pages

Anda Marah ?


Pernah tak anda menghadapi satu situasi yang mana telah mencetuskan kemarahan anda?

Apa yang akan anda buat? Menahan atau terus meluahkan kemarahan itu.

Jika diikutkan, memang mula-mula boleh bertahan dari terus meluahkannya namun apabila perkara yang sama berulang kembali pastinya kita tidak mampu bertahan. Tanpa kita sedar kemarahan itu akan terluah dengan sendirinya disebabkan terlalu lama kita pendamkannya. Jarang benar boleh jumpa orang yang boleh bertahan daripada meluahkan kemarahan yang terpendam walaupun hakikatnya, mereka itu ada namun jumlahnya hanya segelintir sahaja. Ibarat  satu dalam seribu.

                Sebenarnya marah itu adalah fitrah yang tercipta secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Setiap orang ada perasaan ini. Namun perasaan ini mampu dikawal apabila dipandu oleh iman dan takwa dalam hati. Kita akan nampak perbezaan marah yang dipandu oleh iman dan takwa berbanding marah tanpa dipandu oleh iman dan takwa.

                "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air.Maka jika sesiapa di antara kamu yang dalam keadaan marah, maka bersegeralah mengambil wudhu". -(HR. Imam Ahmad)


              Kita perlu berhati-hati tatkala berhadapan dengan perasaan marah. Marah seakan api yang mana mampu membakar diri. Kesannya bukan hanya kepada kita namun orang di sekeliling kita turut terkena bahananya.

Cuba kita lihat secara realitinya, apabila seseorang itu marah mereka akan akan hilang kewarasan berfikir. Ramai antara mereka tak sedar pun apa yang mereka perkatakan dan apa yang mereka lakukan.

Disebabkan marah, kita boleh kehilangan sahabat. Gara-gara kemarahan yang tidak dapat dibendung persahabatan yang terjalin sekian lama terlerai begitu sahaja.

 Malah yang paling mengerikan bila mana kemarahan menguasai diri sehingga membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan hinggakan sanggup membunuh manusia hatta darah daging mereka sendiri.

Hakikatnya, marah itu tetap ada dalam diri kita. Bergantung kepada kita bagaimana cara  untuk mengendalikannya. Apabila ada iman dan takwa, Insha-Allah kemarahan itu terpandu.

Semoga kita mampu menjadi mukmin yang celik mata hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan