pages

Kerana Gurauan Itu



Dalam menjalani kehidupan seharian, gurau-senda itu sudah menjadi perkara kebiasaan kepada manusia. Ada antara kita yang menganggap gurau-senda itulah akan menambahkan lagi keakraban dan kemesraan mereka dengan orang yang mereka rapat. Bagi mereka mungkin tanpa gurau-senda boleh dikatakan hidup mereka seakan-akan tidak meriah.

Ya, mungkin itu benar. Namun, dalam kita bergurau, gurauan kita itu perlu ada hadnya. Jangan sampai gurauan itu melampui batasnya.

Sebagaimana kata Iman Al-Nawawi dalam al-Azkar : Gurauan yang dilarang ialah yang dilakukan secara melampau dan terlalu kerap. Perbuatan ini akan melahirkan tertawa, mengeraskan hati dan melalaikan daripada mengingat Allah SWT dan memikirkan perkara penting dalam agama. Perbuatan ini juga sering kali mengesalkan, melahirkan dendam dan menghilangkan wibawa.

Semasa kita bergurau mungkin tanpa kita sedar kita telah menyakiti dan menguris hati orang itu. Walaupun sebenarnya kita tak ada niat pun nak buat mereka begitu namun ia berlaku sebaliknya.
Kesan daripada perbuatan kita itu mungkin akan timbul salah faham dan kebencian mereka kepada kita sehingga boleh membawa kepada pergaduhan besar.

Lebih teruk lagi, apabila ada antara mereka yang lebih suka memendamkan perasaan itu sehingga membuatkan mereka menyimpan dendam terhadap kita.

Awas !

Ada segelintir manusia apabila mereka terlalu lama memendam perasaan, akan sampai satu ketika bila mana mereka tak mampu lagi untuk bertahan. Maka mereka mungkin akan terdedah kepada kejahatan melunasi dendam yang sekian lama tersimpan dalam diri.

Bukan niat saya untuk menakutkan anda dengan semua ini namun jika kita lihat realiti kehidupan kita, itulah yang berlaku kepada masyarakat kita.

Sebelum benda itu berlaku kepada kita, tak salah rasanya jika kita bendung terlebih dahulu perkara ini.

Cukuplah sekadar gurauan yang biasa-biasa sahaja. Usahlah diperbesarkan kerana kesannya anda sendiri yang akan tanggung. Ingat, tak semua orang boleh menerima setiap gurauan yang kita buat itu.

Jadilah mukmin yang sentiasa celik mata hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan