Nukilan : Hidayatun Nadhirah
Cerpen Bersiri
Ketika ini, Nurul Qaireen berdiri di tangga. Di
tangannya, terdapat satu sampul surat. Di dalamnya terkandung surat tawaran
bagi menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Enam
bulan dia menanti. Penantian yang penuh dengan debaran dan teka-teki. Dia
begitu mengharap, rezeki Allah masih ada buatnya. Dalam ribuan pemohon, dia
mahu dirinya berada dalam kalangan yang terpilih. Itu yang selalu dipinta dalam
setiap doa munajat yang dia panjatkan tanpa putus-putus kepada Yang Esa.
Memilih
untuk tidak terus berada di bangku sekolah, menduduki apa-apa lagi peperiksaan
besar, sama ada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mahupun Sijil
Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), itu pilihan nekad daripadanya.
Biarpun
pada mulanya, ada saranan daripada ibu agar dia memikirkan kembali keputusan
itu, menimbang balik baik buruk tindakan yang bakal diambil. Alhamdulillah… dia
yakin dengan keputusan yang telah dibuat.
Sejak dari itu, ibu tidak lagi
bersuara mengenai perkara itu. Berkaitan hal itu, ibu sama sekali tidak akan
memaksa malah tidak juga akan menghalang sekiranya tiba-tiba dia berubah
fikiran untuk mengambil antara salah satu daripadanya. STAM ataupun STPM.
Kata
ibu, “Kalau ambil, bagus… kalau tidak ambil, bukan
bermakna tidak bagus. Sambunglah belajar di mana-mana sahaja sekalipun.
Dua-duanya ada kelebihan masing-masing. Sekarang, apa yang perlu kamu buat,
pilihlah apa yang terbaik bagi kamu.”
“Ikut
gerak hati kamu kata apa. Tapi... dalam kamu ikut kata hati, perlu juga kamu
berhati-hati, ada kalanya suara hati, sifatnya mampu menipu. Maka... tindakan
terbaik, pohon petunjuk dari Allah.”
Bicara
ibu suatu ketika dahulu, yang berbaur nasihat itu, masih lagi segar dalam kotak
mindanya. Tertanam kukuh dalam hati. Masakkan dia akan lupa akan kata-kata
itu. Sudah tentu tidak. Kerana kata-kata itu juga, dia memberanikan diri untuk berhadapan
dengan ibu pada hari ini.
Waktu
yang dilalui terasa cukup lama dan menyeksakan. Namun, itu bukanlah pematah
semangat untuk dia terus bertahan. Dia akan terus menanti. Menanti dengan penuh
kesabaran. Bukakah itu yang Islam sarankan? Sabar dan terus bersabar.
Mungkin
sabar itu sesuatu yang mudah untuk diungkat, namun sukar untuk dilakukan. Tetapi
percayalah, apabila ia terus dilatih, Insha-Allah... kesabaran itu akan jua
diperoleh.
Sebagaimana
sabda Rasullah SAW tatkala menggambarkan hikmah apabila seseorang itu mendidik
dirinya agar sabar, maka di atas usahanya itu, Allah akan menjadikannya
seorang yang sabar.
Detik
masa itu terus berputar. Kini, jawapan kepada penantian itu, akhirnya terjawab.
Penantiannya tidak sia-sia. Benar, dari sabar itu pasti ada hikmahnya. Syukur,
pemohonannya diterima. Lebih mengembirakan lagi apabila dia ditawarkan, dalam
bidang yang sangat diimpikannya. Asasi Perakaunan. Itu yang menjadi pilihan
utamanya ketika mana permohonan UPU diisinya suatu masa dahulu.
Namun,
ada sesuatu yang menganggu ruang fikirannya kini. Yang mungkin bakal menjadi
masalah dan juga penghalang buatnya nanti. Ianya adalah…ibu.
Nurul
Qaireen menarik nafas dalam-dalam. Lalu, setapak demi setapak dia melangkah. Sampul surat di
tangan dipegang erat. Dia perlu kuat. Apa sahaja yang bakal berlaku nanti, dia
akan tetap pertahankan pendiriannya.
Dari
jauh, Nurul Qaireen dapat melihat ibunya sedang menilik-nilik Ipad Samsung
galaxy kepunyaannya. Ketika ini, ibu sedang duduk di sebuah meja yang terdapat
di suatu ruang antara ruang makan dengan ruang tamu.
Biasanya,
di situlah tempat untuk ibu melakukan kerja-kerjanya. Tidak cukup di pejabat,
di rumah juga ibu akan cuba cari masa untuk berkerja.
Tugas
sebagai seorang arkitek senior, nampak cukup memenatkan. Itu yang Nurul Qaireen
lihat pada ibunya. Terbang sana sini, sudah menjadi perkara biasa bagi ibu.
Berpuluh-puluh tender telah berjaya diuruskan dengan baik oleh ibu. Banyak
bangunan yang tersergam megah di kota-kota bandaran utama di dalam negara
dibina menggunakan lakaran kombinasi idea ibu. Jadi, tidak mustahillah jika ibu
tergolong dalam kalangan arkitek terhebat negara.
Biarpun
kehidupan ibu banyak dihabiskan dengan kerja, tugas seorang ibu kepada tiga
cahaya mata tercinta tetap masih dijaga sebaik mungkin. Makan minum dan pakai
anak-anak masih terurus dengan baik. Itu yang hebatnya ibu di mata Nurul
Qaireen. Sesibuk mana pun dia dalam dunia kerjayanya, kewajipan seorang ibu
tidak pernah dia abaikan.
Bagi
Nurul Qaireen, dia bangga punya ibu seperti ibunya. Tetapi, adakah ibu juga
akan turut berbangga mempunyai anak sepertinya?
Nurul
Qaireen terus menghampiri ibunya. Sebaik sahaja tiba, matanya terpandang pada beberapa
gulung kertas pelan yang terletak rapi di sebelah sebuah komputer riba.
Mungkin
kerja ibu sudah selesai. Duga Nurul Qaireen. Sampul surat yang dipegang tadi
disembunyikan buat seketika di belakang badan.
“Mummy…” Nurul Qaireen menguntumkan senyuman
manis. Perlahan-lahan tangan kanannya menarik kerusi. Setelah itu, tubuh
dilabuhkan di atas kerusi yang diperbuat dari kayu jati itu.
Puan
Auliya mengangkat wajah. Lantas, bibirnya turut menggariskan satu senyuman
ikhlas buat puteri tersayang.
“Mummy
sibuk?”
Berhati-hati Nurul Qaireen bertanya.
“Tak. Kenapa? Adik ada nak beritahu
sesuatu?”
Jawab Puan Auliya berserta dengan pertanyaan. Ipad di tangan diletakkan
seketika. Kedua belah tangan diangkat ke meja. Jari-jemari disatukan. Dagu
diletakkan di atas susunan jari-jemari itu.
Nurul
Qaireen diam buat seketika waktu. Bibir bawah digigit lembut. Minda masih lagi
berkira-kira sama ada mahu memberitahu ataupun tidak.
“Beritahu
saja. Mummy tak akan marah.” Ujar Puan Auliya seakan mampu membaca fikiran
anaknya ketika ini. Seorang ibu sudah tentu mampu untuk melakukan semua itu.
Kekuatan naluri seorang ibu memang tidak boleh dinafikan lagi.
Nurul Qaireen membawa sampul surat yang
disorok di belakangnya tadi ke atas meja. Sejurus itu, Puan Auliya mengerut
dahi sambil tangan mencapai sampul surat itu. Wajahnya penuh dengan tanda
tanya.
“Surat
apa ini?”
Soal Puan Auliya. Tangannya teraba-raba untuk mengeluarkan isi sampul surat
tersebut.
“Surat
tawaran sambung belajar.”
Jawab Nurul Qaireen lalu menundukkan kepala memandang lantai. Mata
dipejam. Hujung bibir digigitnya lagi. ‘Ya Allah, tolonglah…” Hatinya berbisik.
Nurul Qaireen mengerling ke arah Puan
Auliya yang ketika ini sedang membaca isi kandungan surat tersebut. Dia tidak
mahu mengangkat wajah memandang terus ke arah ibunya. Dia seakan dapat mengagak
apa respons yang bakal diterima daripada ibu.
Debaran hati terasa sungguh mencengkam
jiwa. Jantungnya pula mula bertukar rentak. Berdegup kencang. Lantas, dia
meramas-ramas pergelangan tangan. Dalam usaha memujuk diri agar bertenang.
Puan Auliya membelek helaian surat di
tangan sepintas lalu. Sejurus itu, kedengaran bunyi keluhan terluah.
Serentak itu juga kepalanya tergeleng-geleng.
“Maaf,
Mummy tidak izinkan.”
Putus Puan Auliya dengan nada suara yang lembut namun tetap ada tegasnya. Surat
yang dipegangnya sebentar tadi dimasukkan kembali ke dalam sampul. Lalu diletakkannya di
atas meja. Ipad kembali dicapai.
Nurul Qaireen pantas mengangkat wajah.
Seperti yang dijangkakan. Itu yang bakal dia dengari dari mulut Puan Auliya.
Namun dia tidak mahu terus mengalah. Dia akan berusaha untuk cuba memujuk Puan
Auliya.
“Tapi
adik minat bidang itu. Adik…” Nurul Qaireen cuba memujuk. Namun ayatnya
tersangkut apabila Puan Auliya cepat-cepat memotong.
“Bila
Mummy cakap tidak, selamanya tidak. Faham!” Tegas Puan Auliya. Kali ini suaranya sedikit meninggi. Ipad diletakkan kembali di tempatnya dengan kasar. Rona mukanya telah
bertukar merah. Amarahnya terbangkit. Matanya merenung tajam ke arah Nurul
Qaireen. Renungan mata itu ditentang berani oleh Nurul Qaireen.
“Adik
tetap mahu teruskan juga.”
Kali ini Nurul Qaireen juga akan tetap dengan pendiriannya. Dia sudah bertekad,
walau apa pun yang terjadi dia tetap akan terus berjuang bagi memastikan
impiannya tercapai.
“Nurul
Qaireen! Mummy tidak pernah ajar anak Mummy lawan cakap Mummy.” Puan Auliya bangkit dengan kasar.
Kesan daripada tindakannya itu, terhasilnya bunyi geseran kerusi tatkala ia
terseret pada lantai.
“Dulu…
bila Mummy suruh adik ambil aliran Sains, adik ikut sahaja. Kali ini berilah
sedikit peluang kepada adik untuk buat keputusan sendiri. Pilih bidang apa yang
adik mahu ceburi.”
Mata Nurul Qaireen mula berkaca. Namun, dia cuba untuk bertahan dari
menumpahkan titisan itu.
“Walaupun
kamu ambil sains… Kamu ingat Mummy tidak tahu dalam diam-diam kamu ambil subjek
akaun? Kamu ingat Mummy buta? Bodoh? Sampai tidak tahu langsung semua itu.
Mummy tahu. Tapi Mummy sengaja diamkan sahaja.”
Mendengar sahaja kata-kata ibu, Nurul Qaireen terdiam. Terkejut dan
terkesima. Tidak disangka, perkara yang selama ini cuba disembunyikannya
daripada pengetahuan ibu sebenarnya telah lama diketahui.
“Kamu
pilihlah apa sahaja bidang yang kamu mahu, Mummy tidak kisah… tapi bukan bidang
itu.”
Ujar Puan Auliya dengan tangan bercekak di pinggang. Dia menghadap Nurul
Qaireen.
“Apa yang salah sebenarnya, kalau adik nak sambung dalam bidang itu.” Nurul Qaireen mendonggak sedikit
wajahnya memandang ke arah Puan Auliya.
“Jadi salah bila Mummy tidak suka.” Terserlah ketegasan pada rauk wajah
Puan Auliya.
“Adik nak ikut jejak langkah Daddy jadi akaunt...”
“Jangan!
Kamu tidak boleh ikut jejak langkah Daddy kamu.” Cepat-cepat Puan Auliya memintas kata-kata Nurul Qaireen. Waktu ini, mukanya tampak cemas dan takut. Namun, perubahan wajah itu tidak disedari oleh Nurul Qaireen.
Berkerut
dahi Nurul Qaireen saat mendengar kenyataan Puan Auliya. Dia keliru dan pelik. Hati dan juga minda kini mula tertanya-tanya. Kenapa ibu melarangnya untuk mengikut jejak langkah ayah?
“Tapi
kenapa?” Soal Nurul Qaireen dengan harapan kekeliruan yang mula timbul dapat dirungkai secepat mungkin.
Pertanyaan
itu membuatkan Puan Auliya kelu untuk terus berbicara. Sejurus itu, dia menghela nafas.
“Kamu tidak perlu tahu kenapa dan mengapa Mummy
bertindak begitu. Cukuplah kamu tahu Mummy tidak suka anak-anak Mummy ambil
bidang itu.”
Puan Auliya merendahkan suaranya. Ada sesuatu yang mengusik kalbunya kini. Jiwanya sebak bila diungkit perihal itu. Lantas dia berpaling membelakangi Nurul
Qaireen. Tangan pula dibawa bersilang di dada.
Untuk melupakan sesuatu yang telah berlaku, ianya terlalu sukar untuk
dilakukan oleh Puan Auliya. Kejadian itu benar-benar buat dia mengalami ketakutan
dan trauma yang sukar dibendung. Kehilangan, sesuatu yang sukar untuk diterima. Dia
cuba tanamkan sifat redha dalam diri tetapi hati kecilnya masih lagi mendesak,
masih lagi mempersoalkan mengapa perlu dia yang dipilih untuk menerima semua
ujian ini.
Nurul Qaireen tidak berpuas hati dengan jawapan ibu sebentar tadi. Dia yakin ada sesuatu yang cuba ibu sembunyikan daripada pengetahuannya. Jadi dia perlu cari tahu tentang perkara itu.
“Tapi
adik ada hak untuk tahu kenapa Mummy begitu melarang. Mesti semua ini bersebab.
Dan semua sebab itu, adik perlu tahu. Cuba Mummy beritahu adik...” Kata Nurul Qaireen dengan intonasi
suara memujuk.
“Cukup! Mummy tidak mahu cakap lagi tentang
semua ini. Keputusan Mummy tetap sama.” Jelas sekali kini Puan Auliya tidak lagi mampu
dipujuk.
“Mummy tetap tidak akan izinkan kamu sambung dalam bidang itu.” Titik keputusan daripada Puan Auliya.
Cukuplah sekali ia berlaku, tidak untuk kedua kalinya. Dia tidak sanggup
menghadapinya lagi.
Seraya itu juga, Nurul Qaireen bangun. Dia berdiri memandang ibunya. Ibu
masih berkeadaan seperti tadi, berdiri membelakangi dirinya.
“Kalau Mummy tetap dengan keputusan Mummy… adik pun akan tetap dengan
pendirian adik. Adik akan tetap nak ambil bidang itu!” Kata Nurul Qaireen nekad lalu berlari meninggalkan ibunya. Dia tidak mahu lagi bertikam lidah
dengan Puan Auliya. Bimbang nanti disebabkan bicaranya, hati ibu akan lebih
terguris.
“Nurul Qaireen!” Sebaik mendengar kata-kata Nurul Qaireen, Puan
Auliya pantas berpaling. Namun belum sempat dia meneruskan bicaranya, kelibat
Nurul Qaireen sudah semakin menjauh dan akhir hilang di balik tiang.
Baru sahaja Nurul Qaireen mahu mengangkat kaki untuk mendaki anak tangga, tiba-tiba
langkahnya terhenti apabila telinganya menangkap suara lantang Puan Auliya yang
kedengaran sedikit melaung. Dia berhenti dari terus menapak. Berselindung di
balik dinding yang menjadi penghadang kedudukannya dengan Puan Auliya.
“Kalau
itulah keputusan kamu, terpulang pada kamu. Buatlah apa yang kamu suka. Tapi
kamu kena ingat, segala perbelanjaan dan yuran pengajiaan kamu nanti, Mummy tak
akan tanggung. Pandai-pandai kamulah cari semua itu.” Laung Puan Auliya. Bicaranya
kedengaran seperti satu ugutan. Hanya itu yang terlintas di
fikirannya untuk menghalang tindakan Nurul Qaireen.
Puan
Auliya kembali duduk di kerusi. Dia termenung. Fikirannya kini berpusar memikirkan Nurul Qaireen. Anak itu kini sudah berani menentangnya. Entah apa
yang mendorongnya untuk dia bertindak sebegitu.
Puan Auliya meraup wajahnya. Nafas direngus kasar. Fikiran mula
berserabut. Hati mula bercelaru. Kebimbangan mula menjengah.
‘Adik, andai kamu tahu sebab mengapa Mummy begitu melarang kamu... ikut jejak langkah Daddy kamu, pasti kamu tidak akan berbuat demikian. Tapi Mummy tidak dapat memberitahumu tentang semua itu. Ini semua demi keselamatanmu.’ Rintih hatinya.
Nurul
Qaireen terus melangkah memanjat anak tangga. Air mata akhirnya menitis
jua. Pantas air mata yang mengalir di pipi mulusnya itu disapu
menggunakan hujung lengan baju T-shirt panjang yang dipakainya. Tatkala dia
sedang melangkah dengan wajah sedikit tertunduk, tiba-tiba laluannya dihalang
seseorang. Lantas dia terus mengangkat wajah.
“Adik tak nak cakap apa-apa dengan
akak.”
Ujar Nurul Qaireen dengan suara serak-serak basah.
“Siapa
nak cakap dengan kau.” Qaisara mempamerkan muka yang menjengkelkan.
Dengan tangan bersilang di dada bersama jelingan mata yang tajam, gayanya nampak begitu angkuh
dan sombong.
Qaisara
adalah kakak kapada Nurul Qaireen. Walau bagaimanapun, lagaknya langsung tidak
menunjukkan dia sebagai seorang kakak. Qaisara begitu gemar membuli dan
menyakiti adiknya itu. Dalam sehari, hatinya tidak akan tenang selagi dia tidak
melakukan apa-apa terhadap Nurul Qaireen. Pergaduhan sudah menjadi perkara
biasa antara mereka. Perdamaian seakan sukar untuk diraih oleh Nurul Qaireen.
Apabila
pergaduhan tercetus antara mereka, Nurul Qaireenlah yang terpaksa mengalah.
Sepatutnya yang tua seharusnya mengalah dan beralah pada yang muda, namun
sepanjang hidup Nurul Qaireen, dia tidak pernah merasai semua itu. Yang selalu
dia hadapi, hanyalah terus dipersalahkan.
Nurul
Qaireen hanya rasa bebas dari segala ancaman itu apabila dia mula menetap di
asrama. Itulah waktu yang paling tenang dan mengembirakan dia. Bebas dari
seorang kakak yang entah kenapa begitu membenci dirinya.
Nurul
Qaireen bukanlah seorang lemah. Jika ikutkan kata hati, boleh sahaja dia
bangkit bertindak melawan setiap tindakan yang dilakukan oleh Qaisara. Tetapi
disebabkan rasa hormat pada seorang insan bernama kakak, dia memilih untuk diam
dan bertahan.
Kakak…
kata-katanya, kadang-kala sangat menyakitkan telinga yang mendengar. Malah juga
mampu mengguriskan hati seseorang. Dan ‘seseorang’ itu adalah Nurul Qaireen.
Entah
mengapa kakak melayannya sebegitu kejam sekali. Hatta dia tidak pernah sekali
pun menyakiti kakak.
Pukul?
Sekali pun dia tidak pernah buat pada kakak. Tapi kakak, bukan sahaja pukul
malah sepak pun sudah menjadi suatu hobi baginya.
Bila
ditanya ibu, kenapa kakak memukul dan menyepak Nurul Qaireen, pasti ada sahaja
jawapan yang mampu diberikannya untuk mengelak dari terus dipersalahkan. Dengan
sikap Nurul Qaireen yang hanya mendiamkan diri, lagi bertambahlah keyakinan ibu
dengan apa yang kakak perkatakan itu.
“Adik
malaslah nak bertengkar dengan akak. Dah, tepi sikit. Adik nak naik.” Nurul Qaireen menolak lembut bahu kakaknya.
Qaisarah membulat mata. Lantas lengan Nurul Qaireen dipegang. Kuat dan kasar.
“Sakitlah
akak!”
Nurul Qaireen mengaduh.
“Berani
kau tolak bahu aku!”
Dipulas lengan Nurul Qaireen sebelum ia dilepaskan.
“Apa
yang bising sangat ni?”
Soal Puan Auliya yang tiba-tiba muncul di hujung anak tangga, di bawah.
Sebentar
tadi, Puan Auliya ada mendengar suara seseorang mengaduh kesakitan dari arah tangga.
Lantas dia berjalan menuju ke arah datangnya suara itu. Sebaik sahaja tiba di
tangga, dia melihat Nurul Qaireen dan Qaisara. Tatkala itu, Qaisara sudah
melepaskan pegangan tangannya pada lengan Nurul Qaireen.
“Adik
ni… dia tolak kakak tadi. Nasib baik kakak sempat paut lengan dia. Kalau tidak
memang tergolek jatuhlah kakak… dekat bawah sana.” Qaisara memuncungkan bibirnya.
Nurul
Qaireen menoleh ke arah Qaisara. Direnung wajah itu. Lalu dia mengeluh. Seperti
yang dijangka. Itulah cara Qaisarah membela diri. Bijak dan licik.
“Dah.
Masuk bilik. Lewat malam dah ni.” Arah Puan Auliya.
Kedua-duanya
menurut. Qaisara terlebih dahulu mengatur langkah mendahului Nurul Qaireen.
“Tepi!” Sempat lagi dilanggarnya bahu Nurul
Qaireen. Tidak cukup dengan itu, disekeh pula kepala Nurul Qaireen.
“Sakitlah…” Nurul Qaireen meletakkan tangannya dia
kepala.
“Kakak.” Tegur Puan Auliya. Kelakuan Qaisara
dapat dikesannya.
“Kakak
gurau sahaja.”
Ujar Qaisara tanpa menoleh. Dia terus mendaki anak tangga.
Puan
Auliya menggeleng-geleng kepala. Nurul Qaireen hanya memerhati kakaknya pergi.
Setelah itu, Nurul Qaireen menoleh ke arah ibunya. Dipandang wajah ibu penuh
dengan harapan ibu akan mengubah fikirannya.
Ketika
ini, Puan Auliya juga turut memandang ke arah Nurul Qaireen. Namun pandangannya
tidak lama sebelum berlalu meninggalkan Nurul Qaireen tanpa mengeluarkan
apa-apa bicara.
********
“Adik
yakin? Sudah buat solat hajat? Istikharah?” Bertubi-tubi pertanyaan daripada si pemanggil di
sebelah sana.
Nurul
Qaireen mengangguk kepala walaupun tindakannya itu tidak mampu dilihat oleh si
pemanggil itu.
“Dah.
Adik yakin. Hati adik juga rasa lapang dan tenang dengan keputusan yang adik
buat. Tapi sekarang ini, Mummy pula yang tidak beri keizinan. Abang rasa, betul
ke tindakan adik ini?”
Seketika tiada suara yang kedengaran di
sebelah sana namun panggilan masih lagi bersambung. Nurul Qaireen menanti.
Pada waktu ini, dia sedang berhubung
dengan abang sulungnya, Rafiq yang kini sedang berkerja di Kedutaan Malaysia di
Riyadh, Arab Saudi melalui panggilan telefon.
“Kalau
adik nak jawapan berdasarkan pendapat abang... sebetulnya tindakan itu salah.
Sebagai seorang anak kita perlu dengar apa yang ibu bapa suruh. Selagi mana ia
tidak bertentang dengan ajaran islam, selagi itu juga kita perlu ikut.”
“Mungkin
kita tidak suka… Tapi kita kena ingat, yang kita suka tidak semestinya terbaik
untuk kita. Begitu juga perkara yang kita benci, mungkin sebenarnya baik bagi
kita.”
Nurul Qaireen diam. Terpukul dengan
nasihat itu. Kata-kata Rafiq ada betulnya. Dia tidak menafikannya.
Lantas, dia terus diam membisu.
“Macam
inilah… kalau adik yakin dan adik rasa tenang bila buat keputusan itu. Adik
teruskan. Soal Mummy, biarkan abang cuba pujuk pula. Sekarang ini, adik
perbanyakkan doa. Minta Allah lembutkan hati Mummy untuk menerima. Manalah tahu,
tiba-tiba Mummy berubah hati. Hati manusia ini mudah
dibolak-balik oleh Allah, bukan begitu?” Kata Rafiq bersama pertanyaan dengan nada berjenaka.
“Ya… Betul Ustaz. Ana faham.” Nurul Qaireen menyambut jenaka
abangnya itu. Ketawa mereka akhirnya pecah. Sedikit sebanyak kegalauan hati
dapat diusir seketika.
Nurul Qaireen bersyukur kerana masih ada yang sudi memahami dan mendengar luahan hatinya.
Terima kasih abang, kerana sudi melayan kerenah adikmu ini…
Seusai
memutuskan talian, telefon bimbit diletakkan ke atas meja yang terletak berhampiran dengan katil. Setelah itu, dia melentangkan badannya di atas katil. Mata dibawa
memandang siling bilik. Fikiran mula terbang melayang-layang tanpa destinasi. Hati
pula berlagu sedih dan sayu.
Pertengkaran dengan ibunya tadi kembali menjengah. Bukan
niatnya untuk membantah hatta menentang kata ibu. Malah untuk melukai hati
seorang wanita yang begitu cekal dan tabah dalam mendidik anak-anak setelah
pemergiaan suami tercinta untuk selama-lamanya, sama sekali dia
tidak tegar untuk berbuat sedemikian.
Tapi dia tidak boleh
menipu dan menyeksa diri sendiri, kerana yang bakal menanggung semua itu kelak
adalah dia. Dia berhak menentu masa depannya. Jadi, sama ada mahu atau pun tidak dia perlu juga pertahankan haknya.
‘Mummy…
maafkan adik. Jujur, tidak terdetik sekalipun dalam hati ini untuk melukai
hatta menyakiti hati kecilmu itu. Adik cuma mahu ibu memahami. Cukup hanya
dengan memahami. Adik tidak minta lebih dari itu.’ Hatinya bermonolog sendiri.
Malam
terus berlabuh. Berlabuhlah juga dia bersama kesedihan di hati. Tenanglah duhai hati. Damailah wahai jiwa.
Bersambung…
10.45 PM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan