pages

Bila Allah Ada Di Hati

Dalam hidup ini, manusia tidak akan mampu lari dari ditimpa kesulitan. Tidak ada dalam dunia ini, manusia yang tidak pernah ditimpa kesulitan.



Hatta, Rasulullah SAW sendiri mengalami kesulitan dalam menyampaikan dakwah dan menghadapi pelbagai tentangan dalam menegak syariah Islam.



Seperti manusia lain, aku juga pernah mengalami kesulitan. Pernah suatu ketika dahulu aku mengalami kesulitan yang sangat menghimpit hidupku. Ketika itu, lebih kurang 40 hari sebelum aku menghadapi peperiksaan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2013)


Saat itu, diri mengalami banyak kesukaran. Terasa roh seakan-akan mahu terpisah dari jasad. Pernafasan sukar untuk diseimbangkan, bagaikan ruang pernafasanku terhalang oleh sesuatu.


Mindaku bercelaru kerana terus-terusan diasak dengan bisikan-bisikan yang melemahkan.


Fikiranku berserabut kerana asyik memikirkan tentang kehadiran waktu yang menjadi penentu segala perjuangan aku sepanjang bergelar seorang pelajar iaitu Peperiksaan SPM.


Waktu itu juga yang akan memperlihatkan sama ada apa yang aku pelajari selama ini benar-benar melekat di hati, tersimpan di minda.


Oleh kerana itu, tatkala diri teringatkan waktu itu. Pastinya aku akan menitiskan air mata menangisi sebarang kemungkinan yang berlaku nanti.




Diriku dibelenggu dengan ketakutan yang sungguh mencengkam jiwaku. Ketakutan itu membuat diri berada dalam dilema.


Ditambahkan pula dengan keputusan percubaan SPM yang menghampakan membuatkan diri sentiasa memikirkan, adakah mampu untuk aku menghadapi peperiksaan sebenar jika percubaan pun belum mampu aku kuasai?


Aku hampir berputus asa kerana pada waktu itu, aku merasakan aku sudah tidak punyai waktu yang mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi peperiksaan sebenar.


Semangat semakin hilang.


Harapanku semakin pudar.


"Ketika masalah datang, Allah tidak meminta kita memikirkan jalan keluar sehingga penat. Namun Allah hanya minta kita agar Sabar & Solat."


Dikala diri ini bergelut dalam kesulitan. Allah datangkan sinar pengharapan untukku membebaskan diri daripada segala kesulitan itu. Allah tunjukkan jalan untuk aku keluar daripadanya.


"Allah adalah kekuatan, untuk dapatkan kekuatan itu maka carilah Allah."


Aku dapat merasakan kekuatan meresap masuk ke dalam diri sehingga memacu kembali semangatku untuk terus berjuang.


Di samping itu, Allah juga menambahkan kekuatanku dengan hadirnya insan-insan yang aku sayangi, membantu membimbing dan memotivasikan aku agar aku kembali bangkit melangkah mengapai impian yang pernah aku ciptakan suatu ketika dahulu.


Alhamdulillah, berkat usaha & bimbingan daripada mereka yang sentiasa ada untukku. Aku kembali bangkit memantapkan keyakinanku dan mengoptimiskan diri menghadapi segala yang berlaku.


Aku mula merangka kembali persiapanku. Usahaku dipertingkatkan daripada yang sebelumnya.


Namun yang paling penting adalah aku perlu menjaga hubunganku dengan Allah dan dengan sesama manusia.


"Dalam kita sibuk belajar, perlu juga untuk kita lihat bagaimana hubungan kita dengan pencipta kita, Allah SWT dan hubungan kita dengan mereka-mereka yang berada disekeliling kita."


Jika disingkap hikmah hadirnya kesulitan ini sebenarnya adalah bertujuan untuk membawa diri kita kembali kepada fitrah hidup kita iaitu kembali menghadap Allah dengan meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada-Nya dengan sebenar-benar pergantungan.


Allah sentiasa ada untuk kita. Dekat dengan kita. Namun sejauh mana kita ada dekat dengan Allah. Cuba kita renungkan bersama.


Untuk pastikan kita sentiasa dekat dengan Allah maka letaklah Allah dalam hati kita. Insha Allah kita akan merasai nikmatnya berupa ketenangan jika Allah ada di hati.


Yang Terindah

19 Februari 2015.

Pembuka tirai pembentangan untuk Semester Ke-3. Pembentengan ini merupakan pembentangan bagi subjek "Fundamental Of Marketing'.

Biarpun ianya biasa-biasa sahaja namun bagiku ianya cukup bermakna kerana aku telah korbankan seluruh tenaga dan waktu untuk persiapan bagi pembentangan ini.

Kami sekumpulan saling bertungkus-lumus memastikan segala perancangan disusun serapi mungkin.
Pembentangan ini bertujuan memperkenalkan perniagaan secara online yang kami kendalikan.

Secara ringkas tentang kumpulan kami.
Kami sekumpulan telah bersepakat menamakan perniagaan kami dengan nama 'e-Falahians Corporation' yang mana merupakan gabungan dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Huruf  'E' diletakkan di hadapan perkataan itu sebagai simbol perniagaan yang kami jalankan adalah secara online.

Ungkapan 'Falah' membawa maksud berjaya/kejayan. Manakala 'Falahians' pula bermaksud orang yang berjaya.

Seperti kata sahabat saya, "Semoga perniagaan yang kami jalankan ini akan berjaya sesuai dengan namanya yang indah itu."



Kumpulan kami mempunyai 10 orang ahli.

Diketuai oleh Mohd Aizzad Bin Norrizan.

Dianggotai oleh :

Muhammad Arifuddin Bin Ab. Rahman

Wan Hidayatun Nadhirah Binti Wan Mohd Nasir

Siti Wan Ratna Muaina Binti Wan Abdul Aziz

Ainul Athirah Binti Mohd Suhaimi

Nurul Naasyidah Binti Mohd Zan

Atiqah Amirah Binti Habib

Nur Hanani Binti Nazman

Rozainie Binti Rosmadi

Nor Iyliyin Binti Ramli



Pada awalnya, kumpulan ini hanya terdiri daripada siswi-siswi sahaja namun disebabkan timbulnya bangkangan daripada kumpulan lain kerana kumpulan ini tidak punyai siswa.

Jadi untuk berlaku adil terpaksalah kumpulan sebelum ini dibubarkan dan dibentuk kembali dengan memasukkan 2 orang siswa. Maka dengan itu, terbentuklah 'e-Falahians Corporation.'

(Barulah terasa begitu susah juga ya nak wujudkan sesebuah kumpulan.  ^_^ )


Logo di atas merupakan logo kumpulan kami. Ia dihasilkan dengan kerjasama semua ahli. Idea disatukan maka terbentuklah logo ini. Agak simple namun cukup bermakna bagi kami kerana ia merupakan lambang kemegahan kami. (cewah)

Oleh kerana kumpulan ini wujudnya ia atas paksaan, maka berlakukan lah sedikit salah faham dan percanggahan pendapat di kalangan ahli-ahlinya.
Namun, ianya tidak berlarutan kerana masing-masing mula memahami dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada sesama ahli.

Alhamdulillah, berkat usaha beberapa orang ahli yang inginkan keamanan dan kedamaian dalam berkerja akhirnya  persefahaman dan semangat berkerjasama mula dapat dipupuk antara ahli.

Syukur. ^_^

          __________________________

Persefahaman sebenar cukup susah untuk dipupuk
Namun, apabila kena caranya,
Insha-Allah, ianya mampu bercambah
menjadi sebuah ikatan.
Ikatan yang sangat kukuh.
Ibarat kukuhnya sebuah tembok.

Kerana kekuatannya disatukan menjadi benteng yang kuat dan kukuh dan ianya tidak mudah untuk dirobohkandan dimusnahkan.

Begitulah ikatan kami e-Falahians member's
Walaupun wujudnya ia penuh dengan drama-drama yang tersendiri.

Namun, apabila persefahaman diletakkan sebagai tunjang utama.

Alhamdulillah, ianya benar-benar mengukuhkan kami.


             ____________________________

secara jujurnya, saya berasa bertuah kerana dapat menyertai kumpulan ini kerana ahli-ahlinya sangat hebat dan mengagumkan. Insha-Allah, saya akan sedaya upaya memastikan setiap perancangan yang dibuat akan tercapai sesuai dengan impian semua. (AMIN)

Saya sangat berharap, semoga ianya menjadi sebuah memori yang terindah dan bermakna bagi saya, seorang yang bergelar mahasiswi (^_^)

Semoga kejayaan sentiasa bersama kami.

          ________________________________

SEDIKIT TAMBAHAN

Sekiranya rakan-rakan sekalian ingin mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan yang kami jalankan dan barangan yang kami pasarkan.

Jom lawati website-website kami seperti berikut.





Jom follow kami !!!


Jika anda inginkan barangan seperti makanan, pakaian,aksesori, craft, handbag, jam dan lain-lain lagi.

Jom dapatkannya melalui kami dengan harga yang berpatutan.

Engkau Sentiasa Bersama


Aku sering mengeluh
terhadap nasibku yang tidak sebegitu bagus
Disebabkan itu Aku merasakan
Engkau tidak berlaku adil padaku.
Tanpa Aku sedar,aku seakan-akan mempertikaikan
takdir yang telah diperuntukkan kepadaku,

Aku mula hilang keyakinan pada-Mu,

Hatiku mula jauh dari-Mu,
Kepercayaanku seolah-olah hilang pada-Mu.

Namun...

Walaupun aku sering mempersoalkan tentang semua itu,
Rupa-rupanya Kasih dan Cinta-Mu tetap mengalir padaku,
Tidak sekalipun ianya pudar buatku.
Sentiasa mekar buat hamba-Mu ini.



Walaupun aku jauh dari-Mu
Namun Engkau tidak sesekali meninggalkan Aku walau sedetik pun.
Engkau tetap memberiku sinar,
Engkau tetap menunjukkanku jalan,
Engkau tetap mencurahkanku nikmat tanpa mengurangkannya walau sedikit pun.

Aku jadi malu,
Sungguh hamba ini hamba yang lemah,
Hamba yang sering kali dicemari oleh dosa,
Namun Engkau sentiasa menghulurkankeampunan,
walau berkali-kali hamba ini tersasar jauh pada jalan-Mu. 

Aduhai Ujian


Hari ini engkau menangis kerana perihnya ujian yang menimpa.Namun Jika dilihat pada ukuran ujian yang engkau tanggung,ianya tidaklah seberat ujian yang menimpa para Anbia suatu ketika dahulu.Malangnya, engkau menangis sehingga engkau lupa hikmah sebuah ujian.Pastinya engkau mengetahui, bahawasanya ujian itu adalah lumrah kehidupan manusia.Datangnya sebagai pengukur iman seorang hamba, sama ada benar atau tidak kamu beriman.Tetapi malangnya, tidak ramai manusia menilainya sebegitu.Tatkala ujian datang silih-berganti, engkau hilang arah, hilang pedoman.Kenapa harus begitu? Bukankah sepatutnya, engkau kembali kepada-Nya, kembali kepada fitrah?

Renungkan Firman Allah SWT dalam kalam-Nya :
" Adakah, patut kamu menyangka bahawa kamu masuk syurga, padahal belum sampai kapada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu; mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakan (datangnya) pertolongan Allah ? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah) -Al-Baqarah : 214)

Firman Allah : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan : " Kami telah beriman". sedangkan mereka tidak diuji ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguh Dia mengetahui orang-orang yang dusta ." - Al-Ankabut : 2-3)


#‎percayalahDuhaiTemanKuUjianItuHanyaSementara


Ada Hikmah Disebaliknya



Penghujung bulan Disember 2014, terlakarnya sebuah sejarah dalam diri setiap penghuni kawasan Pantai Timur semenanjung Malaysia. Detik itu berlakunya sebuah peristiwa di luar jangkaan. 'Bah Kuning' datang membadai negeri-negeri Pantai Timur terutamanya Negeri Kelantan, negeri yang digelar 'Serambi Mekkah'. Bah Kuning itu datang menenggelamkan deretan rumah. Menghayutkan segala harta benda. Semua hilang dari pandangan. Sungguh ia tidak mengira sesiapa. Si kaya dan si miskin. Semua yang berada di laluannya pasti dirempuh.

Peristiwa itu mendatangkan kegusaran dalam diri semua penghuni malah bagi mereka yang bergelar anak rantau kegusaran itu seolah-olah telah menguasai diri. Kebimbangan jelas terserlah di raut wajah masing-masing. Sungguh merunsingkan. Bahkan ada yang berlumba-lumba untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Namun apakan daya, kerterbatasan menidakkan segalanya. Ini kerana rata-rata daripada mereka merupakan pekerja yang terikat dengan tugas yang dipertanggungjawabkan dan para penuntut institusi pengajian tinggi yang tika itu sedang bergelut bagi menempuhi peperiksaan akhir semester.


Disebabkan kegusaran, kerisauan dan kebimbangan itu, ada daripada mereka yang gundah-gulana, menangis dan bersedih. Telefon bimbit sentiasa digenggaman menanti perkhabaran dari kampung. Diri seakan-akan kaku untuk melakukan perkerjaan hatta didesakkan berkali-kali. Jiwa kacau seketika.


Bimbingan sangat ditagih ketika itu bagi mereka yang punyai semangat yang lemah. Kata-kata semangat dan nasihat perlu ditiup bagi membangkitkan diri.

Antara yang sering diperdengarkan iaitu,


Firman Allah SWT,

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ 
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Al-Baqarah:155)


       ________________________________________________


Malah ada juga, kata-kata nasihat berserta semangat disampaikan seperti...

"Bersabarlah. Anggap semua yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Percaya dan yakinilah bahawa Allah tidak akan sesekali menganiaya hamba-Nya. Ketahuilah sesungguh ujian yang datang itu menandakan Allah kasih dan cinta kepada hamba-Nya itu. Diibaratkan seperti, Allah sedang bercubit-cubit kasih dengan hamba-Nya yang ditimpa ujian."


Ya, bersabar. Itulah yang ditagih ketika diri didatangi ujian. Namun, dalam bersabar ianya bukan sekadar untuk diperkatakan di bibir semata-mata seharusnya ia perlu dipraktikkan. Secara umumnya, sabar itu ada banyak tingkatnya namun yang paling tinggi kedudukkannya adalah sabar ketika mula-mula diri didatangi ujian. Pada saat ditimpa ujian bukan sesudahnya.


Sebagaimana kisah Rasulullah SAW, iaitu ketika mana baginda bertemu seorang wanita yang baru sahaja kehilangan anaknya. Wanita itu merintih dan menangis semahu-mahunya. Sampailah saat Rasulullah datang kepadanya lalu berkata "Bersabarlah." berserta dengan kata-kata itu ada diselitkan nasihat yang berhikmah.

Namun, wanita itu langsung tidak mempedulikan kata-kata itu sebaliknya membalasnya dengan berkata, " Engkau tidak mengerti perasaanku ketika ini kerana engkau tidak pernah menanggung dan merasainya. Sungguh memerihkan apabila kehilangan permata yang dicintai."

Sejurus mendengar apa yang keluar daripada mulut wanita itu, Rasulullah diam dan terus berlalu meninggalkan wanita itu.

Setelah itu, wanita itu didatangi pula oleh seseorang yang mana telah memberitahunya bahawa lelaki yang datang kepadanya sebelum ini merupakan Rasulullah SAW.

Mendengar sahaja perkhabaran itu, maka tergesa-gesalah wanita itu pergi mendapatkan Rasulullah. Wanita itu berasa sungguh menyesal di atas perlakuannya kepada Rasulullah. Jika dibandingkan ujian ke atas dirinya pasti ia tidak mampu menandingi ujian yang Rasulullah hadapi. Lebih daripada kehilangannya zuriat yang dikasihi dan dicintai. Namun, Rasulullah tetap bersabar dan meneruskan perjuangan menyebar dakwah ke seisi dunia.

Tatkala bertemu kembali Rasulullah, wanita itu segera memohon maaf atas keterlanjurkan diri dan berkata-kata " Wahai, Rasulullah kini aku sudah mampu bersabar."

Rasulullah lalu memberitahu wanita bahawa sabar yang dilihat dan tinggi kedudukkannya di sisi Allah adalah

'Sabar ketika waktu pertama kali diri ditimpa ujian bukan sabar selepas ditimpa ujian...'


       ________________________________________________


Selain itu ada kedengaran juga kata-kata peringatan yang berbunyi,


"Setiap manusia pastinya akan diperuntukkan kepadanya bermacam jenis ujian. Kerana ujian itu adalah fitrah dan datangnya pasti bersebab. Mungkin saja datangnya untuk menguji tahap keimanan ataupun memberi teguran."


Sebagaimana FirmanNya:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ 
وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

" Adakah, patut kamu menyangka bahawa kamu masuk syurga, padahal belum sampai kapada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu; mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya : Bilakan (datangnya) pertolongan Allah ? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah) -Al-Baqarah : 214 )



       _______________________________________________________

Ada juga kata-kata perangsang yang membangkitkan...

" Ujian itu datangnya hanya kepada yang kuat. Kuat jiwanya. Kuat pergantungannya. Allah sama sekali tidak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh hamba-Nya.  Disebabkan itu, Allah mengetahui kita adalah hamba-Nya yang kuat dan mampu untuk menghadapinya maka dihantarkan-Nya ujian itu."

        ________________________________________________

Kesimpulannya, setiap apa yang berlaku ke atas diri kita perlu untuk kita sentiasa bersangka baik kepada Allah. Pastinya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Sebagai hamba, terimalah setiap ketentuan itu dengan hati yang terbuka serta berlapang dada dengan apa yang diperuntukkan.



sekian.


HN


         ________________________________________________



Sedikit koleksi gambar banjir yang berlaku di Kelantan terutamanya di kampung halamanku di Kampung Padang, Temangan, Machang, Kelantan.


Bandar Kota Bharu







Temangan




Perjalanan



Kala ini kau masih melangkah
melangkah untuk kembali bertemu kekasih abadi
walaupun perjalanan masih jauh di hadapan sana
namun kerinduan yang kian membuar-buar
membuatkan kau tidak lagi mempedulikan
kepenatan ditanggung kini.

Langkah demi langkah telah kau ambil
segala halangan telah jau kau tempis

Teruskan langkahmu itu
Kejarlah matlamat yang satu.
Namun perlu engkau ingat

dalam perjalanan itu
ianya tidak seindah dan selancar
apa yang engkau bayangkan
berwaspadalah kerana ujian dan halangan
akan datang silih berganti
sehinggakan mampu membejatkan langkahmu.


Letakkan pergantungmu sepenuhnya kepada Illahi
dia lebih mengetahui apa yang bakal terjadi
bersama usaha iringilah ia dengan doa
semoga perjalananmu dipandu cahaya Illahi
membantu perjalananmu pulang ke pangkuan-NYA


Kasih Sahabat Sejati



Sahabat,
Tanpamu mungkin langkahku akan terhenti.


Sahabat,

Tanpamu mungkin jatuhku nanti tiada yang sudi menghulurkan tangan untuk terus ku berdiri.


Sahabat,

Tanpamu mungkin hariku akan menjadi sunyi tanpa peringatan & pesanan daripadamu agar ku sentiasa mengingati Ilahi.


Sahabat,

Tanpamu mungkin tidak dapat kudengari lagi lembut bicaramu menyuruhku memuji-Nya  atas nikmat yang diberi.


Sahabat,

Hari ini mungkin kita menangisi pepisahan yang tidak diimpi,
Tetapi apakan daya kerna itu yang terpaksa kita hadapi.


Sahabat,

Mendekatimu membawa aku mengenali yang Hakiki.
Mengenalimu memberi peluang untuk aku merasai kasih sahabat sejati.