pages

Memaparkan catatan dengan label Kisah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah. Papar semua catatan

Bila Aku Kau Lupa

Nukilan: Hidayatun Nadhirah



Setelah berminggu lamanya dia tak jejak kaki ke surau, malam tu Allah detikkan hatinya untuk melangkah ke sana. Namun sebenarnya, masih ada rasa malas untuk turun dalam dirinya pada waktu tu atas beberapa alasan yang tidak kukuh.

‘Satgi kalau turun, nanti ada apa-apa program kat surau… tak boleh nak lari. Maybe pukul 10 malam aku boleh balik ke bilik. Kerja banyak. Assignment banyak tak siap lagi. Due date dah nak dekat. Tak sempat nak siapkan nanti…’ – bisik hatinya.

‘So tak payah pergi laa…’ – satu bisikan lain pula menyapa hati.

‘Mana boleh. Kau dah lama tak turun solat berjemaah.’ – sisa iman dalam hati menegah.

Dia buntu seketika. Betullah apa yang selalu diperkatakan, nak buat benda baik ni macam-macam halangan dan alasan yang akan muncul menghalang seseorang melakukannya. Tapi bila nak buat benda yang tak berapa baik, uish laju je pergerakkan. Seakan smooth gitu.

‘Pergi saja. Kerja tu nanti boleh buat juga. Mana tahu bila kau turun solat berjemaah, balik nanti kerja kau jadi mudah sebabnya Allah tolong dengan mempermudahkan segalanya.’

Dia mengangguk kecil. Pujukan itu berkesan melenturkan hatinya dan dia memilih untuk turun ke surau malam itu.

Di surau, dia solat berjemaah dengan beberapa penghuni kolej kediaman yang lain. Di kolej kediaman 1 USIM, kesemua penghuninya terdiri daripada mahasiswi-mahasiswi tahun 1. Ada saja pelajar tahun lain namun jumlahnya tidak terlalu ramai. Hanya minoriti sahaja. Secara umumnya, kolej kediaman ini dikhususkan untuk pelajar perempuan.

Malam tu, tak sampai sepuluh orang pun yang ada waktu solat maghrib. Kebanyakkan penghuni kolej kediaman yang lain lebih suka solat di bilik berjemaah dengan roommate masing-masing. Perhaps... Fikirnya.

Usai solat dan berdoa, dia menjarakkan diri dari jemaah yang lain. Duduk di satu sudut yang sedikit terpencil sambil menyandarkan badan pada dinding konkrik bangunan. Sedap senggoti. Nyaman pula tu. Aircond yang terpasang pada suhu yang entah mencecah ke berapa dapat dirasai menyentuh lembut jasadnya yang ditutupi kain sembahyang.

Sedang asyik dia mengitari pandangan melihat suasana surau itu, tiba-tiba pintu di sebelah tangga muslimin dibuka perlahan.

Dua orang muslimin muncul di balik daun pintu itu. Salah seorang seorang dari mereka terlihat seperti berusia lingkungan 30-an manakala seorang lagi dalam lingkungan 20-an. Seorang ustaz dan pelajar kot. Dia mengagak.

Terlihat sahaja 2 muslimin itu, terus kaki yang tadinya terlunjur ke depan ditarik pantas. Serentak dengan itu, badan bertukar posisi. Kini dia duduk dalam keadaan bersila.

Nak dijadikan cerita, apa yang difikirkannya benar-benar berlaku. Malam tu memang ada program di surau tu. Program ceramah mengupas tentang sebuah kitab iaitu kitab Rasail Nur karya Badi’uzzaman Syeikh Said Nursi.

Sama ada nak atau tidak, dia terpaksa kekal berada di situ juga. Dah alang-alang duduk, baik terus duduk je. Nak bangun, seganlah pula.

“Takpelah. Dengar jelah. Mana tahu dari ceramah ni, ada sesuatu yang kau dapat. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak tegur. Lagipun, kau dah lama tak join program-program macam ni. Mungkin dari ceramah ni juga, masalah yang kau hadapi sekarang boleh settle?” – sisa iman dalam hati memainkan peranan ketika hatinya sedang terumbang-ambing.

Dia terpujuk.

----

“Saya nak betulkan sikit tentang tajuk talk kita malam ni. Sebenarnya bukan hikayat sebaliknya hakikat iman melalui jalan tafakur.”  Penceramah itu membetulkan tajuk ceramah malam itu.

Ketika ini, ceramah sudah berlangsung sekitar 30 minit. Ruangan surau KK1 sudah mula dipenuhi jemaah yang terdiri dari pelajar lelaki dan pelajar perempuan.

“Dalam kitab ni, penulis mengupas tentang beberapa soalan penting yang sering dikemukakan oleh setiap manusia. Semua ini disebabkan manusia mempunyai akal. Mempunyai akal fikiran merupakan fitrah manusia.”

“Manusia sering kali mempersoalkan, dari mana mereka datang? Untuk apa mereka dihantar ke dunia? dan ke mana mereka akan pergi selepas kehidupan di bumi?”

Dia mencatat satu persatu-satu point penting yang disampaikan oleh penceramah tersebut di dalam buku notanya.

Macam tahu-tahu je malam ni ada ceramah. Siap bawa buku nota sekali.

Bukanlah !

Buku nota itu memang akan selalu dibawanya ke mana-mana. Baginya, menulis merupakan salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi. Tulis apa sahaja yang sedang bermain di fikiran, yang terlintas di hati, yang terlihat di mata dan yang terdengar menerusi telinga. Lepas je tulis, semangat yang awalnya jatuh seakan terbangun kembali. Dia jadi lebih bersemangat untuk teruskan hidupnya.

Tambahan pula, dia punya angan-angan untuk menjadi penulis dan dia rasa cara yang dia buat sekarang merupakan salah satu langkah untuk persiapkan diri untuk jadi penulis suatu masa akan datang. Cewah.  Hah! begitu kisah dibalik buku nota tu. 😁

“Uslub yang ditulis oleh Syeikh Said Nursi sangat berbeza. Namun, ia sesuai dengan keadaan semasa. Karyanya sebuah karya kontemperari.”

Ceramah diteruskan dan berhenti tepat pada pukul 10 malam.

Benar, dari ceramah itu dia dapat sesuatu yang berharga. Persoalan tentang masalah yang dihadapi sejak kebelakangan ini terjawab dengan jelas.

“… tujuan kita diutuskan ke dunia ini adalah untuk beribadah kepada-Nya. Bila kita fahami betul-betul konsep ni, InshaAllah hidup kita akan terarah. Perjalanan kita merentasi kehidupan ini akan terpandu. Bertemu dengan Allah menjadi matlamat pada mereka yang betul-betul memahami konsep ini. Sebuah matlamat yang ingin dikecapi pada pengakhiran hidup di dunia ini.”

Dia sedar akan satu perkara. Masalah yang dihadapinya sejak kebelakangan ini sebenarnya berpunca dari dirinya sendiri. Ketika mana dia mula menjarakkan diri dari pencipta, masalah itu seakan datang dan terus datang. Masalah itu jadi lebih parah bilamana ia tidak berjaya diselesai. Masalah apa yang dia hadapi? Biarlah ia menjadi rahsia dia dengan penciptanya.

Ok, End. 😄

KK1, USIM
29 Mei 2017
7.56 AM

Kisah : Kau Sanggup ?




"Kau sanggup?Dia bertanya. Terdiam aku seketika saat ditanya sebegitu.

Aku berkira-kira untuk menjawab. Masih mencari jawapan tepat dan pasti. Andai dijawab tidak, khuatir diri dianggap tidak serius. Dan perkara yang paling tidak suka didengari di seusiaku ini adalah andai diri dianggap tidak matang.

Aku diam memberi ruang kepada minda untuk berfikir. Dia masih menanti sambil tangan mencatat sesuatu pada sehelai kertas.

"Insha-Allah, andai itu yang perlu saya lakukan. Saya sanggup."  Terasa perih untuk menuturkan kata-kata itu. Dia mengangguk.


"Apa yang kau tahu tentang tanggungjawab?" Serius dia bertanya sambil memandang tepat ke arahku. Aku semakin gemuruh. Dapatku rasakan peluh di badan mula pecah membasahi bahagian belakang.

Penghawa dingin yang dipasang seakan tidak berfungsi. Aku menarik nafas. Berusaha mengurangkan rasa gementara dan gemuruh yang mula ingin menguasai diri.

'Tenang, kau mampu lakukannya.' Aku cuba menyakinkan diri.

"Definisi ke?" teragak-agak aku bertanya. Bila difikirkan kembali, kelakar pula pertanyaan itu.

"Tak kisah. Terpulang pada kau."

Aku mengerahkan idea mencari jawapan terbaik untuk menjawab pertanyaannya.

"Tanggungjawab ni, andai kita nak berikan pendefinisiaan padanya. Macam-macam kita boleh berikan. Sebab lain orang, lain pandangannya."

Dia terangguk-angguk. Aku berhenti seketika untuk meyusun kata-kata agar penjelasanku nanti mudah difahami.

Mungkin kerana aku mengambil masa yang agak lama bagi meneruskan ayat, dia menjongket kening.

"Namun, bagi saya semua itu tidak penting. Apa yang sebenarnya yang nak dilihat dan dinilai itu adalah cara bagaimana seseorang itu mampu menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan padannya. Sekadar tahu apa itu tanggungjawab, namun tidak faham apa yang perlu dilakukan tidak memberi apa-apa kesan kepada kepimpinan yang bakal dipimpinnya." terangku.

Aku mengerling padanya. Dalam keadaan bersandar, dia tundukkan sedikit kepalanya untuk mencatat sesuatu. Ada sedikit garis senyuman terukir di bibir namun tidak terlalu terserlah. Aku membetulkan dudukku dengan menegakkan sedikit tubuh. Setelah penjelasan tadi, sedikit sebanyak rasa gementar dan gemuruh dapat dikurangkan.

Dapat aku rasakan, muka aku tidak lagi terasa tegang akibat terlalu takut dan bibir tidak lagi terasa kering sehingga menyukarkan aku untuk mengukirkan senyuman. Dia berhenti menulis. Anak matanya di bawa ke atas. Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu.

"Andai kau di tempat aku, orang yang macam mana yang akan engkau pilih... yang kau rasa benar-benar mampu galas tanggungjawab yang akan kau beri?" Satu persatu dia tuturkan ayat itu. Jelas dan terang di pendengaranku.

Sekali lagi, aku ditanya. Soalan yang nampak senang untuk dijawab. Boleh saja untuk aku kelentong dirinya. Namun aku memilih untuk tidak berbuat demikian. Bagi aku, aku merasakan ada sesuatu yang ingin dia lihat dan nilai daripada jawapanku itu nanti.

Sel-sel saraf otakku mula bersambung. Minda mula ligat mencari jawapan.

"Soal memilih siapa yang layak. Pasti saja saya akan memilih mereka yang ada rasa tanggungjawab, disiplin, komitmen, jujur, punyai ketangkasan berfikir dan lain-lain sifat yang menggambarkan dirinya adalah pemimpin."

Dia meleretkan pandangan padaku.

"Em, kau rasa... Semua sifat tu ada dalam diri kau?" Selamba dia bertanya. Aku terdiam. Pertanyaannya buat aku rasa terjerat. Terasa kejam sungguh dia padaku.

Bagaimanapun, aku sedar, aku tidak boleh menyalahkannya. Itu sudah menjadi kewajipannya dan juga dikira tanggungjawabnya untuk memilih orang benar-benar layak dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab yang bakal diberikan. Andai dia tersalah ataupun tersilap memilih maka dialah yang bakal dipersoalkan dan dipersalahkan jika yang dipilih itu tidak seperti yang diinginkan.

"Em, mungkin sedikit sebanyak sifat tu ada dalam diri saya namun masih perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi. Yang tiada tu, insha-Allah, boleh dipupuk nanti." Dia menumpukan sepenuh perhatian pada penjelasanku.

Dia menyusun kertas yang kelihatan sedikit tidak terurus di atas meja. Setelah itu, dia membetulkan duduknya sambil tangan diangkat ke atas meja dan jari-jemari kedua-dua belah tangan disatukan.

"Kau tahu, ramai kat luar sana bila bercakap tanggungjawab, kencang mereka bersuara. Tapi bila masuk soal nak melaksanakannya, semua diam. Aku pernah rasa macam mana berada sebumbung dengan orang macam itu. Mereka pegang jawatan semata-mata nak nama dan populariti. Tak ada pun dalam diri mereka rasa tanggungjawab pada jawatan yang diberi. Bila berlaku masalah dalam kepimpinan, mereka mula menyalahkan pada yang lain. Mereka tak sedar, semua itu berpunca dari mereka. Orang macam inilah yang sebenarnya memusnahkan sesebuah organisasi. Orang macam inilah yang selalu membuat onar. Letakkan kepentingan diri mengatasi segalanya." Dia berkongsi.

Dari tutur katanya, aku dapat mengagak yang dia punya banyak pengalaman dan pernah berkerja dengan ramai orang. Kerana itu, dia mampu membuat penilaian sedemikian. Dia terus berkongsi. Aku memasangkan telinga. Adakala aku mengangguk sekadar memberi respon.

"Jadi, sekali lagi aku nak tanya kau..." Dia berhenti sejenak. Sambil memicitkan mata merenung ke arah aku. Kelakuannya buat aku rasa seram sejuk. Aku menanti penuh dengan tanda tanya.

"Kau sanggup pegang tanggungjawab ni?"

Aku terpaku. Pantas leret mata dilarikan dari terus memandang dirinya. Hati dan fikiran mula bersuara. Masing-masing mula bersoal sendiri.

'Mampukah aku?'

-tamat-


Nukilan : hidaynadhir
6.30 p.m