pages

Novel : Misi Jentik Hati.

Nukilan : Hidayatun Nadhirah


 BAB 1

DEWAN MAKAN aspura itu riuh-rendah. Semua mata kepala tertumpu pada satu arah. Ada yang bangkit mendekat. Ada juga yang tetap betah bertahan di meja makan. Tidak mahu terlibat sama. Namun, kejadian yang sedang berlaku begitu menarik minat mereka untuk tahu. Eish… tak boleh terlepas ni. Berita besar ni Gempak! Fresh!

Apa punca kejadian itu berlaku? Kenapa boleh berlaku? Persoalan itu terus berlegar dalam kepala setiap pelajar yang ada di situ, pada petang itu. Ini bukan kes biasa. Tapi luar biasa.

Ketua aspura bertikam lidah dengan Exco Disiplin di khalayak ramai? Pertama kali dalam sejarah. Boleh dimemorikan dalam… book of records of Aspura Tok Kenali. Malah itu juga, pertama kali disaksikan oleh penghuni baru juga pada penghuni lama aspura tersebut.

Tanda soal terus wujud dalam kepala. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Tiada sesiapa yang mahu menjawab? Terbiar terus bertindih-tindih. Apa yang pasti, jawapannya akan terjawab apabila salah seorang dari mereka melantangkan suara bicaranya.

“Kau jangan nak tuduh selagi tak ada bukti!” Tengking Yazeed hilang sabar.

Saat kemarahan sudah mendidih dari dalam maka Syaitan tidak akan melepaskan peluang yang sudah terhidang di depan mata. Peluang keemasan! Dihasut dan dibisik pada telinga anak-cucu Adam agar dihambur keluar marah di hati.

Menghasut manusia ketika marah adalah salah satu dari tiga cara yang akan dilakukan syaitan bagi menyesatkan manusia. Selain menghasut manusia ketika berada di medang perang dan ketika berdua-duan dengan lelaki/wanita bukan muhrim.

Itu adalah janji syaitan pada Allah sebelum dia diusir-keluar dari syurga atas sebab keengganannya tunduk pada manusia bernama Adam, makhluk yang diciptakan Allah dari tanah yang terlihat kotor pada pandangan Syaitan. Namun yang kotor itulah juga yang Allah muliakan. Makhluk Allah yang berani menyahut cabaran menjadi khalifah di alam bernama bumi.

“Kau tak payah tengking-tengking! Aku tanya elok kan tadi? Apasal kau nak melenting? Bila kau respons macam tu… lagilah orang nampak kau betul-betul bersalah!” Bidas Baseer.

“Masalahnya kau desak aku untuk mengaku benda yang aku tak buat!” Pangkah Yazeed.

Baseer tersenyum sinis. “Kalau kau tak buat… kau tak perlu gelabah macam tu sekali!”

Yazeed diam. Mati kata. Kata-kata Baseer bagaikan penukul membenamkan paku sampai ke dasar tanpa mampu dicabut kembali.

“Kenapa kau diam?” Baseer seakan melihat bibit-bibit kemenangan.

Yazeed terus diam. Fikiran mula berlegar mencari pangkal kepada kebisuan yang membelenggu dirinya ketika ini. Kewarasan akal cuba dijadikan tunjang kepada apa yang bakal terluah sebentar lagi.

Yazeed merenung Baseer. Tujahan mata terus sampai ke retina Baseer. Renungan itu dibalas hebat oleh Baseer.

Tiada apa yang mampu menggugat keberanian dan ketegasan Baseer. Sesuai dengan fizikalnya bertubuh sasa, itu yang menjadi antara aspek kegerunan sekalian penghuni aspura padanya. Title ‘Exco Disiplin’ membuatkan penghuni aspura mahupun aspuri tertunduk takut memandangnya ataupun berhadapan dengannya. Rasa takut pada manusia, tidak pernah wujud dalam jiwa manusia bernama Syedd Baseed.

“Kalau kau orang beriman. Kau akan letakkan keadilan kat depan sekali. Selidik terlebih dahulu sebelum buat apa-apa tindakan. Jangan terburu-buru buat tuduhan ataupun menghukum. Tersalah tuduh, ibarat fitnah, kau tabur. Tersalah hukum, kau akan tanggung satu dosa yang mungkin boleh humban kau ke neraka!” Ujar Yazeed menekan suara.

Baseer terpempan. Lidah bagaikan terpotong. Tidak mampu lagi melantunkan kata. Bicara Yazeed terlihat sukar untuk disanggah. Kukuh biarpun tanpa dalil, menguatkan lagi hujah.

Dalam diam, Yazeed menggariskan senyum nipis. Ini Yazeed… seorang anak muda yang pantang menyerah, selagi dia mampu, dia akan bangkit bertahan. Bukan untuk memenangkan ataupun menjulang ego tapi semua ini dibuat untuk menegakkan kebenaran! K E B E N A R A N!

Aku tak bersalah. Jadi, untuk apa aku perlu mengaku salah?!

Yazeed berusaha semampu yang boleh untuk mengimbangi permainan kata antara dia dan Baseer.

Yazeed, ketua aspura yang menjadi sanjungan ramai. Setiap tindakannya tidak pernah dipertikaikan. Kepimpinan bawah pimpinannya, setakat ini bebas dari tomohan ramai. Method yang digunakannya hampir sama seperti yang digunakan oleh umminya, bekas mudirah Madrasah Maahad Ar-Rahmah Kenali. Lembut disulami ketegasan.

“Baiklah! Aku buat apa yang kau suruh. Tapi ingat! Ini Syedd Baseer. Pantang dengar ada yang langgar peraturan aspura! Kalau ada… siaplah aku kerjakan. Lubang cacing sekalipun, aku akan masuk kejar. Aku akan heret keluar. Kau orang takkan mampu terlepas dari aku! Hukuman akan tetap jalan. Aku tak kisah. Lagi tak peduli kau tu siapa! Ketua ke… exco ke… ahli biasa ke… hukuman tetap sama. Pada siapa-siapa pun. Ingat tu!” Lantang Baseer bersuara.

Seketika Baseer berpaling memandang penghuni aspura yang tidak pernah sedikit pun terkalih dari memandang dia dan Yazeed sejak dari tadi.

“Kamu semua pun! Ingat tu!”

Semua penghuni yang ada di dewan makan itu tersentak. Pantas kepala teralih ke pinggan di meja. Tidak berani lagi mengangkat wajah mahupun menjeling pandang.

Baseer dah keluarkan sifat sebenarnya! Bengis dan menakutkan! Kata-kata itu yang terbisik-bisik di hati penghuni aspura yang ada di dewan itu.

Mereka terus berkebu menyudahkan suapan terakhir ke mulut. Sejurus, bangkit ke singki. Basuh pinggan dan sebaik siap terus memasukkannya ke dalam ‘jelok’ yang disediakan. Setelah itu, memanjangkan langkah meninggalkan dewan makan. Tidak betah untuk terus bertahan lama di situ. Tidak pasal-pasal, bara kemarahan Baseer terbias pada mereka. Gerun!

Baseer menuding telunjuk ke muka Yazeed.

“Kau ingat Yazeed... aku takkan berkomplot dengan kau. Kalau kau! Aku dapat tahu betul-betul buat benda tu… kau takkan terlepas dari aku!” Kata Baseer sebelum berlalu pergi.

Yazeed merengus kecil. Kepala tergeleng. Ini bukan masalah kecil. Ini masalah besar! Dia yakin dia di pihak yang benar. Ini semua fitnah! Tapi siapa yang berani tabur fitnah ni?

Baseer? Argh! mana mungkin dia. Tempis Yazeed dalam hati.

Yazeed yakin bukan Baseer yang buat semua tu? Lelaki itu hanya menjalankan tugas dia. Dia akan bertindak bila dapat apa-apa laporan tentang kesalahan pelajar terutamanya melibatkan pelajar aspura.

Maksudnya ada yang lapor? Tapi siapa? Siapa? Siapa?

Yazeed sudah mati kutu untuk fikir semua itu. Tekanan itu buat kepala berdengut-dengut menerbitkan rasa sakit yang teramat. Leher digerakkan membentuk putaran. Serabut kepala Yazeed fikir semua tu!

Argh! stress.


CONTINUE... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan