pages

Cerpena : AKukah Bakal Akauntan Itu ?

Nukilan : Hidayatun Nadhirah
Cerpen Bersiri.




Suasana kelas tingkatan 5 Maawa ketika ini sunyi seketika. Yang kedengaran hanyalah bunyi buku dibelek-belek. Semua pelajar sedang tunduk membelek helaian buku Perakaunan berkulit biru yang boleh dikatakan buku yang paling tebal yang mereka miliki.

                “Bila kamu belajar akaun, sepatutnya kamu tahu sejarah Perakaunan. Sejak bila ia bermula? Siapa pengasasnya?”  Cikgu Humaira berjalan ke hadapan kelas. Dia berdiri di meja guru sambil tangan bercekak di pinggang.

                Semua pelajar mengangkat wajah. Pelbagai memek muka terserlah. Kebanyakkanya tampak ketakutan. Mungkin bimbang, takut-takut mereka yang bakal disuruh untuk menjawab soalan itu.

                Nurul Qaireen membetulkan duduknya. Kakinya terasa lenguh. Keletihan berlari masih belum hilang sepenuhnya. Sebentar tadi, terkejar-kejar  dia datang ke kelas ini. Dari bangunan sebelah, dia terpaksa berlari dan mendaki anak tangga untuk secepat mungkin sampai ke kelas.

                Hari ini, Cikgu Humaira telah mengadakan kelas tambahan bagi subjek Prinsip Perakaunan pada sebelah petang. Kelas tembahan yang diadakan sendiri oleh Cikgu Humaira dengan persetujuan semua pelajar kelas tingkatan 5 Maawa, di luar waktu persekolahan.

                Cikgu Humairah memang seorang guru yang sangat bersemangat dan komitmen dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik. Sanggup berkorban masa semata-mata untuk pelajarnya. Guru yang baru sahaja berkhidmat di sekolah ini, sejak tujuh bulan yang lalu, mempunyai harapan yang sangat tinggi. Dia ingin melihat kesemua pelajarnya mendapatkan keputusan yang cemerlang bagi subjek yang diajarnya iaitu subjek Prinsip Perakaunan dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

                Malah cikgu muda itu juga senang untuk dibawa berunding dan tidak lokek dalam berkongsi ilmu. Nurul Qaireen sangat terhutang budi kepadanya. Dengan bantuan dialah Nurul Qaireen dapat merealisasikan hasratnya untuk mejadikan subjek Prinsip Perakaunan sebagai subjek tambahannya dalam Sijil Peperiksaan Malaysia.

                Nurul Qaireen sebenarnya pelajar aliran sains teknikal. Namun disebabkan keinginan yang membuak-buak untuk mempelajari subjek Prinsip Perakaunan, dia memutuskan untuk mengambil subjek itu sebagai subjek tambahannya.

              Tetapi ia tidak semudah yang disangka, ketika Nurul Qaireen membuat pemohonan untuk menambah mata pelajaran, pemohonannya ditolak. Lalu dia meminta bantuan daripada Cikgu Humaira agar dia dibenarkan mengambil subjek itu. Pada awalnya, cikgu itu tidak begitu bersetuju dengan permintaan itu. Sebaliknya, menyarankan agar Nurul Qaireen menukarkan sahaja aliran yang diambil. Namun saranan itu, seakan sukar dipenuhi oleh Nurul Qaireen atas alasan ibunya mungkin tidak akan mengizinkannya untuk berbuat demikian.

                Nurul Qaireen telah menceritakan segalanya tentang mengapa dia begitu berminat untuk mengambil subjek Prinsip Perakaunan dan kenapa ibunya mungkin tidak akan mengizinkannya memasuki aliran Akaun. Setelah mengetahui cerita sebenar, barulah Cikgu Humaira bersetuju membantunya mendapatkan kelulusan bagi mengambil subjek Prinsip Perakaunan sebagai subjek tambahan.

                “Inilah perkara asas yang simple yang selalu sangat pelajar abaikan.” Cikgu Humaira menyilang tangan ke dada.

                “Amrul…” Mengelabah seorang pengawas lelaki yang berada di meja kedua sebelah kanan kelas apabila namanya dipanggil oleh Cikgu Humaira.

                “Agak-agak awak, apa jawapannya?” Pertanyaan yang kedengaran tidak memaksa namun tetap menagih jawapan.

                Amrul bangkit dari kerusi. Pandangan difokuskan kepada Cikgu Humaira yang kini turut memandang ke arahnya. Seketika dia diam sambil mengaru-garu kepala menggunakan pensil di tangan. Nampak dia sedang berfikir.

                “Berdasarkan apa yang saya baca dan saya faham…” Amrul menutup buku tanpa mengalihkan pandangannya dari Cikgu Humaira.

                “Pemulaan rekod perakaunan adalah bermula sejak tamadun purba. Ia telah dijumpai di Babylonia pada tahun 3500 sebelum Masihi.”

        “Pengasasnya adalah Luca Pacioli yang dikenali sebagai bapa perakaunan kerana terbitan buku matematiknya berjudul Summa de Arithmetica, Geometria dan Proportioni et Proportionalita telah dicetak dan beliau juga telah membentuk asas perakaunan yang diamalkan sehingga kini.” Terang Amrul panjang lebar walaupun terdapat beberapa bahagian yang tersangkut-sangkut, namun dia tetap berusaha untuk terus menghabiskan penerangan itu.

                Amrul atau nama sebenarnya Ameer Amrullah, memang terkenal dengan kepakaran dalam subjek ini. Kepakarannya dalam subjek Prinsip Perakaunan memang sukar dicabar oleh sesiapa sahaja hatta Nurul Qaireen. Boleh dikatakan dialah jaguh dalam sekolah ini bagi subjek tersebut. Dia juga menjadi tempat rujukan kepada pelajar lain. Bukan sahaja pelajar dari kelas ini malah juga pelajar dari kelas lain yang turut mempelajari subjek ini.

                Sewaktu Amrul membuat penerangan, semua mata memandang ke arahnya. Cikgu Humaira turut memberi tumpuan kepadanya sambil kepala terangguk-angguk.

                “Well done, Amrul… Terima kasih. Sekarang kamu boleh duduk.”  Suruh Cikgu Humaira sambil tersenyum bangga. Penerangan Amrul memberi sedikit kepuasan kepadanya. Ada juga di kalangan pelajarnya yang mengambiltahu tentang perkara itu walau hanya segelintir.

                Sebentar tadi, dia sengaja bertanya soalan itu. Hanya untuk menguji kepekaan dan kepantasan berfikir pelajarnya. Mungkin kepada pelajar, perkara itu tidak penting. Dia tidak menafikannya. Rata-rata pelajar yang mengambil aliran Akaun ataupun subjek ini, kebanyakkannya mengabaikan perkara ini. Mana tidaknya, soalan sebegini jarang ditanya di dalam kertas peperiksaan.

                “Apa yang diterangkan oleh Amrul itu adalah berdasarkan barat. Kalau dalam islam, macam mana pula?” Tanya Cikgu Humaira sambil tersenyum menampakkan giginya yang tersusun rapi. Dia melentukkan sedikit badannya, bersandar di tepi meja. Tangan kanannya dibawa ke pinggang. Tatkala itu jugalah berkerut dahi sekalian pelajar saat ditanya soalan yang kedengaran asing dan langsung tidak berkait dengan apa yang mereka pelajari.

                “Cikgu, tidak pernah ada pun dalam buku, tentang itu…”  Kata Naila yang berada di meja hadapan dengan nada sedikit rendah agar suaranya tidak didengari oleh seisi kelas. Nailah memang terkenal dengan sikap pemalu namun sangat gemar dan suka bertanya.

                “Ya. Saya tahu. Tapi saya saja nak tanya, manalah tahu antara kamu semua ini… ada yang tahu.” Cikgu Humaira melebarkan senyumannya.

                Semua pelajar diam. Masing-masing kini berwajah kosong. Amrul juga turut begitu. Jelas kali ini dia juga tidak punya jawapan kepada pertanyaan itu.

                Nurul Qaireen memutarkan pensil yang digunakan untuk mencatat nota. Matanya masih tidak lari dari terus memandang ke hadapan. Ketika ini, fikirannya dikerah untuk mengingatkan sesuatu. Seingatnya, dia pernah terbaca satu artikel berkenaan semua itu. Namun entah kenapa saat semua itu diperlukan, dia jadi ingat-ingat lupa akan perkara itu.

                “Tak mengapalah, berkaitan perkara itu… biar saya kongsikan. Sekadar untuk pengetahuan kamu semua.” Kenyataan Cikgu Humaira telah berjaya mengubah rauk wajah semua pelajar. Mereka tampak lega dan teruja.

                Kelihatan beberapa orang pelajar membetulkan kedudukan tubuh mereka agar rasa lebih selesa. Semua pelajar nampak begitu teruja dan tidak sabar untuk mendengar perkongsiaan daripada Cikgu Humaira. Cikgu muda itu juga sebenarnya sangat dikenali dengan sikapnya yang suka bercerita dan gemar membuat perkongsiaan. Setiap perkongsian yang diutarakannya pasti tidak akan lari dari dikaitkan dengan Islam. Penyampaian yang bersifat kontemporari telah berjaya menarik minat pelajar untuk terus mendengar dan mendengar. Malah, perkongsiaan daripadanya sering kali dinanti-nantikan oleh pelajar.

                “Sebenarnya ilmu perakaunan juga merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu dalam Islam. Banyak ayat Al-quran dan Hadis yang membahaskan tentang ilmu perakaunan.” Cikgu Humaira memulakan perkongsiaan.

        “Antaranya dalam surah al-Baqarah, ayat 282 : 2, ketika mana Allah berfirman: “Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan berkaitan dengan hutang  piutang yang  bertempoh, maka hendaklah kamu menulisnya (hutang  dan tempoh bayaran)”

            Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perlu dan pentingnya kita menyimpan rekod transaksi dan membuat pengesahan mengenainya. Bukankah itu sama seperti yang kita belajar sekarang?” Cikgu Humaira cuba menghidupkan suasana dengan mengeluarkan pertanyaan. Dia mahu mewujudkan komunikasi dua hala antara guru dengan pelajar.

                “Ya !” Semua pelajar menjawab serentak. Maka semakin lebar senyum di bibir cikgu muda itu.

                “Cikgu, sejak bila sistem perakaunan digunapakai dalam islam?” Kaleela yang berada di sebelah Nurul Qaireen mengangkat tangan dan bertanya. Seraya itu juga Nurul Qaireen mengangguk. Dia juga ingin mengetahui tentang hal itu.

                Dulu, dia hanya mengetahui bahawa penggunaan ilmu perakaunan kebanyakkannya bermula dari barat. Tidak pula dia mengetahui dan mengambil tahu, penggunaan sistem perakuanan juga turut digunapakai secara meluas dalam Islam.

                “Serentak dengan turunnya ayat Al-Quran tadi, Rasulullah SAW telah memerintahkan sahabat supaya merekodkan keluar masuk wang yang dibuat kepada penerima dan perbelanjaan harta zakat dan sedekah bagi menyatakan kedudukan wang masuk dan wang keluar.” Sambung Cikgu Humaira juga menjawab kepada pertanyaan Kaleela.

        “Malah, baginda juga telah melantik beberapa amil untuk memungut zakat. Mereka ini turut ditugaskan untuk mengira dan merekodkan segala perbelanjaan keluar masuk wang di Baitul Mal.”

                Tangan Nurul Qaireen tidak berhenti dari terus mencatat segala isi kandungan yang terdapat dalam setiap penerangan Cikgu Humaira. Sesekali dia akan berhenti menulis untuk mengamati dan memahami setiap isi yang disampaikan.

                Ketika zaman pemerintahan Saidina Umar al Khatab, beliau telah menubuhkan satu kementerian khusus (Kementerian Perakaunan) yang mana bertindak menguruskan segala urusan perakaunan.”

        “Pada zaman Abasiyah dan Umayyah pula… waktu ini tamadun Islam berada dikemuncak kegemilangan dalam bidang keilmuan. Kota Baghdad dan Andalus diangkat menjadi pusat rujukan ilmu termasuklah ilmu mengenai kaedah percukaian, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Perluasan negara Islam telah merancakkan lagi kegiatan ekonomi umat Islam. Pengurusan Baitul Mal juga telah menjadi faktor berkembanganya perakaunan.”

                Semua pelajar menganguk faham. Seketika itu, Mujahid mengangkat tangan untuk bertanya.

                “Ya, mujahid… silakan.” Cikgu Humaira memberi keizinan kepada Mujahid untuk bertanya. Pelajar itu terus bangkit. Tindakan itu merupakan salah satu budaya belajar yang diamalkan oleh pelajar di sini. Bangkit apabila ingin mengemukakan pertanyaan ataupun semasa ingin menjawab pertanyaan.

                “Apa yang membezakan antara sistem perakaunan Islam dengan sistem perakaunan konvensional?” Tanya Mujahid dengan ayat yang tersusun dan dengan suara yang lantang agar dapat didengari oleh Cikgu Humaira memandangkan kedudukannya berada jauh di belakang di barisan tengah kelas.

                “Perbezaan antara keduanya sangat banyak. Ia meliputi prinsip asas, kepentingan, etika, pendedahan, objektif dan beberapa ciri lagi.”

        “Contoh yang jelas adalah prinsip asasnya. Dalam sistem Perakaunan Konvensional prisip asas merupakan prinsip ciptaan manusia dan boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Sebagai contoh, perakaunan berubah mengikut keadaan ekonomi semasa.”

        “Manakala bagi Sistem Perakaunan Islam, ia dibina berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Prinsip asas, sebagai contoh keadilan… tidak boleh diubah. Hanya cara memperakaunkan sesuatu urusan sahaja  yang boleh diubah, bukan prinsip asas dan hukum-hukumnya.”

        Sekali lagi seisi penghuni tingkatan 5 Maawa mengganguk tanda memahami penerangan Cikgu Humaira yang berbentuk lebih kepada perkongsian.

                Cikgu Humaira menarik nafas dalam-dalam. Lantas dihembus perlahan-lahan. Segar. Penerangan yang cukup panjang namun memberi satu kenikmatan yang berupa kepuasan kepada diri. Tidak sia-sia segala yang dipelajarinya suatu ketika dahulu. Kini, segala yang diserap dahulu dapat dicurahkan pula buat anak-anak didiknya yang sentiasa tagihkan ilmu.

                “Cikgu, macam mana kita nak amalkan sistem perakaunan Islam sedangkan kebanyakkan urusan berkaitan perakaunan dalam negara kita menggunakan sistem perakaunan konvensional?” Kini giliran Irdina Amani, gadis berkaca mata yang juga merangkap penolong kelas turut serta dalam mengemukakan pertanyaan. Dia berdiri sejenak sebelum kembali duduk tatkala melihat isyarat daripada Cikgu Humaira menyuruhnya agar duduk kembali.

                “Nak ubah sistem yang sedia ada, memang sukar sebab kita bukannya pemerintah. Namun, untuk elak… kita boleh. Sekarang inikan sudah banyak syarikat ataupun institusi kewangan seperti bank yang menjadikan Islam sebagai teras dalam menjalankan segala urus niaganya. So, sekarang… tinggal kamu pilih sahaja mana yang mahu kamu ikut.”

        “Sebaiknya, ikutlah apa yang Islam ajar. Jika ada antara kamu yang mahu menjadi seorang akauntan atau apa-apa yang berkaitan dengannya… jadilah mereka yang menjadikan Islam sebagai keutamaannya…”

        “Dengan cara macam mana itu, cikgu?” Celah Syahmi beradab.

       “Bersikap adil, jujur dan telus dalam menjalankan tanggungjawab. Yang paling penting, dapatkan sesuatu itu dengan cara yang halal.  Apa yang kamu lakukan kembali kepada Islam. Lakukan semua itu hanya kerana Allah dan agama-Nya. Kelak, kamu akan rasa nikmat atas segala tindakan kamu itu. InshaAllah… dengan bertindak sedemikian juga, keberkatan-Nya akan sentiasa ada buat kamu.” Cikgu Humaira berhenti sejenak. Satu persatu wajah anak pelajarnya ditatap penuh kasih sayang.

        “Kamu adalah penggerak-penggerak islam. Sekiranya suatu hari nanti, kamu ditakdirkan berada dalam bidang selain daripada bidang pengajian Islam. Kamu tetap perlu terus bawa imej Islam.

       Seperti mana… apa yang kamu perjuangkan di Maahad ini iaitu untuk mengangkat nama Islam dan menjadi antara penyambung kepada rantaian-rantaian dakwah Rasulullah SAW, maka teruskan perjuangan itu apabila kaki kamu melangkah ke alam universiti dan seterusnya… suatu ketika nanti.

       “Ingat, walau di mana kita berada... bawa Islam bersama. Agar langkah kita sentiasa terpandu, diri kita sentiasa terjaga.” Cikgu Humaira mengakhiri perkongsiannya dengan kata-kata yang membangkitkan dan mengoncang semangat semua pelajar tingkatan 5 Maawa.

        Serentak itu juga, Basyar yang segak berbaju pengawas perpustakaan yang berwarna unggu muda bangkit meluangkan takbir. Semua pelajar lelaki turut bertindak sebagaimana yang dilakukan oleh Basyar. Gegak-gempita seketika seisi ruang dengan laungan takbir itu.

                Cikgu Humaira tersenyum. Itu yang mahu dilihatnya. Semangat anak muda. Semua itu mengingatnya kembali pada kata-kata mantan presiden Republik Indonesia, Ir. Soekarno, berikan aku 10 orang pemuda maka akan ku goncangkan dunia. Kata-kata yang mengambarkan betapa hebatnya semangat anak muda sehingga mampu melakukan suatu perubahan yang besar pada dunia.

                Nurul Qaireen turut tersenyum. Senyuman yang penuh dengan kepuasan. Hari ini, ada sesuatu yang baru yang dipelajarinya. Semua itu telah menguatkan lagi minatnya untuk terus mendalami ilmu berkaitan perakaunan. Malah telah memacu lagi keinginannya untuk mengambil jurusan tersebut ketika di peringkat pengajian tinggi nanti. Dia juga bercita-cita mahu menceburi bidang tersebut setelah menamatkan pengajiannya suatu ketika nanti. Insha-Allah.

            Kini harapannya tinggi, bukan sekadar mahu mengikut jejak langkah ayahnya bergelar seorang akauntan hebat. Tetapi juga mahu membawa nama dan imej Islam sebagai teras kepada apa yang bakal dilakukannya kelak. Sungguh tinggi impian dan harapannya. Moga semua itu dapat dia kecapi nanti.


Bersambung…


10.2.2016
10.00 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan