pages

Ada Hikmah Disebaliknya



Penghujung bulan Disember 2014, terlakarnya sebuah sejarah dalam diri setiap penghuni kawasan Pantai Timur semenanjung Malaysia. Detik itu berlakunya sebuah peristiwa di luar jangkaan. 'Bah Kuning' datang membadai negeri-negeri Pantai Timur terutamanya Negeri Kelantan, negeri yang digelar 'Serambi Mekkah'. Bah Kuning itu datang menenggelamkan deretan rumah. Menghayutkan segala harta benda. Semua hilang dari pandangan. Sungguh ia tidak mengira sesiapa. Si kaya dan si miskin. Semua yang berada di laluannya pasti dirempuh.

Peristiwa itu mendatangkan kegusaran dalam diri semua penghuni malah bagi mereka yang bergelar anak rantau kegusaran itu seolah-olah telah menguasai diri. Kebimbangan jelas terserlah di raut wajah masing-masing. Sungguh merunsingkan. Bahkan ada yang berlumba-lumba untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Namun apakan daya, kerterbatasan menidakkan segalanya. Ini kerana rata-rata daripada mereka merupakan pekerja yang terikat dengan tugas yang dipertanggungjawabkan dan para penuntut institusi pengajian tinggi yang tika itu sedang bergelut bagi menempuhi peperiksaan akhir semester.


Disebabkan kegusaran, kerisauan dan kebimbangan itu, ada daripada mereka yang gundah-gulana, menangis dan bersedih. Telefon bimbit sentiasa digenggaman menanti perkhabaran dari kampung. Diri seakan-akan kaku untuk melakukan perkerjaan hatta didesakkan berkali-kali. Jiwa kacau seketika.


Bimbingan sangat ditagih ketika itu bagi mereka yang punyai semangat yang lemah. Kata-kata semangat dan nasihat perlu ditiup bagi membangkitkan diri.

Antara yang sering diperdengarkan iaitu,


Firman Allah SWT,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ 
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Al-Baqarah:155)


       ________________________________________________


Malah ada juga, kata-kata nasihat berserta semangat disampaikan seperti...

"Bersabarlah. Anggap semua yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Percaya dan yakinilah bahawa Allah tidak akan sesekali menganiaya hamba-Nya. Ketahuilah sesungguh ujian yang datang itu menandakan Allah kasih dan cinta kepada hamba-Nya itu. Diibaratkan seperti, Allah sedang bercubit-cubit kasih dengan hamba-Nya yang ditimpa ujian."


Ya, bersabar. Itulah yang ditagih ketika diri didatangi ujian. Namun, dalam bersabar ianya bukan sekadar untuk diperkatakan di bibir semata-mata seharusnya ia perlu dipraktikkan. Secara umumnya, sabar itu ada banyak tingkatnya namun yang paling tinggi kedudukkannya adalah sabar ketika mula-mula diri didatangi ujian. Pada saat ditimpa ujian bukan sesudahnya.


Sebagaimana kisah Rasulullah SAW, iaitu ketika mana baginda bertemu seorang wanita yang baru sahaja kehilangan anaknya. Wanita itu merintih dan menangis semahu-mahunya. Sampailah saat Rasulullah datang kepadanya lalu berkata "Bersabarlah." berserta dengan kata-kata itu ada diselitkan nasihat yang berhikmah.

Namun, wanita itu langsung tidak mempedulikan kata-kata itu sebaliknya membalasnya dengan berkata, " Engkau tidak mengerti perasaanku ketika ini kerana engkau tidak pernah menanggung dan merasainya. Sungguh memerihkan apabila kehilangan permata yang dicintai."

Sejurus mendengar apa yang keluar daripada mulut wanita itu, Rasulullah diam dan terus berlalu meninggalkan wanita itu.

Setelah itu, wanita itu didatangi pula oleh seseorang yang mana telah memberitahunya bahawa lelaki yang datang kepadanya sebelum ini merupakan Rasulullah SAW.

Mendengar sahaja perkhabaran itu, maka tergesa-gesalah wanita itu pergi mendapatkan Rasulullah. Wanita itu berasa sungguh menyesal di atas perlakuannya kepada Rasulullah. Jika dibandingkan ujian ke atas dirinya pasti ia tidak mampu menandingi ujian yang Rasulullah hadapi. Lebih daripada kehilangannya zuriat yang dikasihi dan dicintai. Namun, Rasulullah tetap bersabar dan meneruskan perjuangan menyebar dakwah ke seisi dunia.

Tatkala bertemu kembali Rasulullah, wanita itu segera memohon maaf atas keterlanjurkan diri dan berkata-kata " Wahai, Rasulullah kini aku sudah mampu bersabar."

Rasulullah lalu memberitahu wanita bahawa sabar yang dilihat dan tinggi kedudukkannya di sisi Allah adalah

'Sabar ketika waktu pertama kali diri ditimpa ujian bukan sabar selepas ditimpa ujian...'


       ________________________________________________


Selain itu ada kedengaran juga kata-kata peringatan yang berbunyi,


"Setiap manusia pastinya akan diperuntukkan kepadanya bermacam jenis ujian. Kerana ujian itu adalah fitrah dan datangnya pasti bersebab. Mungkin saja datangnya untuk menguji tahap keimanan ataupun memberi teguran."


Sebagaimana FirmanNya:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ 
وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

" Adakah, patut kamu menyangka bahawa kamu masuk syurga, padahal belum sampai kapada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu; mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakan (datangnya) pertolongan Allah ? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah) -Al-Baqarah : 214 )



       _______________________________________________________

Ada juga kata-kata perangsang yang membangkitkan...

" Ujian itu datangnya hanya kepada yang kuat. Kuat jiwanya. Kuat pergantungannya. Allah sama sekali tidak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh hamba-Nya.  Disebabkan itu, Allah mengetahui kita adalah hamba-Nya yang kuat dan mampu untuk menghadapinya maka dihantarkan-Nya ujian itu."

        ________________________________________________

Kesimpulannya, setiap apa yang berlaku ke atas diri kita perlu untuk kita sentiasa bersangka baik kepada Allah. Pastinya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Sebagai hamba, terimalah setiap ketentuan itu dengan hati yang terbuka serta berlapang dada dengan apa yang diperuntukkan.



sekian.


HN


         ________________________________________________



Sedikit koleksi gambar banjir yang berlaku di Kelantan terutamanya di kampung halamanku di Kampung Padang, Temangan, Machang, Kelantan.


Bandar Kota Bharu







Temangan




Tiada ulasan:

Catat Ulasan