pages

Travelog Amal Di Bumi Padang, Indonesia


Assalamualaikum,

Baru-baru ni, aku terima satu mesej dan link berita online daripada seorang wartawan akhbar Indonesia. Mesej dan link ni diforward oleh pensyarah yang iring giso group aku.

Nama wartawan tu, Tuan Indra Yosep. Berita yang disiakan tu adalah tentang surat yang aku hantar pada Tuan Indra beberapa minggu yang lepas. Disebabkan berita tu, aku terpanggil untuk berkongsi tentang pengembaraan aku dan rakan-rakan ke Indonesia.

InshaAllah, nanti  bila ada masa aku akan kongsikan tentang segala proses yang aku lalui sebelum, semasa dan selepas buat GISO. Semoga artikel tu nanti boleh bantu junior-junior USIM yang sedang merancang untuk buat GISO pada masa akan datang.

***
Ni link yang pensyarah pengiring aku forwar berkaitan berita tentang surat kiriman aku pada Tuan Indra.


***

Rasanya better aku guna je surat yang aku hantar pada Tuan Indra. Sebab dalam surat tu, aku ada ceritakan serba ringkas tentang pengembaraan kitaorang ke Indonesia beberapa minggu lepas.

Surat aku pada Tuan Indra.

TRAVELOG AMAL DI SUMATERA BARAT, INDONESIA

Di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO) 2019 - Travelog Amal di Sumatera Barat, Indonesia dengan kerjasama Persatuan Pacuan Roda Malaysia, seramai 22 orang pelajar jurusan Perakaunan, Fakulti Ekonomi Dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama pensyarah pengiring, Dr. Nurul Nazlia Bin Jamil dan wakil Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Puan Suhazlina Bt Mohamed Samsudin berpeluang mengunjungi tanah Minangkabau, Sumatera Barat selama 7 hari (14 Julai - 20 Julai 2019)

Perjalanan meneroka bumi Padang, Indonesia yang terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian adalah sebuah pengalaman sangat cukup berharga.

Dengan pemandangan sawah padi yang menghijau, bukit-bukit dan gunung-gunung yang tegak berdiri hampir menjamah lelangit bumi dan biru tasik yang terbentang luas cukup membuatkan kami terpukau dan terpaku menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya sepanjang perjalanan meneroka bumi Sumatera Barat ini.

Travelog amal kami di bumi Sumatera Barat bermula dari Lapangan Terbang Minangkabau menuju ke Danau Maninjau sebelum bergerak ke Kampung Pagu-pagu Pandai Sikek, singgah seketika di Bukittinggi dan seterusnya melanjutkan perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Sawahlunto.

PESANTREN PROF. DR. HAMKA, DANAU MANINJAU

Walaupun hanya sekadar semalaman menginap di pesantren Prof. Dr. Hamka namun sebuah kenangan indah tetap mampu tercipta dan terpahat kukuh di hati kami sehingga di saat perpisahan, seakan sukar bagi kami untuk melangkah keluar dari pesantren tersebut.

Paling membuatkan kami terharu apabila adik-adik pesantren juga merasai perpisahan tersebut sehingga meminta kami untuk datang berkunjung kembali ke pesantren pada masa akan datang. InshaAllah, sekiranya diberi rezeki, akan kami pilih menginjak kembali ke bumi ini.

Di pesantren ini, kami belajar hidup bersederhana dengan kemudahan yang terhad sebagaimana yang dilalui oleh pelajar-pelajar di pesantren ini.

Kami cukup mengagumi keadah yang diamalkan oleh pihak pesantren dalam mendidik semua pelajar untuk hidup bersederhana di samping mencontohi kepribadian ulama terkenal nusantara, Buya Hamka yang cukup dikenali sebagai seorang yang sangat sederhana.

Jika direnungkan kembali, memang begitulah adat orang berilmu, "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian". Kekurangan kemudahan tidak boleh dijadikan alasan kepada kita untuk tidak terus menuntut ilmu.

KAMPUNG PAGU-PAGU, PANDAI SIKEK

Saat kaki melangkah masuk ke perkampungan tersebut, kami disambut ramah oleh warga kampung dan dipersembahan tarian kesenian minang oleh murid-murid SDN 16 Pandai Sikek. Kehadiran rombongan kami begitu dialu-alukan oleh seluruh warga Kampung Pagu-pagu, Pandai Sikek.

Di SDN16 Pandai Sikek, kami berpeluang mengikuti beberapa aktiviti permainan tradisional masyarakat minangkabau yang begitu unik bersama-sama adik-adik pelajar SDN 16 Pandai Sikek. Kami kagum pada guru-guru SD16 Pandai Sikek ketika diberitahu bahawa pihak sekolah begitu menggalakkan pelajarnya memainkan permainan tradisional agar ianya tidak tenggelam dan dlilupakan generasi muda hari ini.

Di sekolah ini juga, kami diberi ruang khusus untuk melakarkan mural sebagai tanda kedatangan kami ke sekolah tersebut. Di samping itu, kami juga menyumbang anak pokok buah mangga untuk ditanam di sekolah tersebut. Semoga anak pokok mangga itu dapat tumbuh dengan baik dan buahnya nanti mampu memberi manfaat kepada seluruh warga SDN 16 dan kampung pagu-pagu, Pandai Sikek.

Di Kampung Pagu-pagu pandai Sikek, kami juga berpeluang menyantuni fakir-fakir miskin untuk mengagih sumbangan berbentuk makanan asasi kepada mereka. Di samping itu, makan malam bersama anak yatim di kampung tersebut berjaya kami aturkan dengan bantuan pihak masjid yang menjaga hal ehwal dan kebajikan anak-anak yatim kampung tersebut. Apa yang menariknya pengurusan anak yatim di sini adalah mereka tidak diasingkan hidup dari sanak-saudara mereka atau lebih tepat mereka tidak ditempat di rumah khusus yang menempatkan semua anak yatim.

Pada waktu malam hari pertama, kami berpeluang mengikuti perlawanan persahabatan badminton antara pelajar USIM dengan persatuan Badminton Bangonjong. Seterusnya pada malam kedua, kami berpeluang menyaksikan tarian tradisional Minangkabau yang dipersembahkan oleh kumpulan Sanggar Seni Tari Tilam Suri.

BUKITTINGGI

Orang cakap, jika ke Padang, Bukittinggi adalah pilihan utama pelancong untuk datang membeli-belah. Alhamdulillah, kami berpeluang ke sana untuk dapatkan sedikit buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum membeli belah di Pasar Atas Bukittinggi, kami terlebih dahulu dibawa berkunjung ke lubang jepun. Kami berpeluang menyelusuri terowong tersebut sehingga ke penghujung terowong. Menyelurusi terowong peninggalan penjajahan jepun yang mempunyai kedalaman 1400 meter ke bawah tanah adalah sebuah pengalaman baru untuk kami dan tidak mungkin akan kami lupakan.


SAWAHLUNTO

Dan buat pertama kali, kami berpeluang menjejak kaki ke daerah Sawahlunto, sebuah kota peninggalan penjajah Belanda untuk menyaksikan artifak peninggalan belanda yang dijaga dengan baik sampai ke hari ini oleh pemerintah Sawahlunto sehingga dapat menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di daerah ini.

Keunikan artifak dan bangunan peninggalan Belanda yang terdapat di Sawahlunto tidak dapat dinafikan lagi sehingga tidak mustahil beberapa kawasan sejarah di Sawahlunto telah mendapat pengiktirafan sebagai warisan budaya dunia daripada UNESCO pada awal Julai baru-baru ini.

Perjalanan jejak khazanah warisan dunia kami di Sawahlunto bermula dengan lawatan kunjungan hormat di pejabat wali kota bagi menyampaikan tujuan kedatangan dan beramah-mesra dengan pemerintah di Sawahlunto. Kehadiran kami disambut-ramah oleh pegawai pemerintah.

Kami diberi penerangan oleh wakil pemerintah berkaitan kota Sawahlunto di samping menyampaikan hasrat pemerintah Kota Sawahlunto untuk mempromosikan lagi kota ini agar dapat menjadi destinasi pilihan pelancong dalam merealisasikan visi Kota Sawahlunto tahun 2020 yang mana mahu menjadikan kota ini sebagai 'Kota Wisata Tambang yang Berbudaya'.

Usai sesi bersama wakil walikota Kota Sawahlunto, kami lanjutkan jejak khazanah warisan dunia dengan berkunjung ke Puncak Cemara untuk menikmati pemandangan Kota Sawahlunto dari puncak tersebut.

Saat berada di Puncak Cemara terlihat jelas keindahan Kota Sawahlunto. Susunan deretan bangunan di Kota tersebut dapat dilihat dari puncak tersebut. Setelah hampir 30 minit menikmati pemandangan di Puncak Cemara, kami bergerak pula ke Muzium Goedang Ransoem yang merupakan muzium yang menempatkan koleksi peralatan memasak yang digunakan pada zaman penjajahan Belanda.

Kemudian kami menuju pula  lubang tambang "Mbah Soero" yang terletak tidak jauh dari Muzium Goedang Ransoem. Kami mengambil peluang untuk memasuki lubang tersebut untuk melihat sendiri batu arang yang masih tersisa sehingga hari ini. Saat melalui lubang tersebut, kami dapat melihat sendiri pada dinding lubang kesan bagaimana arang batu diambil.

Selesai menyelusuri lubang tambang "Mbah Soero", kami meneruskan perjalanan terakhir kami ke Muzium Kereta Api. Muzium ini merupakan muzium kereta api kedua di Indonesia. Di muzium kami berpeluang melihat gerabak kereta api yang diguna suatu ketika dahulu bagi mengangkut batu arang.

Pengalaman berada di Sawahlunto bagi menyaksikan keunikan dan peninggalan sejarah yang terdapat di sana adalah sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Banyak ilmu terutamanya yang berkaitan sejarah kami raih sepanjang kunjungan kami ke Sawahlunto. Semoga segala ilmu yang kami perolehi dapat kami manfaatkan pada masa akan datang.

NADHIRAH NASIR
21 JULAI 2019

Ok. setakat ni je dulu. InshaAllah, nanti aku post entri tentang apa yang aku janji sebelum ni. Doakan Allah berikan aku kelapangan waktu dan idea waktu tulis nanti.

Btw, thanks sebab sudi baca perkongsian aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan