pages

Novel : Misi Jentik Hati.

Nukilan : Hidayatun Nadhirah


 BAB 1

DEWAN MAKAN aspura itu riuh-rendah. Semua mata kepala tertumpu pada satu arah. Ada yang bangkit mendekat. Ada juga yang tetap betah bertahan di meja makan. Tidak mahu terlibat sama. Namun, kejadian yang sedang berlaku begitu menarik minat mereka untuk tahu. Eish… tak boleh terlepas ni. Berita besar ni Gempak! Fresh!

Apa punca kejadian itu berlaku? Kenapa boleh berlaku? Persoalan itu terus berlegar dalam kepala setiap pelajar yang ada di situ, pada petang itu. Ini bukan kes biasa. Tapi luar biasa.

Ketua aspura bertikam lidah dengan Exco Disiplin di khalayak ramai? Pertama kali dalam sejarah. Boleh dimemorikan dalam… book of records of Aspura Tok Kenali. Malah itu juga, pertama kali disaksikan oleh penghuni baru juga pada penghuni lama aspura tersebut.

Tanda soal terus wujud dalam kepala. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Tiada sesiapa yang mahu menjawab? Terbiar terus bertindih-tindih. Apa yang pasti, jawapannya akan terjawab apabila salah seorang dari mereka melantangkan suara bicaranya.

“Kau jangan nak tuduh selagi tak ada bukti!” Tengking Yazeed hilang sabar.

Saat kemarahan sudah mendidih dari dalam maka Syaitan tidak akan melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata. Peluang keemasan! Dihasut dan dibisik pada telinga anak-cucu Adam agar dihambur keluar marah di hati.

Menghasut manusia ketika marah adalah salah satu dari tiga cara yang akan dilakukan syaitan bagi menyesatkan manusia. Selain menghasut manusia ketika berada di medang perang dan ketika berdua-duan dengan lelaki/wanita bukan muhrim.

Itu adalah janji syaitan pada Allah sebelum dia diusir-keluar dari syurga atas sebab keengganannya tunduk pada manusia bernama Adam, makhluk yang diciptakan Allah dari tanah yang terlihat kotor pada pandangan Syaitan. Namun yang kotor itulah juga yang Allah muliakan. Makhluk Allah yang berani menyahut cabaran menjadi khalifah di alam bernama bumi.

“Kau tak payah tengking-tengking! Aku tanya elok kan tadi? Apasal kau nak melenting? Bila kau respons macam tu… lagilah orang nampak kau betul-betul bersalah!” Bidas Baseer.

“Masalahnya kau desak aku untuk mengaku benda yang aku tak buat!” Pangkah Yazeed.

Baseer tersenyum sinis. “Kalau kau tak buat… kau tak perlu gelabah macam tu sekali!”

Yazeed diam. Mati kata. Kata-kata Baseer bagaikan penukul membenamkan paku sampai ke dasar tanpa mampu dicabut kembali.

“Kenapa kau diam?” Baseer seakan melihat bibit-bibit kemenangan.

Yazeed terus diam. Fikiran mula berlegar mencari pangkal kepada kebisuan yang membelenggu dirinya ketika ini. Kewarasan akal cuba dijadikan tunjang kepada apa yang bakal terluah sebentar lagi.

Yazeed merenung Baseer. Tujahan mata terus sampai ke retina Baseer. Renungan itu dibalas hebat oleh Baseer.

Tiada apa yang mampu menggugat keberanian dan ketegasan Baseer. Sesuai dengan fizikalnya bertubuh sasa, itu yang menjadi antara aspek kegerunan sekalian penghuni aspura padanya. Title ‘Exco Disiplin’ membuatkan penghuni aspura mahupun aspuri tertunduk takut memandangnya ataupun berhadapan dengannya. Rasa takut pada manusia, tidak pernah wujud dalam jiwa manusia bernama Syedd Baseed.

“Kalau kau orang beriman. Kau akan letakkan keadilan kat depan sekali. Selidik terlebih dahulu sebelum buat apa-apa tindakan. Jangan terburu-buru buat tuduhan ataupun menghukum. Tersalah tuduh, ibarat fitnah, kau tabur. Tersalah hukum, kau akan tanggung satu dosa yang mungkin boleh humban kau ke neraka!” Ujar Yazeed menekan suara.

Baseer terpempan. Lidah bagaikan terpotong. Tidak mampu lagi melantunkan kata. Bicara Yazeed terlihat sukar untuk disanggah. Kukuh biarpun tanpa dalil, menguatkan lagi hujah.

Dalam diam, Yazeed menggariskan senyum nipis. Ini Yazeed… seorang anak muda yang pantang menyerah, selagi dia mampu, dia akan bangkit bertahan. Bukan untuk memenangkan ataupun menjulang ego tapi semua ini dibuat untuk menegakkan kebenaran! K E B E N A R A N!

Aku tak bersalah. Jadi, untuk apa aku perlu mengaku salah?!

Yazeed berusaha semampu yang boleh untuk mengimbangi permainan kata antara dia dan Baseer.

Yazeed, ketua aspura yang menjadi sanjungan ramai. Setiap tindakannya tidak pernah dipertikaikan. Kepimpinan bawah pimpinannya, setakat ini bebas dari tomohan ramai. Method yang digunakannya hampir sama seperti yang digunakan oleh umminya, bekas mudirah Madrasah Maahad Ar-Rahmah Kenali. Lembut disulami ketegasan.

“Baiklah! Aku buat apa yang kau suruh. Tapi ingat! Ini Syedd Baseer. Pantang dengar ada yang langgar peraturan aspura! Kalau ada… siaplah aku kerjakan. Lubang cacing sekalipun, aku akan masuk kejar. Aku akan heret keluar. Kau orang takkan mampu terlepas dari aku! Hukuman akan tetap jalan. Aku tak kisah. Lagi tak peduli kau tu siapa! Ketua ke… exco ke… ahli biasa ke… hukuman tetap sama. Pada siapa-siapa pun. Ingat tu!” Lantang Baseer bersuara.

Seketika Baseer berpaling memandang penghuni aspura yang tidak pernah sedikit pun terkalih dari memandang dia dan Yazeed sejak dari tadi.

“Kamu semua pun! Ingat tu!”

Semua penghuni yang ada di dewan makan itu tersentak. Pantas kepala teralih ke pinggan di meja. Tidak berani lagi mengangkat wajah mahupun menjeling pandang.

Baseer dah keluarkan sifat sebenarnya! Bengis dan menakutkan! Kata-kata itu yang terbisik-bisik di hati penghuni aspura yang ada di dewan itu.

Mereka terus berkebu menyudahkan suapan terakhir ke mulut. Sejurus, bangkit ke singki. Basuh pinggan dan sebaik siap terus memasukkannya ke dalam ‘jelok’ yang disediakan. Setelah itu, memanjangkan langkah meninggalkan dewan makan. Tidak betah untuk terus bertahan lama di situ. Tidak pasal-pasal, bara kemarahan Baseer terbias pada mereka. Gerun!

Baseer menuding telunjuk ke muka Yazeed.

“Kau ingat Yazeed... aku takkan berkomplot dengan kau. Kalau kau! Aku dapat tahu betul-betul buat benda tu… kau takkan terlepas dari aku!” Kata Baseer sebelum berlalu pergi.

Yazeed merengus kecil. Kepala tergeleng. Ini bukan masalah kecil. Ini masalah besar! Dia yakin dia di pihak yang benar. Ini semua fitnah! Tapi siapa yang berani tabur fitnah ni?

Baseer? Argh! mana mungkin dia. Tempis Yazeed dalam hati.

Yazeed yakin bukan Baseer yang buat semua tu? Lelaki itu hanya menjalankan tugas dia. Dia akan bertindak bila dapat apa-apa laporan tentang kesalahan pelajar terutamanya melibatkan pelajar aspura.

Maksudnya ada yang lapor? Tapi siapa? Siapa? Siapa?

Yazeed sudah mati kutu untuk fikir semua itu. Tekanan itu buat kepala berdengut-dengut menerbitkan rasa sakit yang teramat. Leher digerakkan membentuk putaran. Serabut kepala Yazeed fikir semua tu!

Argh! stress.


CONTINUE... 

Usrah @ UNiSZA ke?


Bermula pada tarikh aku bukan lagi student sekolah, bermula hari itu juga aku dah tinggalkan apa yang orang panggil ‘usrah’.

Dulu, waktu kat sekolah semua itu wajib. Usrah adalah aktiviti yang wajib diadakan bagi mana-mana sekolah ugama arab ataupun maahad bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Jadi, bermula aku jejak kaki waktu tingkatan satu di SMU (A) Al-Hasaniah Pangkal Jenerih berpindah pula di Maahad Ar-Rahmah Kenali, usrah adalah aktiviti yang wajib yang perlu diikuti pada setiap hari Rabu. Nak tak nak kena ikut! Awalnya, adalah rasa terpaksa tapi bila dah lama. Best pula.

Waktu tingkatan 4 dan 5, aku bukan sekadar ikut usrah tapi aku sendiri kena kendali usrah. Boleh tahan kelam kabut juga waktu ustaz agihkan tugas tu. Kecut perut aku bila dapat tahu adik-adik usrah aku budak tingkatan 3. Weh, setahun je jarak umur aku dengan mereka. Entah nak dengar tahu apa yang aku cakap nanti. Itulah yang selalu aku fikir.

Sebelum usrah, aku kena belek banyak buku. Kerja leceh. Tapi nak buat macam mana, nak cakap apa kalau tak buat semua tu. Tak ada modal nanti. Balik-balik aku kena gula dengan budak-budak ni. Tak nak aku!

So, dua atau tiga hari sebelum usrah aku dah buat research. Kalau kami, under sekolah YIK ni, kami dah disediakan buku khas usrah. So, bolehlah aku kata… senanglah sikit kerja aku. Habis satu bab dalam buku tu, terus masuk isu semasa. Yang isu semasa inilah yang kena buatt researchnya.

Memandangkan adik-adik usrah aku, budak form 3… topik cinta memang hangat. Panas! Kau tengoklah nanti, bila aku buka je pasal cinta. Mereka terus tarik kerusi datang dekat dengan aku.

Dengan mata terkebil-kebil mereka bersuara “Akak ceritalah pengalaman akak bercinta?”
Tersengih bak kerang busuk aku dibuatnya bila ditanya sedemikian. Excited betul budak-budak ni.

Tapi… aku faham perasaan mereka. Aku pun pernah lalui waktu umur macam mereka. Antara umur 13 hingga 15 ni, waktu tu darah muda mendidih-didih. Waktu tu ramai yang mula cari pakwe-makwe. Aku pun… hampir terjerumus sama, tapi nasib ada yang sempat heret aku sebelum aku turut tenggelam dan lemas dalam cinta. Takpelah kalau tak pernah rasa atau alami pun benda tu. Tak berdosa pun. Suci dan bersih lagi cinta dalam hati. Segar bugar. Khas hanya untuk yang layak saja.

Bukan aku nak salahkan atau kutuk mereka yang pernah terjerumus dalam kancah cinta-cintu ni. Tak! Aku faham perasaan mereka. Biasalah tu. Itu menandakan mereka ada perasaan nak MENCINTAI & DICINTAI.  Aku lebih suka anggap waktu mereka bercinta tu, mereka sedang diuji. Ujian Allah itu pelbagai. So, bagi aku rasa cinta yang hadir dalam diri mereka tu adalah ujian Allah pada mereka. Mungkin dengan bercinta Allah nak ajar dia sesuatu. Kita tak tahu. Semua itu rahsia Allah. Anggap saja apa yang Allah izinkan berlaku, pasti ada hikmah yang Allah nak beri pada kita pada penghujungnya. Take Note!

Bila dah masuk UNiSZA, tambah pula kos aku ni bukannya kos agama, jadi makinlah jauh aku dengan usrah. Sebenarnya, aku boleh je cari mana-mana usrah tapi aku tak buat sebab dalam tempoh tu, aku tengah buat pemerhatian. Secara senyap-senyap. Macam Spy pula gayanya.

Sebelum aku masuk universiti, ramai senior juga kakak aku pesan… sebelum ikut mana-mana usrah atau Jemaah tu, buat research sikit tentang mereka. Atas dasar apa sesebuah persatuan itu ditubuhkan. Usrah yang dibuat tu betul-betul ke Usrah. Guano tu? Usrah yang betul-betul usrah? Usrah kat alam universiti ni ada pelbagai jenis dan gaya. Kalau aku list, ada pula yang melenting nanti. So, abaikan.

Awal-awal lagi aku dah set, kalau aku nak join usrah, aku nak cari satu usrah yang boleh tarbiah aku. Usrah yang boleh jadi pembimbing aku. Boleh tegur silap salah aku. Boleh terima aku seadanya. Boleh aku berkongsi apa yang aku rasa. Usrah itu yang aku nak.

Lebih kurang nak dekat setahun, akhirnya aku join juga usrah. Tapi ini usrah wajib. Usrah kos aku. Waktu AGM kos aku (Kelab Mahasiswa Perakaunan) ada yang usulkan buat usrah. Usul diterima. So, buatlah usrah. Tapi aku tak rasa itu usrah. Haha. Mungkin sebab aku pernah ikut serta usrah, sebab itu aku rasa itu bukan usrah. Mungkin. Aku tak nak cerita lebihlah pasal ni. Cukup sampai itu je tentang usrah kelab aku.

Masuk sem 4, telah berlaku satu peristiwa ni. Berpunca dari peristiwa tulah aku nekad nak cari geng usrah. Apa peristiwanya, biarlah rahsia dulu buat masa sekarang.

Dengan bantuan bekas housemate aku, aku joinlah satu usrah. Usrah bawah persatuan Kelab Pemikir Unisza. Itu pun lepas aku buat research. Haha. Bila dah fikir masak-masak, dah tolak banding usrah-usrah yang ada di UNiSZA tu. Akhirnya aku pilih usrah bawah kelab PEMIKIR.

Maka bermulalah kembali, aku ke dalam halaqah usrah. Duduk kembali dalam lingkungan orang-orang yang nak ditarbiah, dibasuh dan dicuci pemikirannya. Haha. Aku ikut usrah sampailah aku habis diploma.

Aku ikut PEMIKIR hanya untuk usrah. Itu saja. Bukan aku tak nak join lebih lagi aktiviti kelab ni. Tapi aku nak betul-betul pegang dulu dengan usrah tu. Pastikan diri selalu ikut usrah biarpun ada kalanya aku liat nak pergi. Atas alasan letih dan penat. Tapi sebab aku janji nak istiqamah dengan usrah so aku paksa juga pergi. Namun, ada juga tikanya aku tak pergi. Waktu tu, memang aku tak boleh nak lawan lagi rasa penat dan letih yang berdoah-doah lalu rasanya. So aku tak pergi.

Walaupun aku kata aku hanya nak join usrah, tapi tak bermakna aku langsung tak ikut aktiviti lain yang kelab PEMIKIR anjur. Aku ikut. Aku pernah join jadi fasi untuk beberapa program under KEPITAR. Oh ya, lupa nak bagitahu, PEMIKIR ni sebenarnya under KEPITAR (Kelab Pelajar Islam Terengganu). So apa-apa aktiviti Kepitar pasti akan disertai oleh ahli-ahli Pemikir.

Bestlah juga ikut aktiviti tu. Aku boleh timba pengalaman. Boleh tambahkan ilmu dalam dada. Boleh kenal ramai orang and everything. Tapi aktiviti yang aku join tu pun aku pilih dulu sebelum aku beri kata setuju untuk join. Fikir masak-masak dulu sebelum beri persetujuan. Aku bukan nak memilih tapi… Aku kan kata aku nak join usrah je dulu. Aktiviti lain tu kira tambahan saja. Bukan tak nak ambil port tapi… aku rasa biar aku utuh dulu dengan usrah. Tolong jangan paksa aku. Please… (cuba kau buat gaya muka mengharap. Lepas tu tengok cermin. Hah! Begitulah gaya muka aku bila mengharap. Hoho)

Ok, setakat itu saja pengalaman aku berusrah di UNiSZA. Berjumpa di lain sekmen. Bye…

-----

Note: joinlah usrah! best tahu… Bukan kita nak tunjuk kat orang yang kita ni baik ke apa tapi semua itu untuk diri kita sendiri. Untuk jiwa kita. Untuk hati kita. Dalam kita bagi perut kita makan. Rohani kita juga perlu diberi makan. Melalui usrah, mungkin antara cara untuk kita beri rohani kita makan. Itu pendapat aku. Lain orang, lain pendapatnya. Ok. Assalamualaikum.


15.07.2016
12.34 PM
by : hidyndhr