kepalaku sendiri.
Jauh aku berlari. Jarak
antara kolej kediamanku dengannya boleh dikatakan jauh. Namun itu semua tidak
aku pedulikan lagi. Aku ingin pergi mendapatkannya. Malam yang kelam itu aku
redah jua.
Ketika aku sampai di
hadapan kediamannya, aku lihat orang ramai mula mengerumuni tempat tersebut.
Aku mempercepatkan langkah mendekati mereka. Perlahan-lahan aku mencelah masuk.
Lututku terasa longlai
saat terpandang wajah jasad yang kini terbaring kaku di hadapanku. Aku jatuh
melutut bersama tangisan. Saluran pernafasan aku seakan tersekat sehingga
menyukarkan aku bernafas dengan baik.
Saat itu,
persekitaranku seakan berputar-putar. Aku tertunduk. Sekelilingku menjadi
gelap. Aku tak dapat bertahan dan akhirnya aku tersungkur tidak sedarkan diri.
**********
Aku
memandang jasadnya seketika. Perlahan-lahan papan berbentuk persegi itu aku
angkat menutupi ruang memisahkan aku dengannya. Air mata mengalir tanpa
dipinta. Pantas aku menyekatnya. Aku tidak ingin menghantar pemergiannya dengan
tangisan.
Aku naik ke permukaan bumi. Tanah mula menutupi
tempatnya. Kini wajah dan jasadnya tidak lagi mampu untuk aku tatapi. Kini, aku
terpaksa meninggalkan engkau sendirian, sahabat. Aku perlu melakukannya walaupun
jiwaku tidak merelakannya.
"Amir, ini surat yang Iskandar titipkan
untuk kamu kepada ummi beberapa hari lalu." Ummi menghulurkan
sepucuk surat kepadaku.
Wajah ummi aku tenung seketika sebelum surat
di tangannya aku gapai.
"Ummi minta maaf sebab rahsiakan hal ini
daripada pengetahuan kamu. Iskandar yang inginkan ummi rahsiakannya. Nak tak
nak... ummi terpaksa akur dengan permintaannya."
"Takpe ummi. Ummi tak salah apa-apa pun pada saya."
Ummi telah menceritakan segalanya kepadaku. Menurut cerita ummi, Iskandar
telah disahkan menghidap penyakit leukemia sejak empat bulan yang lalu.
Lagi menyejutkan mereka penyakit itu telah berada di tahap keempat. Tahap yang
kritikal. Iskandar sepatutnya ditahan di hospital namun dia berkeras untuk
tidak berbuat demikian. Dia ingin meneruskan pengajiannya. Berkali-kali ummi
memujuknya agar mendapatkan rawatan tetapi dia tetap dengan keputusannya.
Tempoh
hari, teman sebilik Iskandar menemuinya terlantar tidak sedarkan di dalam
tandas. Mereka tidak sempat menyelamatkannya kerana ketika mereka menemuinya,
Iskandar telah tiada.
"Terima kasih
kerana Amir kerana sudi hadir dalam kehidupan kami sekeluarga. Terima kasih
kerana sudi menjadi sahabat kepada putera ummi." Ummi tersenyum kelat
Jiwaku sebak mendengar bicara ummi. Aku tidak mampu membalasnya. Lidahku kelu seketika. Melihat aku yang membatukan diri, ummi meminta izinkan untuk beredar.
Aku hanya sekadar mengangguk.
Kini aku tinggal aku sendirian bersama sepucuk surat yang masih
tersimpan rapi di dalam sampulnya. Lambat-lambat aku buka sampul tersebut.
Buat sahabatku, Amir Furaihah.
Mungkin ketika engkau membaca surat ini
aku sudah tiada di sisimu lagi. Aku telah jauh meninggalkan engkau. Jarak kita
kini jauh beribu batu. Tiada lagi pertemuan antara kita di bumi ini.
Sahabatku, terima kasih
kerana sudi hadir dalam hidup aku. Sudi menjadi peneman dan pendampingku.
Maafkan aku kerana terpaksa pergi meninggalkan engkau terlebih dahulu. Aku
perlu kembali ke sisi-Nya.
Sejujurnya, aku ingin
terus di sampingmu namun untuk aku kecapi di dunia mungkin ianya sukar. Tidak mengapa sahabatku, Insha-Allah... di sana nanti kita akan bertemu kembali dan nanti aku akan sentiasa bersamamu.
Sahabatku, ingat... jangan lupakan perjuangan kita. Teruskannya. Capai impian dan harapan yang kita
wujudkan dahulu. Jangan mengalah dengan pemergianku. Aku percayakan engkau.
Teruskan melangkah walaupun aku tidak bersamamu lagi.
Salam sayang daripada sahabatmu, Haikal
Iskandar.
Aku menangis. Berat
jiwaku untuk melepaskannya pergi. Sungguh aku merasai kehilangan ini. Namun
kerana ketentuan-Nya, aku terpaksa akur dan merelakannya. Dia lebih mengetahui
segalanya dan pastinya dia tahu apa yang terbaik buat kami.
Aku akan terus melangkah sahabat dan akan ku gapai segala impian dan harapan yang kita semai dahulu.
‘Sahabatku... Moga bertemu di sana nanti.
Nantikan kehadiranku di sisimu suatu hari nanti.’
-hidaynadhir-
3 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan