pages

Teroka Alam-Nya


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ


16 September 2015

Setahun berkelana di bumi Terengganu Darul Iman. Akhirnya dapat juga merasai keindahan tempat-tempat menarik yang ada di negeri ini.

Jarang dapat keluar dari UNiSZA walaupun sebenarnya boleh je keluar jalan-jalan tu... tapi almaklumlah kekangan yang ada buat diri sekadar mengigit jari je tengok kawan-kawan yang sudah berjalan merata-rata tempat di Terengganu ni.

Aku sorang je kot yang terperat dalam UNiSZA. Cuti pun dihabiskan dalam kampus. Tak keluar langsung. Tak bersosial. Teruk betul.

Tempoh hari, waktu cuti sempena 'Hari Malaysia' Alhamdulillah, rezeki... ada teman sekuliah ajak mendaki bukit.

Disebabkan peluang dah terhidang di depan mata, jadi tanpa berfikir panjang terus terima pelawaannya.

Berpagi-pagian aku hari tu. Maklum nak mendaki bukit. Semangat berkobar-kobar. Tak sabar nak segera sampai ke destinasi yang dituju.

Menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik seorang teman yang berasal dari Terengganu juga, kami ke sana. Kami berenam.

Bila sampai saja di kaki bukit, masa tu dah ramai orang yang berada di situ. Ada yang sudah selesai mendaki dan ada yang sama seperti kami yang baru sahaja nak memulakan pendakian.

Memandangkan hari tu hari cuti umum jadi ramai jugalah pengunjung yang datang untuk mendaki. Tak kira kecil besar, tua muda... semua ada.

Disebabkan bukit ni dah ada laluan jalan  ber'tar jadi ianya senang untuk sesiapa saja yang nak mendaki. Tak serumit mendaki bukit-bukit lain yang perlukan alat-alat keselamatan ketika mendaki.

Oh ya, secara ringkas tentang bukit yang aku dan teman-teman daki ni namanya Bukit Besar. Terletak betul-betul dekat kawasan Kuala Terengganu, kalau tak silap laa. Ketinggian bukit ni lebih kurang 700-800 meter dari aras laut. Boleh tahan tinggi jugalah. Lenguh kaki nak memanjat untuk sampai ke puncak. 

Masa awal pendakian, ok lagi sebab jalannya tidak terlalu curam dan menjunam. Tapi bila sampai di pertengahan... ya Allah, macam nak panjat tangga pula rasanya. Tinggi. Lelah rasanya.

Dan satu petua bila mendaki ni, jangan berhenti selagi tak sampai ke puncak. Kalau berhenti, kita akan mengambil masa yang lama untuk kembali mendaki dan boleh menyebabkan kita jadi lebih penat.

Hampir 45 minit rasanya, kami mendaki untuk sampai ke puncak. Dan sepanjang perjalanan mendaki tu, kami disajikan dengan pemandangan pagi yang sangat indah. Serius, tak tipu.

Dengan pohon-pohon hijau yang tumbuh menjalar. Udara yang segar dan nyaman. Burung-burung berkicau-kicauan berterbangan ke sana sini. Awan-awan berarak sedikit mendung menyerikan lagi suasana pagi tu. Memang hebat dan menariklah panorama yang ditayangkan tika tu. Rasa berbaloi, keluar jauh-jauh dari UNiSZA untuk datang ke situ.

Syukur rasanya sebab Allah masih sudi memberi peluang kepada aku untuk melalui semua ini. Masih diberi kudrat tenaga yang kuat lagi untuk membuat pendakian melihat kebesaran-Nya. Masih diberi kelapangan waktu untuk diluangkan bagi menikmati keindahan alam ciptaan-Nya yang penuh dengan rahsia penciptaan dan keistemewaannya yang tersendiri. Alhamdulillah...

Allah takkan cipta sesuatu itu,
sia-sia sahaja.
Pasti ada tujuannya.

Sebenarnya,
Allah nak kita lihat,teliti dan kaji
segala yang ada di sebalik rahsia
penciptaannya itu.

Dari situ,
kita akan tahu betapa
hebatnya kebesaran dan kekuasaan Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan