pages

Cerpena : Dia Seorang Penulis


Dia merengus. Geram bercampur rasa tersinggung. Kata-kata mama lewat petang tadi bagaikan sembilu menyiat-nyiat hatinya.

“Kamu ni nak jadi apa? Bila disuruh sambung belajar, kamu main-main. Buat tak endah je apa yang mama katakan… nasihatkan. Kamu ni langsung tak ikut jejak abang dan kakak kamu. Mama penat dah nak fikir pasal kamu. Kalaulah kamu tetap macam ni, sampai bila-bila kamu akan gagal !”

Dia berkurung dalam bilik. Puas dia menangis. Dia menangis sendirian. Hendak diluahkan, tetapi pada siapa?

Jika kakak dan abangnya ada di sisi pasti pada mereka dia akan mengadu. Namun, mereka kini jauh di perantauan. Dia bersendirian. Tiada siapa yang dapat memahaminya?

Dia dah bosan. Padanya, ibu bapanya hanya tahu memaksa agar dia melakukan sesuatu mengikut aturan mereka. Langsung dia tidak diberi peluang untuk bertindak mengikut acuannya sendiri.

Dulu, dia pernah menyambung pelajaran di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Itu pun atas desakan mamanya. Bidang yang dipelajari langsung tidak padan dengan jiwanya. Dia ada minatnya sendiri namun terkubur kerana terpaksa akur kepada keputusan ibu bapanya.

Sejak itu juga, keinginan belajarnya hilang. Dia hilang fokus pada pelajaran dan akibatnya dia kecundang dipertengahan pengajian.

Dia bukanlah manusia yang miliki kelebihan dan nasib yang sama seperti abang dan kakaknya. Mereka beruntung. Mereka dianugerahkan akal yang luar biasa. Kepintaran yang dimiliki menjadikan mereka disanjung, disayangi dan dikasihi. Juga  membolehkan mereka berdiri tinggi.

Dirinya? hanya sekadar mampu mendongak dari bawah. Jauh perbezaannya daripada mereka. Bagai langit dan bumi.

Mungkin sudah nasibnya. Hendak ditangisi. Tiada guna baginya. Yang pasti itulah takdir yang telah diperuntukkan kepadanya. Dia bukanlah manusia yang suka mempersalahkan takdir dengan mengutuk Sang Pencipta takdir.

Dia masih lagi miliki kewarasan. Masih lagi ada iman yang menyalupi sanubari. Bukannya dia pasrah sebulatnya pada nasib diri. Sudah dia usahakan. Hakikat kehidupannya sudah ditakdirkan sebegitu.

Dia menarik kerusi. Termenung seketika sebelum membuka laci meja menarik sebuah buku yang berbalut cantik. Buku itu adalah diarinya. Menjadi teman buatnya mencurah isi hati.

Dia membelek-belek buku itu. Helaian baru dibuka. Pen diambil dari bekas pensil. Pen mula digerakkan di atas helaian kertas.

Perkara yang akan dan sering dia lakukan saat jiwa dihambat pelbagai rasa, gembira ataupun duka adalah meluahkan segala isi hati di dalam diari itu.

Ada kalanya, dia akan mengolahkannya dalam bentuk sebuah penceritaan. Selepas itu, dia taipkan semula nukilan itu dalam komputer ribanya. Disimpan di dalam satu fail khas.

Begitulah yang dilakukannya. Pada awalnya, hanya sekadar suka-suka. Namun setelah lama, perilaku itu seakan-akan sebati dalam hidupnya. Dia menyukai penulisan. Dia menulis untuk memuaskan hatinya sendiri. Dia puas. Senang. Setelah itu, dia akan membaca kembali hasil nukilannya sendiri.

Dia menghela nafas lega. Buku diari itu ditutup dan dikembalikan ditempatnya. Dia menghempas badan di atas katil. Memandang siling bilik dan akhirnya dia terlelap.




**********

Mereka, adik-beradik menghabiskan waktu petang di halaman rumah. Cuti semester menjadi saat yang dinanti-nantikan mereka. Mereka jarang dapat berkumpul adik-beradik memandangkan masing-masing belajar jauh kecuali dirinya. Jadi waktu itu digunakan dengan sebaik mungkin.

“Adik suka menulis eh?”

“Hah?”

“Emm… akak ada terbaca cerpen-cerpen adik dalam laptop semalam masa pinjam laptop adik. Sorry, akak terbaca…”

Dia membuntangkan mata memandang kakaknya. Sengihan menghiasi wajah kakaknya. Dia menarik muka.

“Alaa, sorrylah… akak terbaca.” Kakak cuba memujuk. Dipegang bahu adiknya memohon agar diri diberi keampunan atas keterlanjuran diri.

“Emm, tapi kan… bestlah cerpen yang adik buat tu. Interesting. Adik tak nak cuba hantar artikel tu kat mana-mana syarikat penerbitan ke?”

“Malas laa, lagipun kalau hantar pun belum tentu ada harapan diterima.” Dia mencebik.

“Eh, belum cuba belum tahu. Usahakan dahulu, mana tahu ada rezeki.”

“Salah satu kunci kejayaan seseorang yang berjaya itu adalah bermula dengan keinginan dia untuk mencuba dan serta adanya keyakinan… bukan sahaja pada diri sendiri tetapi yang paling penting adalah keyakinan pada Illahi. Jika lengkap keduanya, Insha-Allah… apa yang dihajati mungkin mampu dimiliki.”

“Em, tapi… susahlah akak. Bukan mudah…“

“Tak salah mencuba nasib. Sebelum mencuba jangan sesekali mengungkap kata mengalah.” Belum sempat dia menghabiskan bicara, kakak memotong.

Pandangan mereka bertaut. Kakak mengangguk menyakinan diri. Dia berfikir.

“Em, adik cuba.”

Dia beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang baru baginya. Cuba mencabar diri. Mungkin benar kata kakaknya. Sebelum mencuba jangan sesekali mengungkap kata mengalah.

Dengan bantuan kakaknya, dia menyusun dan merangka apa yang perlu dilakukan.

Selain itu, abang sulungnya juga turut menawarkan diri untuk membantu. Dia diperkenalkan dengan salah seorang kenalan abangnya yang berkerja di salah sebuah syarikat penerbitan. Dia mencuba nasib. Karya-karyanya dihantar.

Kata kenalan abangnya, dia tidak menjanjikan apa-apa. Keputusan bergantung pada pihak atasan. Sekiranya karyanya itu dapat menarik minat mereka, Insha-Allah karyanya akan diterbitkan di dalam majalah keluaran syarikat itu. Jika tidak, teruskan dan pertingkatkan usaha yang sedia ada.

Kali pertama, karyanya masih belum mendapat tempat dalam majalah tersebut tetapi dia cuba positifkan diri. Dia terus menghantar artikel baru saban minggu.

Sudah hampir berbulan lamanya dia melakukan perkara yang sama. Berbulan-bulan juga dia menanti. Keputusan masih tetap sama. Dia mula hilang keyakinan dan harapan. Dia sudah pasrah dan tidak lagi mengharap. Tak guna menanti benda yang tak pasti. Mungkin tiada rezeki. Dia sudah berhenti menghantar karyanya ke syarikat penerbitan itu.

Apabila dia menceritakan nasibnya pada abang dan kakaknya. Mereka memujuknya untuk bersabar. Dia terpujuk. Disabarkan diri untuk terus menanti. Namun keputusan tetap juga sama.

Kesabarannya berada di tahap kemuncak. Dia telah bertekad untuk melupakan sahaja segala usaha dan harapannya yang dulu. Pada abang dan kakak dia tetap mengadu. Dia dipujuk namun dia tetap bertegas dengan keputusan yang dibuat.

Mahu tidak mahu, kakak dan abangnya terpaksa akur dengan keputusan itu. Walau bagaimanapun, mereka tetap memberi saranan lain kepadanya. Mereka mencadangkan agar dia mencipta satu ‘blog’. Kata mereka, melalui blog dia mampu menjana hasil.

Pada awalnya, dia menolak. Banyak alasan diberikan. berkali-kali dipujuk akhirnya dia mengalah dan bersetuju.

Dia mencipta ‘blog’nya sendiri. Kakak dan abangnya sentiasa sedia membantu apa yang tidak dia ketahui seperti hal-hal berkaitan teknikal.

Kini, karya yang diterbitkan di laman blognya hampir mencecah puluhan. Terdiri daripada pelbagai jenis genre seperti puisi, cerpen dan sebagainya.

Pengikut blognya juga saban hari, bertambah dan bertambah. Dia jadi seronok dan bersemangat untuk menulis.


**********

Dia bergerak ke arah rak buku bahagian majalah. Satu majalah dicapai. Dia membelek-belek majalah tersebut. Dari satu halaman ke satu halaman yang lain. Sampailah pada satu halaman dalam ruangan di atasnya besar tertulis ungkapan ‘Jom Berkarya’, dia terpandang sesuatu.

‘Dia Seorang Penulis’

“Macam pernah dengar je tajuk cerpen ni.”

Segera mata dibawa ke bahagian terakhir cerpen untuk melihat siapakah gerangan penulisnya.

‘Nukilan :  Husna Na’ila ’

Terlopong dia tidak percaya. Mata digosok berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, pipi kanan pula menjadi mangsa. Ditampar lembut beberapa kali. Adakah ini semua ini mimpi?

Dia membaca selintas lalu cerpen tersebut. Ya, benar. Itu adalah karyanya dan nama yang tertera juga namanya.

Pantas telefon bimbit diambil dari beg. Nombor segera didailkan. Sejenak di menunggu. Panggilannya bersambung.

“Akak… cerpen adik diterbitkan.” Dia melonjak gembira. Orang disekelilingnya tidak lagi dihiraukan. Dia benar-benar gembira.

**********

Sesungguhnya manusia itu diciptakan Allah punyai keunikannya yang tersendiri. Pada manusia itu Allah bekalkan kebolehan, kecenderungan dan minat yang berbeza-beza. Dengan keunikan itu setiap manusia ada potensi untuk berjaya dengan syarat dia mempunyai keyakinan untuk memperkembangkan segala potensi yang ada ke tahap paling maksimum.

Semakin lama semakin dia sedar akan keunikan kurnia Illahi ke atas diri. Menggunakan keunikan yang ada, dia kini sudah mampu untuk berdiri tinggi bukan sekadar mendongak lagi.

Bagaikan mimpi menjadi realiti. Dia kini disanjung dan dihormati. Kejayaan terbukti mampu dia kecapi.

Sejak artikelnya diterbitkan oleh syarikat penerbitan kenalan abangnya itu. Dia bersemangat meneruskan kembali usaha yang dia tinggalkan dahulu. Karya dihantar berkali-kali.

Lama-kelamaan, karyanya bukan sekadar mendapat tempat dalam majalah keluaran syarikat tersebut tetapi ianya juga telah mendapat tempat di hati pembaca-pembaca yang mengikuti karyanya.

Dia ditawaran untuk berkhidmat di syarikat penerbitan itu. Menjadi penulis tetap dan disediakan ruangan khas untuk dia terus berkarya. Peluang keemasan itu dia sambut dan tidak sesekali akan dia lepaskan.

Bukan itu sahaja, blognya juga mula terkenal. Dia punyai ribuan pengikut setia yang mengikuti perkembangan blognya. Malah, ada juga beberapa syarikat penerbitan menawarkan peluang kepadanya untuk membukukan hasil nukilannya.

Sesungguhnya perancangan Allah itu tidak mampu kita jangka. Hari ini, kehidupannya banyak berubah. Dia hidup dalam suasana baru, sibuk dalam mempertingkatkan potensi diri menggunakan keunikan anugerah Illahi.

Kerana dia seorang penulis, kini dia berkarya bukan lagi sekadar untuk memuaskan hati sendiri tetapi dia berkarya untuk memberi sesuatu yang berguna kepada manusia.

Semua penulis akan meninggal. Hanya karyanya-lah yang akan abadi sepanjang masa. Maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat nanti. (Ali bin Abi Thalib)

-Tamat-


hidaynadir

1 ulasan:

  1. menanti majalah yng ada "nukilan : Hidaynadir" ..hehe..teruskan nadhira! mudah mudahan satu hari nanti ^_^

    BalasPadam