pages

Duniaku : Nikmat Kepuasan Itu.

Catatan : Hidayatun Nadhirah
27 Februari 2016.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

   
Sekali lagi. Diberi kepercayaan untuk menjadi salah seorang fasilitator bagi program kepimpinan di bawah kendalian Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (Kepitar) di Sekolah Kebangsaan Komplek Gong Badak.

Sejujurnya, hati saya berat untuk menerima pelawaan daripada seorang kakak naqibah. Entah saya sendiri pun tidak tahu kenapa hati begitu berat untuk menerimanya. Namun apabila melihat kepada kesungguhan kakak naqibah itu mengajak, akhirnya saya menerima.

Walaupun mulut ringan berkata 'Ya, InshaAllah...kalau tak ada urusan saya join.' tapi hakikatnya, ketika itu hati masih berat menerima. 

Saya cuba untuk positifkan diri. Cuba yakinkan diri... Inshaallah, saya akan dapat sesuatu yang sangat berharga nanti andai saya menyertainya.

Petang khamis, seperti yang dijanjikan, saya menerima mesej daripada kakak Naqibah tersebut untuk mendapat kepastian, sama ada saya dapat menyertai program itu ataupun tidak. Memandangkan minggu itu saya tidak terlalu sibuk, saya menerima pelawaan itu.

Maksudnya ini kali kedua saya meenjadi fasi under Kepitar. Untuk kali pertama, sejujurnya saya gagal menjalankan tanggungjawab tersebut. Mungkin sebab itu agaknya saya fobio untuk menjadi fasi. Mungkin....

Semenangnya bukan mudah untuk menjadi fasi yang sebenar-benarnya. Kenapa saya gunakan perkataan 'sebenar-benarnya'?

Ini kerana, fasi yang sebenar-benarnya, perlu melengkapkan diri mereka dengan beberapa elemen-elemen penting. Antaranya :

1. Ilmu Pengetahuan : ini adalah elemen yang sangat penting. Untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai, kamu terlebih dahulu perlu memilikinya.

Serapkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan yang ada di muka bumi ini, lantas sebarkannya.

Sekiranya kamu khatam sesuatu ilmu yang kamu nak sebarkan itu, Inshaallah... kamu akan lebih confident ketika menyampaikan ilmu tersebut. Apabila penyampaian kamu nampak menyakinkan, tidak mustahil orang akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap penyampaian kamu.

2. Teknik Penyampaian : elemen ini agak susah jugalah namun ia tetap boleh dilatih. Untuk menarik minat orang mendengar setiap penyampaian kamu, ia ada tekniknya.  Gaya bahasa yang digunakan. Intonasi suara yang dilantungkan. Semua itu memainkan peranan yang sangat penting.

3. Persiapan yang secukupnya :untuk elemen ini, point saya di sini adalah khatamkan modul (sekiranya disediakan) sebaik mungkin. Cuba berlatih bercakap seorang diri dulu. Gunakan daya imaginasi kamu, gambarkan sitausi yang bakal dihadapi nanti.

(Ini berdasarkan apa yang saya lihat dan yang diberitahu kepada saya, sekiranya anda mahu lebih detail, kamu boleh google ataupun rujuk dari mana-mana buku yang membahaskan tentang persiapan menjadi fasilitator)


Okay, berbalik kepada cerita asal.

Program Kepimpinan Al-Fateh. Itulah nama program yang bakal saya join nanti. Em, memandangkan pembawaan program ini mengetengahkan tentang sejarah Sultan Al-Fateh maka terpaksalah saya menggunakan segala kemudahan IT yang ada, mengoogle semua maklumat berkaitan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Bermula daripada filem, saya tonton dan simpankan setiap gambaran-gambarannya dalam kotak minda dan seterusnya beralih pula kepada penulisan ilmiah berkaitan Sultan Al-Fateh.

Semua ini mengasyikkan. Hilang semua rasa keterpaksaan setelah mendalami sedikit sebanyak tentang sejarah pembebasan kota Konstantinopel itu. Secara langsung, ia membangkitkan semangat saya untuk berkongsi dengan adik-adik SK Komplek Gong Badak nanti.


Sabtu itu...

Setiap fasi diberi tanggungjawab memimpin sepuluh orang adik peserta. Satu perkara yang terlintas yang fikiran saya ketika itu... Adakah situasi dulu bakal berlaku kembali?

Sebelum ini saya pernah join jadi fasi bagi satu program kepimpinan di Kelantan. Ketika itu saya masih di Tingkatan 5. Fikiran tak berapa matang lagi. haha. Program pertama... bukan under sekolah saya. Program luar, kolaborasi dengan beberapa orang pelajar Maahad Muhammadi Lelaki. Juga program kepimpanan. Pesertanya juga merupakan budak sekolah rendah.

Apa yang mencabarnya program ini, bila mana kami fasi-fasi perempuan langsung tidak menerima layanan yang diinginkan daripada peserta-peserta perempuan. Bila dalam kumpulan, mereka nak tak nak sahaja bercakap dengan kami. (Mungkin ini salah kami juga. Tak pandai tarik minat adik-adik itu).

Jadi untuk mengatasi masalah ini, terpaksalah kami para fasi bertukar kumpulan buat sementara waktu . Fasi lelaki ambil alih kumpulan peserta perempuan. Fasi perempuan ambil alih kumpulan peserta lelaki. Kami buat macam ini, saja nak tengok respons adik-adik ni.

Seperti yang dijangkakan, barulah program itu bertukar rentaknya. Yang asalnya hambar akhirnya bertukar menjadi happy and funny pula gayanya. Sampaikan semua peserta tak nak tukar fasi yang baru ditukarkan itu. Pelik. So fasi kekal sampai habis program.

Mengendalikan peserta lelaki, hampir saja saya angkat bendera putih. Alahai, cukup-cukup hyperactive. Penat berkejar-kejar dengan mereka. Namun... tetap ada bestnya. Mereka dengar apa yang saya cakap.haha.

Contoh untuk malam kebudayaan. Disebabkan mereka sudah ketandusan idea untuk fikir apa yang perlu dilakukan maka saya cadangkan mereka buat satu lakonan adaptasi dari filem pendek budak sekolah saya. Cerita mengenai kesabaran seorang cikgu.

Apa yang terharunya saya, lepas sahaja lakonan itu, ada cikgu bagitahu saya, yang mana pelakon utama kumpulan saya itu merupakan budak yang sangat senyap dekat sekolah. Susah sangat nak dengar dia bercakap. Tapi bila berlakon, banyak pula mulutnya bersuara. Emm... rasa berbaloi berkejar-kejaran dengan budak hyperactive ini.


10 Gadis Yang Unik.

Permulaan program, semua fasi perlu membawa kumpulan masing-masing ke mana-mana sahaja, tempat yang mereka suka asal tidak jauh dari dewan utama (Dewan Kuliah Utama, ILP Gong Badak). Maka saya memilih untuk duduk di sebatang pokok yang rendang tidak jauh dari dewan.

Bermula dengan memperkenalkan diri setiap peserta. Diteruskan dengan permainan 'Bang Bang'. Dilanjutkan pula dengan aktiviti 'Face Impression'. Dan diakhiri dengan 'Niat Setting'. Semua itu mengasyikkan. Biarpun pada mulanya, adik-adik masih lagi segan dan malu dengan saya tapi selepas permainan Bang-Bang mereka mula rapat sesama sendiri dan selesa dengan saya. Syukur. Allah permudahkan segala urusan.

Untuk mengendalikan 10 gadis yang unik ini tetap ada cabarannya. Ada yang manja, ada yang sedikit pasif, dan ada juga yang hyperactive, semua itu perlu saya hadapi dan sebenarnya ia juga sangat menyeronokkan. Bertemu dengan pelbagai watak, buat saya belajar untuk adapt setiap sifat dan sikap adik-adik peserta ini.

Apa yang menjadi keutamaan saya, pastikan tiada seorang pun rasa disisih atau tersisih. Maka dengan itu, saya perlu menghafal nama adik-adik kumpulan saya. Kebanyakkan nama mereka adalah nama-nama model yang sukar untuk disebut dan mengambil masa yang  sedikit lama untuk mengingati. Jadi saya guna waktu lapang yang ada untuk hafal nama-nama itu. Fuhh.. macam hafal sifir pula.

Adik-adik peserta


Impian itu.

Antara perkara yang paling saya suka lakukan ketika aktiviti LDK adalah berkongsi impian dan harapan. Bila bercakap tentang impian dan harapan, setiap orang pasti memilikinya.

Hari itu, saya cuba menyelami hati dan fikiran adik-adik kumpulan saya. Bertanyakan mereka berkaitan impian dan harapan mereka. Pada awalnya mereka malu-malu untuk berkongsi. Malu sekiranya ada yang mentertawakannya. Namun apabila diprovok dengan sedikit kata-kata perangsang dikuatkan dengan kisah Al-Fateh yang memasang impian yang tinggi untuk menakluki kota Konstantinopel, barulah mereka sudi untuk berkongsi tentang semua itu. Kesemuaan mereka memiliki impian dan harapan yang tinggi.


Al-Fatehah, Gadis Pembuka.

Apa yang syoknya, bila saya bercerita tentang sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh, semua adik kumpulan saya memberi tumpuan kepada penceritaan saya. Mereka begitu teruja mendengar sesuatu yang baru dan mengagumkan.

Melihat keterujaan mereka, lagilah bersemangat dan rancak saya bercerita. Kerana begitu mengagumi sejarah kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh, sampaikan nama kumpulan pun mereka mahu meletakkan nama 'Al-Fateh' namun disebabkan sudah ada kumpulan lain yang menggunakan nama tersebut maka mereka memodifikasikan nama Al-Fateh versi perempuan menjadi Al-Fatehah, gadis pembuka.


Dihargai dan menghargai.

Ya. Ini kali pertama saya rasa begitu dihargai. Serius... rasa terharu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Semua itu tidak mampu menggambarkan segala isi hati saya ketika ini.

Kerana itu jugalah saya rasa nak menangis apabila disuruh untuk membuat post-morterm berkaitan program ini.

Sewaktu LDK 1, saya ada berkongsi dengan mereka tentang satu cerita berkaitan 'Tidak disayangi atau Tidak Menyayangi'.

Cerita itu mengisahkan tentang kehidupan seorang nenek tua setelah kematian suaminya. Memiliki anak dan cucu yang ramai, namun malang tiada seorang pun antara mereka yang sudi menerima dan menjaganya. Lantas dia dihantar ke rumah orang tua. Hiduplah nenek tua itu di rumah orang tua itu.

Suatu ketika, mungkin kerana begitu sedih, nenek tua itu mengeluh dengan berkata


"Perkara yang paling malang dalam hidup ini ialah apabila kita tidak disayangi."

Keluhannya itu didengari oleh salah seorang kawan baiknya, lalu kawan baiknya itu berbisik kepadanya

"Kamu salah... sebenarnya perkara yang paling malang dalam hidup, bukan kita tidak disayangi tetapi apabila kita tidak menyayangi."

Terkesan dengan cerita sendiri, saya mahu adik-adik turut rasa mereka dihargai. Jadi seboleh saya mahu melakukan sesuatu yang menghiburkan hati mereka.

Memandang mereka ini masih lagi dalam lingkungan umur kanak-kanak, pastinya mereka lebih suka bermain. Kalau masuk bab bermain, tampak segar semuanya.

Sewaktu menjalankan LDK 1, ketika menceritakan kisah nenek tua, salah seorang daripada mereka memberi cadangan kepada saya untuk bermain satu permainan yang diberi nama 'Nenek Si Bongkok Tiga'.

Apabila melihat ada antara mereka yang kelihatan sedikit boring, saya akhirnya menerima cadangan itu. Dengan saya sekali mereka ajak bermain. Untuk tidak menghampakan dan menghargai mereka, terpaksalah buang segala rasa malu buat seketika waktu bermain bersama mereka. haha.


Inspiration.

Segala keletihan dan kepenatan, semua itu tolak tepi. Apa yang penting, pengalaman yang diperoleh itu. Ia sangat bernilai. Tidak dapat ditukar ganti.

Agaknya ini yang dikatakan kepuasan. Kepuasan dalam berkongsi. Satu nikmat yang tidak mampu diungkap. Hanya mereka yang melaluinya sahaja yang mampu merasai betapa manisnya kenikmatan itu.

Sesungguhnya, ilmu dan pengalaman perlu seiring untuk mengukuhkan jati diri.

Barisan Fasilitator


Terima kasih untuk pengalaman yang berharga ini.

1 March 2016
9.30 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan