pages

Travelog Amal Di Bumi Padang, Indonesia


Assalamualaikum,

Baru-baru ni, aku terima satu mesej dan link berita online daripada seorang wartawan akhbar Indonesia. Mesej dan link ni diforward oleh pensyarah yang iring giso group aku.

Nama wartawan tu, Tuan Indra Yosep. Berita yang disiakan tu adalah tentang surat yang aku hantar pada Tuan Indra beberapa minggu yang lepas. Disebabkan berita tu, aku terpanggil untuk berkongsi tentang pengembaraan aku dan rakan-rakan ke Indonesia.

InshaAllah, nanti  bila ada masa aku akan kongsikan tentang segala proses yang aku lalui sebelum, semasa dan selepas buat GISO. Semoga artikel tu nanti boleh bantu junior-junior USIM yang sedang merancang untuk buat GISO pada masa akan datang.

***
Ni link yang pensyarah pengiring aku forwar berkaitan berita tentang surat kiriman aku pada Tuan Indra.


***

Rasanya better aku guna je surat yang aku hantar pada Tuan Indra. Sebab dalam surat tu, aku ada ceritakan serba ringkas tentang pengembaraan kitaorang ke Indonesia beberapa minggu lepas.

Surat aku pada Tuan Indra.

TRAVELOG AMAL DI SUMATERA BARAT, INDONESIA

Di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO) 2019 - Travelog Amal di Sumatera Barat, Indonesia dengan kerjasama Persatuan Pacuan Roda Malaysia, seramai 22 orang pelajar jurusan Perakaunan, Fakulti Ekonomi Dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama pensyarah pengiring, Dr. Nurul Nazlia Bin Jamil dan wakil Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Puan Suhazlina Bt Mohamed Samsudin berpeluang mengunjungi tanah Minangkabau, Sumatera Barat selama 7 hari (14 Julai - 20 Julai 2019)

Perjalanan meneroka bumi Padang, Indonesia yang terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian adalah sebuah pengalaman sangat cukup berharga.

Dengan pemandangan sawah padi yang menghijau, bukit-bukit dan gunung-gunung yang tegak berdiri hampir menjamah lelangit bumi dan biru tasik yang terbentang luas cukup membuatkan kami terpukau dan terpaku menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya sepanjang perjalanan meneroka bumi Sumatera Barat ini.

Travelog amal kami di bumi Sumatera Barat bermula dari Lapangan Terbang Minangkabau menuju ke Danau Maninjau sebelum bergerak ke Kampung Pagu-pagu Pandai Sikek, singgah seketika di Bukittinggi dan seterusnya melanjutkan perjalanan ke destinasi terakhir iaitu Sawahlunto.

PESANTREN PROF. DR. HAMKA, DANAU MANINJAU

Walaupun hanya sekadar semalaman menginap di pesantren Prof. Dr. Hamka namun sebuah kenangan indah tetap mampu tercipta dan terpahat kukuh di hati kami sehingga di saat perpisahan, seakan sukar bagi kami untuk melangkah keluar dari pesantren tersebut.

Paling membuatkan kami terharu apabila adik-adik pesantren juga merasai perpisahan tersebut sehingga meminta kami untuk datang berkunjung kembali ke pesantren pada masa akan datang. InshaAllah, sekiranya diberi rezeki, akan kami pilih menginjak kembali ke bumi ini.

Di pesantren ini, kami belajar hidup bersederhana dengan kemudahan yang terhad sebagaimana yang dilalui oleh pelajar-pelajar di pesantren ini.

Kami cukup mengagumi keadah yang diamalkan oleh pihak pesantren dalam mendidik semua pelajar untuk hidup bersederhana di samping mencontohi kepribadian ulama terkenal nusantara, Buya Hamka yang cukup dikenali sebagai seorang yang sangat sederhana.

Jika direnungkan kembali, memang begitulah adat orang berilmu, "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian". Kekurangan kemudahan tidak boleh dijadikan alasan kepada kita untuk tidak terus menuntut ilmu.

KAMPUNG PAGU-PAGU, PANDAI SIKEK

Saat kaki melangkah masuk ke perkampungan tersebut, kami disambut ramah oleh warga kampung dan dipersembahan tarian kesenian minang oleh murid-murid SDN 16 Pandai Sikek. Kehadiran rombongan kami begitu dialu-alukan oleh seluruh warga Kampung Pagu-pagu, Pandai Sikek.

Di SDN16 Pandai Sikek, kami berpeluang mengikuti beberapa aktiviti permainan tradisional masyarakat minangkabau yang begitu unik bersama-sama adik-adik pelajar SDN 16 Pandai Sikek. Kami kagum pada guru-guru SD16 Pandai Sikek ketika diberitahu bahawa pihak sekolah begitu menggalakkan pelajarnya memainkan permainan tradisional agar ianya tidak tenggelam dan dlilupakan generasi muda hari ini.

Di sekolah ini juga, kami diberi ruang khusus untuk melakarkan mural sebagai tanda kedatangan kami ke sekolah tersebut. Di samping itu, kami juga menyumbang anak pokok buah mangga untuk ditanam di sekolah tersebut. Semoga anak pokok mangga itu dapat tumbuh dengan baik dan buahnya nanti mampu memberi manfaat kepada seluruh warga SDN 16 dan kampung pagu-pagu, Pandai Sikek.

Di Kampung Pagu-pagu pandai Sikek, kami juga berpeluang menyantuni fakir-fakir miskin untuk mengagih sumbangan berbentuk makanan asasi kepada mereka. Di samping itu, makan malam bersama anak yatim di kampung tersebut berjaya kami aturkan dengan bantuan pihak masjid yang menjaga hal ehwal dan kebajikan anak-anak yatim kampung tersebut. Apa yang menariknya pengurusan anak yatim di sini adalah mereka tidak diasingkan hidup dari sanak-saudara mereka atau lebih tepat mereka tidak ditempat di rumah khusus yang menempatkan semua anak yatim.

Pada waktu malam hari pertama, kami berpeluang mengikuti perlawanan persahabatan badminton antara pelajar USIM dengan persatuan Badminton Bangonjong. Seterusnya pada malam kedua, kami berpeluang menyaksikan tarian tradisional Minangkabau yang dipersembahkan oleh kumpulan Sanggar Seni Tari Tilam Suri.

BUKITTINGGI

Orang cakap, jika ke Padang, Bukittinggi adalah pilihan utama pelancong untuk datang membeli-belah. Alhamdulillah, kami berpeluang ke sana untuk dapatkan sedikit buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Sebelum membeli belah di Pasar Atas Bukittinggi, kami terlebih dahulu dibawa berkunjung ke lubang jepun. Kami berpeluang menyelusuri terowong tersebut sehingga ke penghujung terowong. Menyelurusi terowong peninggalan penjajahan jepun yang mempunyai kedalaman 1400 meter ke bawah tanah adalah sebuah pengalaman baru untuk kami dan tidak mungkin akan kami lupakan.


SAWAHLUNTO

Dan buat pertama kali, kami berpeluang menjejak kaki ke daerah Sawahlunto, sebuah kota peninggalan penjajah Belanda untuk menyaksikan artifak peninggalan belanda yang dijaga dengan baik sampai ke hari ini oleh pemerintah Sawahlunto sehingga dapat menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di daerah ini.

Keunikan artifak dan bangunan peninggalan Belanda yang terdapat di Sawahlunto tidak dapat dinafikan lagi sehingga tidak mustahil beberapa kawasan sejarah di Sawahlunto telah mendapat pengiktirafan sebagai warisan budaya dunia daripada UNESCO pada awal Julai baru-baru ini.

Perjalanan jejak khazanah warisan dunia kami di Sawahlunto bermula dengan lawatan kunjungan hormat di pejabat wali kota bagi menyampaikan tujuan kedatangan dan beramah-mesra dengan pemerintah di Sawahlunto. Kehadiran kami disambut-ramah oleh pegawai pemerintah.

Kami diberi penerangan oleh wakil pemerintah berkaitan kota Sawahlunto di samping menyampaikan hasrat pemerintah Kota Sawahlunto untuk mempromosikan lagi kota ini agar dapat menjadi destinasi pilihan pelancong dalam merealisasikan visi Kota Sawahlunto tahun 2020 yang mana mahu menjadikan kota ini sebagai 'Kota Wisata Tambang yang Berbudaya'.

Usai sesi bersama wakil walikota Kota Sawahlunto, kami lanjutkan jejak khazanah warisan dunia dengan berkunjung ke Puncak Cemara untuk menikmati pemandangan Kota Sawahlunto dari puncak tersebut.

Saat berada di Puncak Cemara terlihat jelas keindahan Kota Sawahlunto. Susunan deretan bangunan di Kota tersebut dapat dilihat dari puncak tersebut. Setelah hampir 30 minit menikmati pemandangan di Puncak Cemara, kami bergerak pula ke Muzium Goedang Ransoem yang merupakan muzium yang menempatkan koleksi peralatan memasak yang digunakan pada zaman penjajahan Belanda.

Kemudian kami menuju pula  lubang tambang "Mbah Soero" yang terletak tidak jauh dari Muzium Goedang Ransoem. Kami mengambil peluang untuk memasuki lubang tersebut untuk melihat sendiri batu arang yang masih tersisa sehingga hari ini. Saat melalui lubang tersebut, kami dapat melihat sendiri pada dinding lubang kesan bagaimana arang batu diambil.

Selesai menyelusuri lubang tambang "Mbah Soero", kami meneruskan perjalanan terakhir kami ke Muzium Kereta Api. Muzium ini merupakan muzium kereta api kedua di Indonesia. Di muzium kami berpeluang melihat gerabak kereta api yang diguna suatu ketika dahulu bagi mengangkut batu arang.

Pengalaman berada di Sawahlunto bagi menyaksikan keunikan dan peninggalan sejarah yang terdapat di sana adalah sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Banyak ilmu terutamanya yang berkaitan sejarah kami raih sepanjang kunjungan kami ke Sawahlunto. Semoga segala ilmu yang kami perolehi dapat kami manfaatkan pada masa akan datang.

NADHIRAH NASIR
21 JULAI 2019

Ok. setakat ni je dulu. InshaAllah, nanti aku post entri tentang apa yang aku janji sebelum ni. Doakan Allah berikan aku kelapangan waktu dan idea waktu tulis nanti.

Btw, thanks sebab sudi baca perkongsian aku.

Kenapa Aku Nak Jadi Akauntan?



Sebelum ni aku tulis post ni di IG story. Bila baca balik perkongsian aku, I think I need to share on my other platforms. So, I have decided to post it here.

----
"Jadilah sebaik-baik manusia yang beri manfaat pada orang lain."
 ----

Jika diberi peluang untuk menulis. Aku nak menulis. Kejar impian jadi penulis. Habiskan sebanyak mungkin masa untuk menulis. Karang sebanyak mungkin perkongsian tentang kebaikan, hikmah kehidupan dan lain-lain lagi.

Tapi, masa selalu tak mengizinkan aku. Aku perlu fokus pada impian yang aku rasa perlu aku dahulukan. Impian untuk jadi salah seorang yang pakar dalam bidang perakaunan. (InshaAllah, mohon doa yang dari semua)

Aku harap aku mampu menyumbang kepada peratusan akauntan muslim yang berdaftar sebagai 'Chartered Accountant'.

Pernah dulu beberapa orang pensyarah aku dari UniSZA juga dari USIM, khabarkan tentang masalah negara ini.

"Walaupun kita ada ramai graduan muslim yang datang dari bidang perakaunan. Tapi, negara kita tetap mengalami kekurangan akauntan muslim. Tak sampai 10% pun angka akauntan muslim yang berdaftar. Selebihnya, peratusan tu datang dari kaum lain. Datang dari non-muslim."

"Kamu tahu... yang rangka, revised dan alter standard MFRS tu pun kebanyakkannya datang dari non-muslim. Macam mana kita nak serap masuk elemen Islam dalam standard yang kita guna kalau peratusan kita tak kuat untuk lawan mereka?"

"Macam mana kita nak melobi untuk mendapatkan suara majoriti sedangkan angka kita, angka minoriti?"

"Ya betul, kita ada ramai graduan muslim, tapi tak ramai yang pilih untuk teruskan perjuangan dalam bidang ni. Bidang ni bukan mudah. Perlu banyak pengorbanan. Perlu ada jiwa yang kental. Perlu punya kesabaran yang tinggi. Perlu ada semangat yang kuat. Barulah kita mampu bertahan."

Waktu nasihat tu menyapa telinga, aku rasa aku perlu lakukan sesuatu. Aku perlu saluran hasrat murni ini pada rakan-rakan aku.

Jadi aku pilih untuk tulis apa aku rasa. Dengan harapan aku mampu salurkan semangat yang aku rasa sekarang ni pada mereka.

Untuk mereka yang membaca, yang datang dari bidang yang sama dengan aku. Moga kalian diberi kesabaran untuk terus bertahan dalam bidang ini. Terus teroka bidang ni dan jadilah salah seorang yang pakar dalam bidang ni.

Semoga perjuangan kalian diiringi rahmat-Nya.


NADHIRAH NASIR
7 APRIL 2019

3 Langkah Untuk Bangkitkan Semangat Belajar!


Pernah tak rasa semangat belajar tiba-tiba hilang?

Sampai buat kita rasa dah tak larat dah nak kejar impian untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Rasa macam nak kuburkan je segala impian tu. Anggap je impian tu tak pernah wujud.

Waktu tu kalau boleh nak habiskan secepat mungkin pengajian kat universiti/kolej. Dah tak kisah pada pelajaran. Dah tak kisah grad dengan result berapa. Dah tak kisah laa kalau lulus dengan pointer yang rendah sekalipun. Asalkan kita habis belajar.

Rasa bosan terperangkap dalam kehidupan seorang pelajar lebih menguasai hati dan pemikiran. Kita dah tak ada hati untuk terus hidup dalam ruang lingkup seorang pelajar yang dianggap menyeksakan jiwa dan batin. Yang dipenuhi dengan tekanan yang tak pernah putus-putus muncul membelenggu diri.

Waktu tu, kita betul-betul dah bulatkan tekad, walau apa pun orang nak kata, kita tetap dengan keputusan kita… “Aku takkan sambung belajar dah bila habis nanti!”

Titik.

****

Pernah tak korang rasa macam tu?
Jika pernah, maknanya kita satu geng. Haha.
Jika tak, korang wajar dijadikan contoh teladan.

****

Sebelum ni, aku pernah tulis dalam entri tentang kesibukan aku terlibat dengan persatuan dan aktiviti universiti telah ganggu fokus aku pada pelajaran. Dan waktu tu jugalah semangat belajar aku menjunam ke tahap yang cukup teruk dan pasti mengusarkan mak bapak aku andai kata mereka tahu.

Rasa down sangat-sangat. Rasa macam perjuangan aku selama ni hanya sia-sia je. Sampaikan aku merungut-rungut pada adik-adik housemate aku.

“Cepatlah habis degree. Serious, Kak Nadd rasa dah tak sanggup hadap semua ni. Susah sangat! Rasa hilang semangat sungguh-sungguh ni.”

“Nak cepat habis. Kerja. Pastu kawin. Tak nak dah fikir pasal study lagi.”

Jujur waktu tu memang tak fikir apa dah. Sebab tekanan belajar, mulut main cakap je ikut hati dan perasaan. Bila fikir balik, aku tergelak sorang-sorang.

Apasal aku cakap macam tu depan adik-adik housemate aku. Rasa diri macam orang yang tak ada waras akal pulak. Tak matang langsung!

Dulu bukan main rancak aku bagi kata-kata semangat pasal pelajaran pada dorang. Tapi bila dah kena atas batang hidung sendiri. Terkapai-kapai aku cari bantuan, raih semangat untuk terus bertahan dalam perjuangan ni.

Nasib aku baik sebab Allah hadirkan aku insan-insan yang tepat. Mereka tak pernah biarkan aku hadap kesukaran ni sorang diri. Dengan penuh tabah dan setia, mereka tadah je telinga dengar aku merungut macam budak tak cukup umur.

Mereka hulur bantuan dengan cara… tiupkan kata-kata positif dalam diri aku. Ajak aku untuk renung apa yang berlaku dari sudut yang lebih terbuka. Tanpa jemu mereka pesan pada aku, benda yang dah jadi, mesti ada hikmah yang Allah nak beri.

“Mungkin Allah nak bagi Kak Nadd rasa macam mana rasa jatuh yang sungguh-sungguh jatuh. Rasa macam mana hilang harapan. Rasa macam tak ada apa-apa.”

“Kita dah biasa rasa macam tu. Sekarang pun tengah rasa lagi. Sampai dah tak ada rasa sebab selalu sangat jatuh.” Salah sorang dari adik housemate aku bentangkan pendapat siap buat lawak untuk hiburkan hati aku yang sedang merusuh dari dalam.

Aku pilih untuk buka hati terima nasihat dia. Mungkin betul apa yang dia cakap. Mungkin sebelum ni, aku tak pernah rasa semua tu. Hanya sedikit saja ujian Allah kirimkan untuk aku.

Kurangnya ujian buat aku berada dalam zon selesa. Syok sendiri dengan menganggap Allah sayang aku lebih sebab tu Allah tak bebankan aku dengan banyak ujian.

Sedangkan ujian yang banyak itulah sebenarnya tanda Allah sayang lebih pada hambanya. Dan Allah akan sayang-sayang lebih pada hamba yang sabar dan tabah menghadapi segala ujian yang dikirimkan-Nya.

---

3 LANGKAH BANGKITKAN KEMBALI SEMANGAT YANG PERNAH HILANG

Aku yakin part ni yang korang tunggu-tunggukan. Korang bukan nak baca pun kan ayat kat atas yang panjang lebar tu. Dan macam karang novel pula. Haha. Ok straight to the point. Ini 3 langkah aku buat untuk pulihkan semangat belajar.


1.  Refleksi Diri/Muhasabah diri

Point ni mungkin agak klise. Tapi aku tetap juga nak highlight benda ni. Sebab memang benda ni yang aku buat. Sampai sekarang aku masih ingat kata-kata salah sorang tutormate aku. Dia ada bagi satu ayat yang buat aku sentap dan merenung panjang.

“Cuba akak semak balik hati akak. Mungkin tanpa akak sedar, kat hati akak pernah wujud rasa riak, bangga, sombong atau whateverlah...”

“Mungkin juga ujian ni sebagai teguran dari Allah untuk akak. Manalah tahu, sebelum ni akak pernah rasa selesa dengan keadaan akak sekarang ni. Akak dapat apa yang orang tak dapat…”

Semua kata-katanya terus zup ke hati. Betul-betul terkesan. Seperti yang disarankan oleh tutormate aku tu, aku semak hati aku. Mungkin betul kata dia. Segala rasa tu mungkin pernah wujud dalam diri aku tanpa aku sedar.

Jadi, untuk atasi masalah hati. Aku ambil pendekatan yang disarankan oleh beberapa ustaz dan ustazah menerusi artikel yang dibaca dari buku dan internet. Kebanyakkan artikel yang aku baca sangat beri penekanan terhadap zikrullah.

“Untuk rawat masalah hati. Mulakan dengan zikirullah.”

So, aku cuba paksa diri amal berzikir. Biasakan diri berzikir bila habis solat dan bila aku duduk saja-saja tak buat kerja. Mungkin sebab aku suka pada angka, so aku letak target dengan mengira setiap butir zikir yang aku lantungkan. Baru aku boleh bandingkan... hari ni, aku berjaya bilang berapa butir tasbih. Esok berjaya berapa pula and so on.

Dalam sehari aku perlu berzikir sebanyak seribu kali. Dua ratus kali untuk setiap waktu solat. Tapi ada juga kalanya, iman aku tak kuat. Aku skip zikir tu. Ada ketikanya aku tak berjaya sasar seribu kali zikir tu. Tapi aku denda dengan top-up jumlah yang aku skip pada hari selepasnya.


2. Review Journal/Diari

Boleh dikatakan… dah jadi rutin bagi aku tulis apa yang berlaku dalam hidup aku dalam buku khusus. Kadang-kadang bila malas nak tulis guna tangan, aku akan tulis guna laptop. Aku start tulis guna laptop waktu tahun 2017. Setiap file aku lock sebab bimbang adik aku ceroboh baca apa yang aku tulis. Sedangkan buku yang aku tulis, dia boleh cari dan curi baca. Jadi tak mustahil untuk dia buat benda tu lagi. Budak tu bukan makan saman. Lagi orang larang, lagi dia nak buat.


Actually, aku segan nak share benda ni tapi bila fikir balik… manalah tahu cara aku ni boleh beri inspirasi pada orang lain. So, oklah... aku shar. Haha.

Cuti semester kali ni, aku pilih untuk baca balik apa yang aku tulis. Buku pertama yang aku tulis waktu tingkatan 3, aku belek kembali. Baca dari awal sampai akhir. Aku baca dah macam baca novel.

Aku tengok balik amalan apa yang aku buat waktu semangat belajar aku tengah berkobar-kobar dulu. Lepas tu, aku semak ada tak amalan dulu apa yang aku tinggalkan sekarang ni.


3. Tengok video motivasi/ceramah kat youtube

Memandangkan aku dalam proses nak memperbaiki penguasaan Inggeris, so aku lebih suka memilih yang video disampaikan menggunakan bahasa tu. Antaranya channel/youtuber yang jadi pilihan aku ialah Aiman Azlan, Aida Azlin, Miss Mina, Ana Mascara dan Team Fearless.

Kadang-kadang, ada ketikanya, aku layan juga video motivasi/ceramah melayu dari channel Yufid TV, ML Studios dan Cocombee Studio.

Alhamdulillah pengisian mereka banyak bantu aku raih kembali semangat aku yang hilang tu.


NADHIRAH NASIR
10 FEBRUARI 2019