pages

Teroka Alam-Nya


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


16 September 2015

Setahun berkelana di bumi Terengganu Darul Iman. Akhirnya dapat juga merasai keindahan tempat-tempat menarik yang ada di negeri ini.

Jarang dapat keluar dari UNiSZA walaupun sebenarnya boleh je keluar jalan-jalan tu... tapi almaklumlah kekangan yang ada buat diri sekadar mengigit jari je tengok kawan-kawan yang sudah berjalan merata-rata tempat di Terengganu ni.

Aku sorang je kot yang terperat dalam UNiSZA. Cuti pun dihabiskan dalam kampus. Tak keluar langsung. Tak bersosial. Teruk betul.

Tempoh hari, waktu cuti sempena 'Hari Malaysia' Alhamdulillah, rezeki... ada teman sekuliah ajak mendaki bukit.

Disebabkan peluang dah terhidang di depan mata, jadi tanpa berfikir panjang terus terima pelawaannya.

Berpagi-pagian aku hari tu. Maklum nak mendaki bukit. Semangat berkobar-kobar. Tak sabar nak segera sampai ke destinasi yang dituju.

Menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik seorang teman yang berasal dari Terengganu juga, kami ke sana. Kami berenam.

Bila sampai saja di kaki bukit, masa tu dah ramai orang yang berada di situ. Ada yang sudah selesai mendaki dan ada yang sama seperti kami yang baru sahaja nak memulakan pendakian.

Memandangkan hari tu hari cuti umum jadi ramai jugalah pengunjung yang datang untuk mendaki. Tak kira kecil besar, tua muda... semua ada.

Disebabkan bukit ni dah ada laluan jalan  ber'tar jadi ianya senang untuk sesiapa saja yang nak mendaki. Tak serumit mendaki bukit-bukit lain yang perlukan alat-alat keselamatan ketika mendaki.

Oh ya, secara ringkas tentang bukit yang aku dan teman-teman daki ni namanya Bukit Besar. Terletak betul-betul dekat kawasan Kuala Terengganu, kalau tak silap laa. Ketinggian bukit ni lebih kurang 700-800 meter dari aras laut. Boleh tahan tinggi jugalah. Lenguh kaki nak memanjat untuk sampai ke puncak. 

Masa awal pendakian, ok lagi sebab jalannya tidak terlalu curam dan menjunam. Tapi bila sampai di pertengahan... ya Allah, macam nak panjat tangga pula rasanya. Tinggi. Lelah rasanya.

Dan satu petua bila mendaki ni, jangan berhenti selagi tak sampai ke puncak. Kalau berhenti, kita akan mengambil masa yang lama untuk kembali mendaki dan boleh menyebabkan kita jadi lebih penat.

Hampir 45 minit rasanya, kami mendaki untuk sampai ke puncak. Dan sepanjang perjalanan mendaki tu, kami disajikan dengan pemandangan pagi yang sangat indah. Serius, tak tipu.

Dengan pohon-pohon hijau yang tumbuh menjalar. Udara yang segar dan nyaman. Burung-burung berkicau-kicauan berterbangan ke sana sini. Awan-awan berarak sedikit mendung menyerikan lagi suasana pagi tu. Memang hebat dan menariklah panorama yang ditayangkan tika tu. Rasa berbaloi, keluar jauh-jauh dari UNiSZA untuk datang ke situ.

Syukur rasanya sebab Allah masih sudi memberi peluang kepada aku untuk melalui semua ini. Masih diberi kudrat tenaga yang kuat lagi untuk membuat pendakian melihat kebesaran-Nya. Masih diberi kelapangan waktu untuk diluangkan bagi menikmati keindahan alam ciptaan-Nya yang penuh dengan rahsia penciptaan dan keistemewaannya yang tersendiri. Alhamdulillah...

Allah takkan cipta sesuatu itu,
sia-sia sahaja.
Pasti ada tujuannya.

Sebenarnya,
Allah nak kita lihat,teliti dan kaji
segala yang ada di sebalik rahsia
penciptaannya itu.

Dari situ,
kita akan tahu betapa
hebatnya kebesaran dan kekuasaan Allah.

Hati Yang Terisi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ



9 September 2015,

Alhamdulillah, berkesempatan  menjadi salah seorang fasilitator bagi satu program anjuran Kepitar (Kesatuan Pelajar Islam Terengganu) di SMK Belara.

Ini kali kedua aku menjadi fasi. Tiba-tiba pula rasa rindu waktu pertama kali jadi fasi di SK. Kedai Buluh.

Subhanallah, cepat betul waktu berlalu.

Untuk program ni, buat pertama kali aku menjejak kaki ke sekolah menengah harian biasa. Bila saja berada di situ,  terasa asing. Aku sendiri tak mampu nak mengambarkan keterasingan yang dirasai ketika itu. Yang pasti perasaan itu sungguh berbeza dengan apa yang pernah aku rasa ketika di sekolah aku dulu. Maklum suasana berbeza, memang akan rasa macam tu.

Saat melangkah menuju ke dewan program. Jantung berdegup kencang. Berdebar. Gemuruh. Berkali aku menyoal diri sendiri. Mampukah aku melakukannya?

Aku jadi tak keruan. Minda aku kosong. Apa yang perlu aku kongsikan kepada adik-adik di sini nanti.

Argh, aku nak menangis.

Namun, saat aku dilanda pelbagai perasaan rupanya aku tidak bersendirian. Aku ada rakan yang berkongsi rasa sama denganku. Kami sama-sama menyakinkan antara satu sama lain. Cuba lakukan yang terbaik. Cuba menjadi yang terbaik.


"Bila kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita"
(Surah Muhammad 47:7)


Dengan lafaz basmallah.

Aku melangkah memasuki ruang dewan. Mata-mata terus memandang memerhatikan gerak-geri aku dan teman fasi yang lain. Agak gugup apabila terus dipandang. Tak selesa.

Program dimulakan dengan fasi memperkenalkan diri masing-masing. Bermula dengan nama, asal dan juga nama panggilan. Alhamdulillah, aku dapat lakukan walaupun masih ada rasa sedikit nervous.


Seterusnya pelajar dipecah mengikut beberapa kumpulan. Aku diberi tugas untuk mengendalikan satu kumpulan pelajar perempuan bersama dengan seorang lagi fasi.



Slot pertama ialah "Satukan Hati Kami." Aktivitinya yang terdapat dalam slot ini pertamanya ialah Ta'aruf (Memperkenalkan diri). Kali ini pelajar yang memperkenalkan diri mereka kepada para fasi.

Setelah itu, kami teruskan dengan aktiviti 'Pecah Bendungan'. Yang mana setiap pelajar perlu mengeluarkan jari telunjuk tangan kanan dan membuka tangan kiri. Jari telunjuk perlu diletakkan di atas tapak tangan kiri kawan mereka yang berada di sebelah kanan. Apabila disebut perkataan 'tangkap'. Tangan kiri perlu menangkap jari telunjuk kawan dan elakkan jari telunjuk sendiri dari ditangkap.

Lepas permainan itu, sambil menunggu untuk menunaikan solat asar. Aku berkongsi cerita bersama adik-adik perserta. Bertanyakan tentang cita-cita mereka. Tentang pelajaran mereka dll.

"Apa cita-cita awak?" Aku bertanya pada salah seorang daripada mereka.

"Saya nak jadi ustazah." Jawabnya sambil ketawa-ketawa kecil.

"Wah, baguslah tu. Insha-Allah, nanti moga cita-cita awak tercapai. Nanti boleh masuk Ustazah Pilihan." Kataku sambil memandangnya. Dia tidak lagi ketawa. Hanya tersenyum dan akhirnya dia tertunduk malu dengan responku.

Aku terus bertanya pada yang lain. Saja aku terus bertanya, tak nak mereka rasa boring.

"Awak datang ni, cikgu paksa ke atau memang diri sendiri nak datang?" Sekali lagi aku bertanya.

"Sendiri nak datang." Pelajar di sebelah kananku menjawab.

"Taklah, kami bermasalah." Belum sempat aku bersuara, ada yang menambah.

Bermasalah? Aku termangu. Membisu diri. Aku memandang ke arah yang bersuara tadi. Pelajar yang sama, yang tadi cita-citanya menjadi ustazah. Aku merenungnya matanya.

"Awak tak bermasalah. Awak sebenarnya istimewa. Awak tak patut cakap diri awak bermasalah."

Pelajar itu merenung tepat ke arahku. Mata kami bertaut. Matanya sedikit berkaca. Namun dia menahan. Dia tersengih menutup rasa sebak yang tiba-tiba meresap dalam jiwa.

"Kalau awak sendiri yang cakap diri awak bermasalah. Tak mustahil orang lain akan kata sedemikian pada awak." Aku menyambung. Dia diam.

Aku meneruskan bicaraku.

Lebih kurang pukul 4.30 petang, program berhenti buat sementara waktu bagi memberi ruang untuk menunaikan solat asar. Ketika di surau, macam-macam gelagak yang aku lihat.

Ada salah seorang pelajar, boleh kata kasar dan ganas tingkah lakunya sampai memaksa-maksa salah seorang fasi agar memberi nombor telefon fasi tersebut kepadanya. Namun fasi itu berkeras tidak memberi dan tidak melayan permintaan pelajar itu. Aku hanya mampu menggeleng-geleng kepala melihat situasi itu. Tak terkata.

Selesai solat, program diteruskan dengan slot kedua : Penghayatan Ibadah : "Aku Hamba Allah." Peserta ditayangkan satu video. Perhh... video tu memang menyayat hati. Sampai ada yang menangis. Siap teresak-esak lagi.

Antara mereka itu, pelajar yang tadi aku nampak di surau yang berwatakkan sedikit kasar dan ganas.

Tadi, dialah yang paling nakal dan banyak bersuara ketika dalam program. Namun, setelah ditayangkan video itu, dialah antara orang yang menangis sampai teresak-esak.

Subhanallah, Allah nak tunjuk pada aku.

Walau sekeras mana hati seseorang manusia itu,
bila sekali Allah nak sentuh hati dia,
dia akan jadi manusia yang tersangat lembut hatinya.
Sehinggakan apabila disebut nama Allah bergetar hatinya.


Subhanallah. Semoga aku juga dikurnia perasaan itu.

"Bagus dia, sebab dia jujur pada diri dia." Kataku pada seorang pelajar di sebelah kananku.

Ya, dia jujur pada dirinya. Mungkin dulu orang anggap hati dia sungguh keras, cakap apa pun langsung takkan berkesan. Dia takkan menangis.

Persepsi itu telah buat dia jadi seorang yang benar-benar keras. Namun hari ini, dia jujur pada diri sendiri. Dia tidak kuat untuk menahan sebak apabila hati disentuh lembut Hidayah Allah. Dia tunjukkan dia bukan kuat ataupun keras seperti apa yang mereka sangkakan. Hari ini dia berlaku jujur. Jujur pada dirinya dan mereka yang lain.

Masa terus berlalu. Tup-tup, program sudah hampir nak berakhir. Aku kembali melihat diri sendiri. Kembali menilai tindak-tandukku sepanjang program berlangsung. Apa yang aku rasai tika ini. Hati aku terisi. Dah tak kosong dari sebelum ini. Aku bahagia. Aku gembira. 


11 Sept 2015
2.23 a.m

by: hidaynadhir